Dec 19, 2011

'Bila Mahasiswa Dibenarkan Berpolitik'

Penglibatan mahasiswa universiti di dalam arena politik negara bukanlah satu rahsia walaupun melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU (1971), pembabitan mahasiswa di dalam politik kepartian adalah dilarang dan merupakan kesalahan selagi mahasiswa itu berstatus mahasiswa berdaftar di IPTA atau IPTS. Melalui persatuan serta pembabitan mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sebenarnya mahasiswa berkecimpung di dalam politik secara sedar atau tidak sedar. Saya melihat, di universiti terutama di USM, mahasiswa berpecah kepada 2 kelompok besar yakni yang menyokong kerajaan dan yang menyokong pembangkang. Penyokong kerajaan pula dari kelompok yang menggelarkan pendokong Aspirasi pelajar manakala penyokong pembangkang berselindung di sebalik persatuan mahasiswa Islam dan sebagainya. Walaupun mereka yang terlibat di dalam hal ini menafikan bahawa mereka terlibat di dalam politik, namun terdapat usaha dari pihak mereka untuk menyebarkan doktrin samada menyokong kerajaan atau membantah kerajaan. 

Sebenarnya, idea kerajaan mewujudkan AUKU merupakan tindakan yang bijak. Ini adalah kerana kerajaan melihat potensi sebilangan pelajar yang tidak sangat fokus kepada pelajaran, tetapi lebih kepada ingin membuat kacau kepada keharmonian negara. Sebahagian mahasiswa di negara ini masih belum mampu menjadi cukup matang untuk menilai akibat daripada pembabitan mereka di dalam politik. Buktinya cukup jelas berdasarkan kejadian yang berlaku baru-baru ini. Tindakan sebahagian mahasiswa daripada kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) membuat kacau di PWTC menuntut kepada pemansuhan AUKU merupakan tindakan yang amat tidak matang serta biadap serta menjejaskan integriti mahasiswa secara umumnya. Tindakan menurunkan bendera yang memaparkan wajah pemimpin serta digantikan dengan bendera kumpulan mereka merupakan tindakan bodoh yang dilakukan oleh golongan yang sepatutnya mampu berfikir secara rasional dengan tahap akademik mereka. Namun, tindakan kurang matang sebeginilah yang menjadikan AUKU relevan dan akan sentiasa relevan pada masa akan datang. Pada masa mahasiswa sepatutnya berjuang untuk menamatkan pelajaran serta menuntut ilmu sebanyak yang boleh diuniversiti, namun lain pula yang telah mereka lakukan. Inilah sebabnya mengapa mahasiswa dilarang berpolitik. Mahasiswa di Malaysia secara amnya masih belum cukup matang serta selalu beremosi bila sesuatu isu berbangkit.

Kalau kita lihat demo yang dilakukan kumpulan mahasiswa tersebut, rata-rata merupakan mahasiswa berbangsa Melayu. Pelajar daripada bangsa lain terutamanya Cina tidak terlalu terikut dengan emosi untuk melakukan kerja bodoh sedemikian. Kalau kita lihat, sebagai contoh di USM, pelajar Cina amat menonjol dari segi akademik serta aktiviti ko-kurikulum. Mereka amat berusaha keras semata-mata untuk mendapat ilmu secukupnya agar ijazah yang mereka perolehi nanti menjadi ijazah yang berkualiti. Amat sedih melihat anak bangsa sendiri yang menggadai maruah bangsa. Kalaupun mahu menentang kerajaan, mereka sepatutnya beristiqamah serta mengenang kembali apa yang telah kerajaan usahakan demi memastikan kebanyakan rakyat di negara ini mendapat pendidikan yang sewajar. Kelompok ini jika kita persoalkan perkara sedemikian, pasti mereka akan menjawab bahawa sudah menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan yang memerintah untuk menyediakan semua perkara yang terbabit. Padahal mereka tidak sedar, tanpa kebijaksanaan kerajaan, maka untuk menyediakan segala kemudahan untuk membangunkan modal insan tidak akan menjadi kenyataan.

Mereka ini mempersoalkan polisi kerajaan. Padahal, kerajaan 'sudah pergi berperang sebelum mereka sempat tumbuh gigi lagi'. Mereka ini hanya layak di gelar mahasiswa pemusnah bangsa sahaja. Pada hemat saya, pihak universiti perlu mengambil tindakan tegas kepada pelajar sebegini menggunakan AUKU sebelum AUKU dimansuhkan. Cuma itu sahaja cara untuk mengajar manusia yang tidak mengenang budi. Mereka ini, sekiranya dibiarkan, cuma akan menjadi duri dalam daging kepada semua mahasiswa yang lain walaupun jumlah mereka ini tidaklah dominan yang boleh mengganggu gugat kerajaan. Pastinya, ada tangan disebalik demo yang mereka lakukan. Mereka ini cuma boneka untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kerajaan Malaysia kerajaan yang teruk, yang penuh dengan korupsi serta salah laku kepemimpinan. Berjuang atas nama hak asasi, padahal hak asasi merupakan istilah ciptaan barat yang mahu memimpin dunia mengikut acuan mereka. Maka, wujudlah keldai bertopengkan manusia yang terlolong memekik-mekik tentang hak asasi serta hak bersuara tanpa tahu hujung pangkal apa yang mereka perjuangkan itu. Akhirnya, harga diri, maruah bangsa serta masa depan tergadai, angkara kebodohan mahasiswa ini mencari kesalahan orang lain. Mereka ini, kalau mereka gagal dalam peperiksaan pun, pasti kerajaan lah akan dipersalahkan oleh mereka.

Nov 6, 2011

'Salam Aidil Adha'

Assalamualaikum WBT..

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!
Lailahaillahu Allahuakbar!
Allahuakbar Walillahilham!!

Alhamdulillah, hari ni, dapat sekali lagi kita merayakan hari kebesaran umat Islam iaitu Aidil Adha atau Hari Raya Korban 1432H. Syukur, kerana walaupun di dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ni, dengan bencana alam seperti banjir, gempa bumi y berlaku di banyak tempat di seluruh dunia, umat Islam masih lagi mampu untuk bersama2 menadah tangan, menunduk syukur serta mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan melafazkan takbir serta tahmid memuji kebesaran Allah. Syukur, di Malaysia ini, suasana tenteram serta nikmat keamanan masih mampu kita hirup walaupun pelbagai rintangan yang perlu kita hadapi.

Pada masa yang sama sekarang, berjuta umat Islam berkumpul di Tanah Suci Mekah untuk melakukan ibadah haji. Penyatuan yang berlaku amat menakjubkan, di mana umat Islam tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, masing2 menyibukkan diri menjadi tetamu Allah pada tahun ini dan pada setiap tahun.  Alangkah beruntungnya mereka kerana dijemput menjadi tetamu Allah tahun ini. Entahkan bila giliran kita untuk sampai ke sana bertemu dengan Allah. Semoga semua umat Islam yang melakukan ibadat haji tahun ini mendapat haji yang mabrur serta bersungguhnya beribadat. Bukan semata2 untuk menggunakan title haji dan hajjah saja bila pulang nanti, tapi perlu berubah secara total menjadi mukmin yang lebih cemerlang dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan moral serta penguatan akidah islamiah.

Aidil Adha juga merupakan hari kebesaran yang disarankan untuk kita melakukan ibadah korban yakni menyembelih binatang ternakan seperti lembu, kambing, unta dan lain2 untuk diberikan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Namun, korban bukan semata2 menyembelih leher binatang ternakan kemudian memberi kepada fakir miskin. Ia adalah lebih dari itu. Korban dalam erti kata sebenarnya ialah mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar2 pengabdian. Pada hari ini juga, pengorbanan yang perlu kita lakukan di dalam hidup kita perlu lebih termotivasi untuk kita lakukan. Sebagai contoh, perokok, perlu bermotivasi untuk berhenti merokok, mengorbanan nafsu dan keinginan diri demi kesihatan diri serta keluarga. Pelbagai kaedah pengorbanan yang boleh dilakukan, bukan semata2 menyembelih lembu dan kambing. Konsep sebegini yang perlu ditekankan, akan maksud pengorbanan dapat dihayati dengan sedalam2nya.

Saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA kepada semua umat Islam. Semoga kita sentiasa redha dengan kehidupan yang ada di depan kita dan bersedia untuk melakukan pengorbanan. Setiap orang beriman, tidak akan sempurna iman mereka selagi mana mereka belum diuji dan melakukan pengorbanan.

'Alif, Lam, Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.'(Surah Al-Ankabut 1-5)

Oct 8, 2011

'Bajet 2012'

Semalam merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat terutama mereka yang menjadi penjawat awam. Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Malaysia merupaka agenda tahunan yang senantiasa dinantikan bagi melihat apakah usaha kerajaan untuk menyenangkan kehidupan rakyat, memakmurkan negara serta memaju negara ke matlamat yang betul. Secara jujurnya, saya tidak berminat untuk mengetahui bagaimana cara kerajaan membahagikan perbelanjaan negara. Apa yang menjadi minat saya cumalah ingin mengatahui bagaimana perbelanjaan itu sampai kepada rakyat marhain. 

Jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas, bajet untuk 2012 menunjukkan perbelanjaan kerajaan bertambah. Tahun lepas, Bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM 212 billion. Tetapi, kali ini, sebanyak RM 232.8 billion akan dibelanjakan. Ini merupakan perkara normal diatas pertambahan belanjawan. Mengikut perangkaan, kadar defisit masih kekal di tahap 4.7 % semenjak krisis ekonomi 1998. Kejatuhan nilai USD tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk percambahan ekonomi kerana ekonomi Malaysia masih bergantung kepada negara tersebut walaupun rakan dagangan terbesar Malaysia merupakan negara-negara Asia termasuk Singapore, Thailand dan Jepun. 

Secara kasar, bajet kali ini lebih realistik dan dekat kepada rakyat. Tidak ada lagi projek mega yang membazir seperti pembinaan Menara Warisan yang di bentangkan pada bajet yang lepas. Bajet kali ini, yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai bajet pilihanraya, memberi tumpuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pelbagai inisiatif, antaranya iaitu pemansuhan yuran persekolahan bagi pelajar menengah dan rendah, mewujudkan lebih banyak Kedai 1Malaysia yang dijangkakan bagi mengimbangkan spekulasi harga barang-barang keperluan harian daripada pemborong,  pemberian subsidi untuk beras, gula dan lain-lain serta skim pemilikan rumah oleh rakyat. Ini semua merupakan pendekatan untuk membolehkan semua rakyat mempunyai keperluan asas untuk kehidupan harian. Adalah tidak adil jika dikatakan bahawa ini merupakan bajet pilihanraya kerana belanjawan negara dibentang setiap tahun serta di setiap tahun, ada saja peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat tanpa menunggu pilihanraya. Lagipun, bajet yang dibentangkan adalah bajet yang telah sedia digarapkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) yang dibentangkan tahun lepas. Agenda kerajaan adalah untuk melaksanakan perancangan jangka panjang untuk membangunkan Malaysia melalui belanjawan yang berhemat serta sampai kepada sasaran.

Kita mesti realistik bila mempersoalkan bajet negara kita. Ada yang mempersoalkan kenapa bajet yang begitu besar diperlukan. Jawapannya mudah, setiap tahun pendapatan kerajaan semakin meningkat, termasuk pendapatan rakyat melalui jumlah perkapita. Jika dibandingkan, kadar pendapatan perkapita setiap rakyat bertambah sebanyak 30% berbanding 10 tahun yang lalu. Begitu juga dengan GDP kerajaan, yang cuma berjumlah USD 340 billiom berbanding sekarang iaitu lebih dari USD 700 billion. Ini bukan bermaksud, banyak dapat, banyak yang dibelanjakan. Pertambahan jumlah penduduk, nilai barang serta ekonomi semasa dunia memerlukan kerajaan berbelanja lebih untuk menggalakkan kitaran ekonomi yang lebih mampan. Tapi, apa yang perlu dititik beratkan oleh kerajaan ialah memastikan bahawa belanjawan yang diumumkan kepada rakyat akan sampai lebih 80% kepada rakyat dan mengelakkan sebarang ketirisan daripada berlaku. Rakyat menilai serta melihat tindak-tanduk pemimpin mereka kerana rakyat sekarang semakin bijak. Jika kerajaan masih tidak mampu menangani situasi sebegini, tidak mustahil 1 hari nanti, Buku Jingga pembangkang akan menjadi pilihan mereka.

Jul 8, 2011

'Boikot Produk Yahudi serta Cakap Tak Serupa Bikin'

Sudah lama saya ingin mengulas tentang perihal boikot produk-produk yang di dakwa dimiliki oleh Yahudi serta Israel. Namun, baru-baru ini, isu ini kembali segar di memori saya serta membolehkan saya memberi ulasan. Saya pernah menerima 1 flyer tentang senarai produk-produk yang kononnya milik Yahudi serta penggunaan terhadap produk-produk itu akan secara tidak langsung menjadikan kita benifactor atau penyumbang kepada keganasan serta sumber kekayaan Yahudi pada hari ini. Saya tidak menafikan hakikat tersebut serta mungkin ada kebenarannya. Namun, dengan memboikot produk-produk itu, adakah ia akan menjatuhkan Yahudi?Serta yang keduanya, bagaimanakah dengan mereka-mereka yang mencari nafkah dengan berkhidmat dengan syarikat-syarikat penyedia produk-produk tersebut di Malaysia. 

Sebagai contoh, McDonald (M) dikatakan menyumbangkan hasilnya kepada Yahudi. Serta pernah dimiliki oleh Yahudi. Untuk makluman pembaca yang dihormati, McDonald adalah sebuah syarikat pegangan awam (Public Traded Company or PTC). Maksudnya, sesiapa yang mempunyai duit atau dana serta kelayakan dari segi undang-undang untuk menjadi pemilik saham McDonald, maka tidak ada masalah untuk menjadi pemilik McDonald hatta orang Yahudi sekalipun. Pernah satu ketika, McDonald dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi iaitu Jack M. Greenber, yang juga Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry, Inc. serta McDonald juga ditaja oleh Jewish United Fund (JUF). Namun, pemilik McDonald sekarang adalah Jim Skinner, seorang berbangsa kulit putih America. 

Ada pelbagai lagi isu serta kontroversi tentang hubungan McDonald dan Yahudi, namun di Malaysia, McDonald ini telah pun terkeluar daripada lanskap Yahudi. McDonald telah memberi lesen kepada Golden Arches Restaurant Sdn Bhd., milik Tan Sri Vincent Tan kalau tak salah saya pada tahun 1980. Restoran McD yang pertama telah dibuka pada tahun 1982 di Jalan Bukit Bintang. Namun, apa yang perlu kita tahu, selepas lebih 20 tahun di Malaysia, McD mula diterajui oleh orang Melayu beragama Islam. Bukan itu yang patut dibanggakan. Pelbagai kerja-kerja kebajikan serta pelunasan tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia yang perlu kita sokong. McDonald juga telah menyediakan pekerjaan kepada hampir 2000 orang di seluruh Malaysia dengan lebih 170 cawangan di seluruh Malaysia. Oleh kerana ia merupakan perniagaan franchais, McD telah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan serta menyempurnakan impian kerajaan bagi mewujudkan usahawan bumiputra yang maju dan berdaya saing. Sekiranya semua orang mengambil langkah bodoh dengan memboikot McD, siapakah yang akan membantu 2000 orang pekerja untuk mencari rezeki.


Saya tidak membantah langkah untuk memboikot, namun kita perlu menyediakan asas yang kukuh supaya Islam tampak indah dengan tindakan yang akan kita ambil. Di zaman Rasulullah, baginda SAW pernah memboikot perniagaan Yahudi kerana sistem kapitalis serta riba yang dilakukan oleh mereka. Namun, sebelum boikot itu dilaksanakan, Rasulullah SAW memerintahkan Abdul Rahman bin Auf, seorang pakar ekonomi Islam yang terkenal memulakan pasar Islam atau Suqul Ansar yang diuruskan 100% oleh orang-orang Islam. Setelah pasar itu mula berjalan dengan lancar, barulah tindakan boikot dilaksanakan. Ini supaya selepas itu umat Islam tidak lagi terlibat bermuamalat dengan orang Yahudi. Pada hari ini, ramai yang berteriak supaya memboikot produk-produk Yahudi, namun tidak pula menyediakan alternatif untuk menggantikan produk tersebut. Malah, mereka ini tidak dapat lari daripada menggunakan produk Yahudi. Inilah yang dinamakan cakap tidak serupa bikin. Peribahasa Melayu menjelaskan perkara ini dengan 'meludah ke langit, terkena muka sendiri'.


Sebenarnya, kita tidak ada inisiatif untuk memajukan umat Islam. Selalu tindakan yang diambil membawa kita ke belakang. Tidak ada matlamat yang konkrit, cuma yang ada hanyalah emosi yang cuba menghalalkan setiap tindakan. Sikap malas untuk berfikir di luar kotak, bersederhana hanya mencambahkan penyakit jiwa yang merasakan diri sendiri yang lebih bijak daripada orang lain.


Sebagai contoh, ada yang kononnya, tidak akan menjejakkan kaki ke McD kerana kononnya syarikat milik Yahudi. Tetapi pada masa yang sama bekerja di syarikat komputer milik Yahudi. Ada yang kononnya tidak mahu minum Coca-Cola tetapi pada masa yang sama aktif menggunakan Facebook yang diasaskan oleh seorang yang berketurunan Yahudi. Ada yang tidak meminum air Sprite, tetapi pada masa yang sama menyokong serta menyarung jersi pasukan bolasepak yang dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi. Adakah ini situasi yang sihat. Kita cuma menimbulkan kekacauan serta ketakutan pada mereka yang ikhlas mencari rezeki dengan bekerja di syarikat-syarikat produk berkenaan. Inilah dikatakan cakap tidak serupa bikin.


Hakikatnya, dunia hari ini amat bergantung kepada produk-produk yang dijelmakan oleh mereka yang berketurunan Yahudi. Kerana apa? Kerana itu adalah janji Allah dimana diakhir zaman, Yahudi akan diberi peluang untuk menakluki dunia selepas dua kali diusir dari al-Quds. Sejarah bangsa mereka yang sangat panjang serta 'great diaspora' bangsa itu menjadikan mereka bertaburan di seluruh pelusuk dunia hari ini serta menguasai ilmu Allah untuk menguasai dunia. 


Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakkan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar." Maka apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama dari kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka maharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak, dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. Jika kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri; dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagai mana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.
(Al-Isra': 4 - 7)


Setiap perbuatan serta pemikiran kita, perlu kita teliti agar orang disekeliling kita tidak meragui pendirian kita. Biarlah kita sentiasa bersikap besederhana dalam apa jua perkara. Musuh kita kuat kerana kita yang lemah. Hari ini, Hamas di Palestin masih belum mampu bersatu dengan Fatah. Negara-negara Arab yang kaya raya masih tidak mampu merajai dunia kerana sentiasa alpa dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Serta kita, masih suka untuk mengambil tindakan terkebelakang di dalam usaha untuk memerangi mereka. Semoga saya berada di jalan yang benar serta diredhai Allah. Usahakan supaya umat Islam menjadi bangsa berilmu serta menyumbangkan sesuatu kepada dunia. Dan sumbangan itu akan menjadikan mereka bergantung dengan kita di dalam menjalani kehidupan mereka diakhir-akhir umur dunia ini. Serta barulah kita akan dihormati serta tidak lagi bergantung kepada produk mereka. Wallahualam.

Jun 27, 2011

'Duit Rakyat atau Duit Kerajaan'


Baru-baru ini, seperti biasa, saya telah menyertai 1 perdebatan di dalam FB. Dan seperti biasa juga, topik yang dibincangkan tidak dapat lari daripada isu semasa dan politik. Saya melihat, pemuda serta pemudi pada masa sekarang ini lebih cenderung untuk menyalahkan kerajaan sedia ada diatas apa jua yang berlaku di negara ini. Memang, tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap situasi yang berlaku di dalam negara, namun adakah kerajaan yang sempurna di dunia ini?

Saya sebagai generasi yang lahir selepas kemerdekaan, tidak melihat dengan mata kepala sendiri betapa peritnya datuk nenek kita berjuang melawan penjajah dan mendapat kemerdekaan untuk tanah air kita. Namun, saya cuba menjadi manusia yang bersyukur dengan kurniaan yang diberikan Allah SWT melalui pemimpin sedia ada yang bertungkus lumus memakmurkan negara dengan izin Allah sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Syukur...

Namun, saya kecewa apabila membaca di ruangan siber serta di ruangan sosial, terdapat ramai golongan muda yang tidak henti-henti memaki hamun serta menyalahkan kerajaan, kononnya kerajaan ini zalim serta menindas rakyat. Saya tidak nampak, bagaimana kita ditindas, sedangkan saya bebas untuk ke mana-mana, bebas mempraktikkan agama Islam, menziarah sanak saudara serta bergaul dengan semua golongan masyarakat dan bangsa.
Ada yang mempertikaikan kerajaan, kononnya kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tidak cekap, korup, membazirkan wang rakyat serta menindas golongan miskin. Jika dibandingkan sekarang dengan dekad-dekad yang lalu, jelas bahawa generasi hari ini lebih bertuah. Walaupun masih ada yang miskin pada hari ini, namun tidak seperti pada dulu sebab pelbagai agensiyang wujud bagi membela nasib-nasib golongan ini. Saya masih ingat semasa masih kecil, akhir 1980-an, rumah saya masih menggunakan pelita ayam serta dapur minyak tanah. Bekalan air pun diperolehi daripada paip kerajaan, yang dikongsi dengan beberapa buah rumah yang lain. Bapa saya membeli getah air yang panjang untuk menyalurkan air ke rumah kami. Awal-awal pagi, mak saya sudah keluar dari rumah untuk pergi membuka air di pili kerajaan itu serta menadah di dalam kolah di bilik air rumah saya. Bukan hanya kami yang susah, namun jiran-jiran saya ramai yang tidak berkemampuan. Pada masa itu, untuk meminta bantuan daripada kerajaan agak susah kerana kerajaan pun tidak berkemampuan untuk membekalkan air dan elektrik ke setiap rumah. Keadaan berubah di dalam dekad 90-an. Keadaan sedemikian menjadikan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan pada hari ini.
Namun, sekarang ini ada pula yang mempertikaikan duit kerajaan adalah duit rakyat, bukan duit kerajaan. Bagi saya, mereka ini merupakan golongan bodoh sombong yang tidak faham tentang perihal kenegaraan dan apakah yang membentuk sesebuah negara itu. Wujud sebuah negara, perlu ada kerajaan serta rakyat. Tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan persekitaran yang selesa kepada rakyat tinggal serta memenuhi keperluan rakyat. Sebagai negara yang membangun, saya melihat, kerajaan Malaysia, dari hari kita merdeka sehingga kini telah berjaya untuk memakmurkan negara ini. Apa jua istilah, duit rakyat atau duit kerajaan, yang pasti duit-duit tersebut digunakan untuk tujuan pentadbiran serta membangunkan negara. Rakyat mendapat manfaat daripada apa yang kerajaan lakukan serta kerajaan mendapat manfaat daripada wujudnya rakyat. Saya selalu mengambil contoh ‘Sim City’. Walaupun ia bukan menggambarkan situasi yang sebenar, namun ia merupakan satu contoh yang terbaik bagaimana sesebuah negara itu berfungsi. Rakyat serta kerajaan memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, saya banyak melakukan eksperimen dalam permainan itu bagaimana mentadbir negara. Akhirnya, saya sedar, betapa susah untuk kita membahagikan pendapatan negara, kepada rakyat serta negara sendiri. Bila pendapatan tinggi, saya cuba untuk menaiktarafkan bandar saya, untuk menarik lebih banyak pelaburan serta menjana ekonomi, namun kadang-kadang tindakan itu tidak berhasil dan pendapatan mula menurun. Setiap perkara itu berkaitan. Menaikkan cukai, rakyat marah. Menurunkan cukai, terjadi pula inflasi serta kurang pendapatan negara.
Tiada istilah duit rakyat atau duit kerajaan kerana itulah duit rakyat dan itulah duit kerajaan. Semuanya berkaitan kerana kerajaan juga merupakan rakyat untuk negara ini. Kita tidak nafikan, memang berlaku pembaziran di pihak kerajaan, namun kita tidak melihat pembaziran di pihak rakyat. Sebagai contoh, kerajaan memberi subsidi untuk air serta elektrik, tetapi berapa ramai yang membazir kedua-duanya serta terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya mereka bayar. Bukan niat untuk menggalakkan pembaziran, namun bila kita cuba menuding jari kearah orang lain, saya rasa kita perlu cerminkan diri kita sendiri. Sekiranya kita di dalam skala yang kecil ini tidak mampu untuk mengawal perbelanjaan dengan cermat, bagaimana pula kerajaan yang mentadbir sebuah negara yang melibatkan berbillion-billion ringgit. Di kawasan perumahan saya, saya melihat kebanyakkan orang disini memandu kereta mewah terutamanya orang Cina. Namun, masih ramai yang nama mereka diletakkan di papan kenyataan kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan bangunan. Ada yang berhutang RM18000 dengan pihak pengurusan. Akibatnya, orang yang membayar yuran pun terpaksa menerima kesan akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab itu. Padahal, pendapatan yang mereka dapat, digunakan untuk menukar kereta baru serta membuat perkara lain yang tidak penting. Jadi, bagaimanakah kita mampu menuding jari kepada kerajaan semata-mata dengan mengatakan kerajaan membazir sedangkan kita tidak mampu mengawal perbelanjaan sendiri.
Cuba kita lihat negara ini, dan bandingkan dengan negara-negara lain. Walaupun kerajaan hari ini bukanlah sempurna, namun ia adalah yang terbaik berbanding dengan negara lain. Sebagai contoh, lihat bagaimana kerajaan Malaysia berjaya meloloskan diri daripada masalah ekonomi tahun 1998 serta 2008 yang lalu. Lihat sahaja bagaimana negara maju seperti Greece, Republik Ireland yang hampir muflis kerana kaedah mentadbir ekonomi yang amat teruk. Kita hari ini, masih menghirup nafas kemakmuran kerana kecekapan kerajaan kita mentadbir.

Kita membayar cukai, serta kerajaan menyediakan tanah untuk kita tinggal. Kalau kata duit cukai adalah duit rakyat, bagaimana dengan pendapatan kerajaan melalui usaha gigih kerajaan menarik pelaburan serta eksport negara ke negara luar itu dikategorikan? Ini tidak boleh dinilai dengan pemecahan sebegitu. Ianya berkaitan antara satu sama lain dan inilah yang membentuk sebuah negara. 

Saya berharap, generasi pada masa ini lebih bersyukur dengan nikmat yang kita ada pada hari ini. Dengan menyalahkan kerajaan semata-mata dalam semua hal, adakah ia akan menyempurnakan ketidaksempurnaan kerajaan ini? Kita perlu menyumbang sesuatu yang benar-benar memberi manfaat kepada kita serta generasi akan datang. Jangan jadi bodoh kerana kebodohan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Cubalah cari, kalau ada kerajaan di dunia ini yang sempurna seperti yang digambarkan di dalam ceramah-ceramah parti pembangkang yang begitu sempurna. Kalau ada negara sebegitu, saya menyeru kepada mereka ini, pergilah ke negara tersebut serta tinggal di sana. Ingatlah, hanya kerajaan Allah selepas kiamatnya dunia yang sempurna lagi abadi.