Jul 24, 2012

Ramadhan al-Mubarak

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah ayat 183)

Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini, aku, isteri, anak serta kedua mak dengan bapak aku diberi peluang untuk bertemu Ramadhan. Perasaan rindu kepada Ramadhan tidak pernah padam. Tapi semakin dekat hari nak sampai ke bulan yang penuh kemuliaan ini, hati sentiasa berdebar kerana takut bila-bila masa sahaja dijemput ajal. Walaupun mengingati mati itu merupakan salah satu cara atau method untuk mengilatkan hati, namun apabila keinginan untuk berada di bulan Ramadhan membuak-buak menyebabkan seketika aku takut kepada kematian.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesunggubnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sababat-sababat bertanya: Apakah pengilapnya wahai Rasulullah?. Rasulullah menerangkan: membaca Al Quran dan mengingati maut (mati).' (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Hari pertama Ramadhan tahun ini disambut di rumah mak abah mentua ku, di Kamunting. Kami balik untuk berpuasa di Kamunting kerana isteri aku mahu bersama maknya yang baru saja dua hari selesai menjalani rawatan kemoterapi. Kami jugak telah meninggalkan Asshaff untuk dijaga oleh adik isteriku, kerana kami berdua akan ke Singapore pada puasa kedua. Aku rasa, persiapan untuk menyambut Ramadhan tahun ini antara yang paling sederhana kerana sibuk menguruskan hal-hal rawatan penyakit mak mentua aku. Kami berulang alik ke hospital sejak hari Rabu (3 hari sebelum puasa) sehingga hari Jumaat, sehari sebelum puasa. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan mak mentuaku selamat menjalani rawatan susulan untuk penyakitnya. 

Bersederhana dalam apa jua perkara amatlah ditekan di dalam ajaran agama Islam.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Agama itu mudah, tidaklah agama itu diperkeraskan oleh seseorang melainkan agama itu akan mengalahkannya, yakni orang yang memperkeras-keraskan itu sendiri yang nantinya akan merasa tidak kuat meneruskannya. Maka dari itu, bersikap luruslah engkau semua, lakukanlah yang sederhana sahaja. Jikalau tidak kuasa melakukan yang sesempurna-sempurnanya, bergembiralah untuk memperoleh pahala, sekalipun sedikit. Juga mohonlah pertolongan dalam melakukan sesuatu amalan itu, baik di waktu pergi pagi-pagi,petang-petang atau pun sebahagian waktu malam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Semasa aku di Alor Setar minggu lepas, aku telah ke pasar besar Alor Setar, sehari sebelum puasa untuk membeli keperluan untuk hari Jumaat tersebut. Tapi, tujuan aku ke pasar agak terganggu kerana pasar besar itu amat sesak dengan lautan manusia membeli belah bahan-bahan mentah untuk keperluan puasa. Aku amat pelik dengan budaya sebegini. Adakah ini budaya yang sihat dan menjadi tuntutan dalam Islam dalam kita menyambut bulan Ramadhan. Kebanyakkan yang aku tengok, penuh tangan mereka dengan beg-beg plastik. Kalau untuk bersangka baik, mungkin mereka semua ingin meraikan Ramadhan dengan masak sesuatu yang special pada hair Jumaat tersebut, mungkin jugak. Tapi takkan semua orang mempunyai keluarga yang besar sehingga perlu untuk membeli begitu banyak. Takkan hari terakhir sebelum berpuasa, merupakan hari terakhir kita dapat membeli barang-barang keperluan. Sampaikan nak berjalan pun, aku terpaksa menyelit-nyelit di celah-celah orang ramai. Seingat aku, hari Jumaat tu lah merupakan hari yang mak aku masak secara simple. Mak aku cuma suruh beli telur, ikan masin dan telur masin sahaja untuk keperluan bersahur. Mungkin ada yang berpendapat, ini adalah perkara biasa serta rezeki masing-masing termasuk rezeki para peniaga sebelum berpuasa. Namun, jika ini dijadikan budaya, maka tidak akan tercapailah salah satu matlamat untuk kita berpuasa mengikut ajaran Islam yakni bersederhana, berjimat dan jangan membazir.

Satu lagi, ketika aku pergi ke bazar Ramadhan hari pertama Ramadhan. Memang kebiasaan dibulan puasa, aku dan isteri lebih senang untuk membeli juadah di bazar Ramadhan. Tapi, hari tu, aku cuma berjalan-jalan untuk melihat suasana bazar Ramadhan di Kamunting. Ramai kat sana, aku lihat membeli sangat banyak juadah untuk berbuka. Ada seorang hamba Allah, aku tengok seolah-olah kesemua jari-jarinya tergantung plastik-plastik makanan, tapi masih sempat menyuruh isterinya menelefon ibu mereka, bertanya, apa yang ibunya mahukan dari bazar tersebut. Suasana ini amat mengecewakan. Sepatutnya, perbelanjaan harian dapat dijimatkan di bulan Ramadhan sebab makan cuma sekali sehari. Tapi, yang terjadi adalah sebaliknya. Perbelanjaan jadi berlebih-lebihan pulak kalau begitulah caranya berbelanja di bazar Ramadhan. Ini tak ambik kira perbelanjaan untuk persiapan raya lagi. Kalaulah semuanya di makan sekalipun juadah tu (aku pasti lebih banyak yang akan ke tong sampah), masih tak sampai matlamat yakni bersederhana ketika berbuka. 

Jadi, sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, lebih baik untuk kita semua melakukan perkara yang selari dengan syariat agama. Perbanyakkan amal ibadah, membaca al-Quran serta berzikir mengingati Allah SWT. Rasa sangat tenang di hati terutama di waktu malam, dengan suasana cerah dan suara-suara zikir serta tasbih memuji kebesaran Allah dari masjid-masjid. Begitu jugak ketika bersahur. Kalau kat TV pun, rancangan berbentuk keagamaan mengisi slot-slot program 24 jam. Bila bangun bersahur pun, rasa begitu bersemangat. Suara-suara membaca al-Quran jelas kedengaran dari masjid. Alhamdulillah, sudah tentu ramai yang merindui suasana sebegini. Waktu-waktu solat fardu di masjid-masjid pun, ramai orang datang berjemaah bersama, sehingga penuh saf-saf di masjid. Diharapkan, amalan sebegini akan kekal walaupun bila Ramadhan ini telah berakhir nanti. Semoga kita semua beroleh keampunan dan rahmat dari Allah dengan semua amalan yang kita lakukan dengan ikhlas.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaan Allah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk Al-Targhib II : 206)