Apr 6, 2015

'Salasilah Keturunan Wan di Negeri Kedah'

Dalam entri kali ini, saya ingin menceritakan tentang salasilah keturunanWan di Negeri Kedah Darul Aman. Artikel ini dipetik daripada facebook 'Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad'.


Catatan dalam buku Sejarah Kedah mengesahkan salasilah keturunan Wan adalah cucu-cicit Mahsuri, seri kandi Melayu dari Langkawi yang mati dibunuh angkara fitnah.

Pemangku Yang Dipertua Wan Kedah (Wasilah), Wan Shamsuddin Wan Mohd. Yusof, menjelaskan Wan yang ada di Kedah sekarang memang daripada keturunan anak tunggal Mahsuri, Wan Hakim.

Menurutnya, Mahsuri telah dihukum sula pada tahun 1819 angkara difitnah oleh pemerintah Langkawi ketika itu Datuk Karma Wijaya yang berdendam kerana tidak dapat memperisterikannya. Wanita itu dituduh bermukah dengan seorang pemuda bernama Deramang.

Semasa hukuman dijalankan, petanda yang ditugas menikam telah tertikam buah dada Mahsuri lantas mengalirkan air susunya.

“Pada masa kejadian, Mahsuri baru dua bulan melahirkan Wan Hakim hasil perkongsian hidupnya dengan Wan Derus.
“Oleh kerana itu orang mengatakan Mahsuri keramat, kerana melihat darah yang mengalir berwarna putih. Tapi yang dilihat itu adalah air susunya,” kata Wan Shamsuddin lagi.
Semasa sedang nazak itulah Mahsuri berdoa kepada Allah supaya memberikan petunjuk kepada orang yang memfitnahnya.
“Ya Allah, ya Tuhanku, tunjukkanlah kekuasaan-Mu. Jadikanlah Langkawi ini huru-hara selama tujuh keturunan, disebabkanangkara fitnah mereka,” rintih Mahsuri dalam doanya. Sebaik melafaz dua kalimah syahadah, dia pun menghembuskan nafas akhir.

Selepas kematian Mahsuri, Wan Derus membawa Wan Hakim meninggalkan Langkawi kerana ada khabar mengatakan, kedua-duanya sedang dicari oleh Karma Wijaya. Dari Langkawi, Wan Derus menyusur pantai dan tiba di sebuah perkampungan Melayu di Phuket, Thailand. Dia diterima baik oleh orang-orang pulau itu lalu menetaplah kedua-dua beranak itu di Kampung Kemala.

Wan Hakim kemudian berkahwin dengan gadis kampung tempat dia membesar. Keturunan beliaulah yang berkembang biak sampai sekarang.

Menurut Wan Shamsuddin lagi, antara keturunan Mahsuri di Kedah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ibunya Wan Tempawan Wan Hanafi daripada keluarga Wan Su, keturunan Datuk Temenggong Kulut salah seorang cucu-cicit Mahsuri dari Bukit Lada.

“Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak memakai gelaran Wan di pangkal nama kerana ibunya Wan Tempawan berkahwin dengan Mohamad Iskandar yang bukan dari kalangan Wan,” katanya.

Begitu juga dengan penderma hati, Wan Mohd. Hafizam. Dia adalah keturunan Mahsuri dari Changloon. Sementara Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah keturunan Mahsuri di Langkawi.

Wan Shamsuddin yang juga merupakan tokoh sejarah Kedah, bangga apabila nama Wan diabadikan di beberapa batang jalan di Kedah. Antaranya, Jalan Pasar Seberang Perak di Alor Setar telah diubah kepada Jalan Wan Mat Saman, mengambil sempena pembina terusan terkenal di Kedah.

Begitu juga pada sebuah bulatan yang dinamakan Teluk Wan Jah. Beliau keturunan Mahsuri dari Pattani yang dihadiahkan oleh Raja Siam kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid.

“Bukan kita nak mendewa-dewakan keturunan Wan tetapi bertujuan untuk mengeratkan dan menghimpun serta menjalin tali silaturrahim serta mengembangkan sejarah.” katanya lagi.

Menurutnya sehingga kini kira-kira 10,000 hingga 15,000 keturunan Wan tinggal berselerak di kampung-kampung dan Bandar seluruh Kedah termasuk negeri bersempadan seperti Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

“Keturunan Wan di Perak dan Wan Kedah adalah serumpun dan mempunyai pertalian darah selepas peristiwa Kedah menyerang Perak angkara dipaksa oleh pihak Siam,” katanya.

Apabila sampai di Kuala Kangsar pertempuran sengit meletus. Perak berjaya ditakluk oleh Kedah. Bagaimanapun akhirnya Kedah dan Perak berdamai selepas begitu ramai askar Kedah jatuh hati dengan gadis-gadis Perak.

“Maka lahirlah keturunan Wan di Perak. Jadi Wan di Perak memang mempunyai pertalian rapat dengan Wan di Kedah,” katanya.

Bagaimanapun menurut Wan Shamsuddin, keturunan Wan Di Kedah tiada kaitan dengan Wan di Kelantan. Ini kerana keturunan Wan di Kelantan adalah golongan bangsawan atau keturunan diraja yang memerintah negeri itu. Ia bukan dari keturunan Mahsuri,” katanya.

Wan Shamsuddin juga menyatakan, Sultan Abdul Halim, Sultan Kedah sekarang, merupakan sultan ketujuh yang memerintah. Begitu juga keturunan Mahsuri sudah sampai kepada tujuh keturunan.
“Sumpahan Mahsuri telah berakhir. Tetapi, keturunan sebelah Datuk Karma Jaya, yang menjatuhkan hukuman ke atas Mahsuri sudah pupus dan tidak diketahui lagi waris-warisnya,” kata Wan Shamsuddin.

Beliau juga mengatakan hingga ke hari ini dia belum dapat mengetahui siapa sebenarnya Datuk Karma Jaya yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan Mahsuri.

“Sesiapa jua yang memerintah Langkawi zaman itu diberikan gelaran Datuk Karma Jaya,” katanya.

Sebab itulah sehingga hari ini Persatuan Sejarah Kedah meminta kerajaan Kedah memansuhkan gelaran itu.

“Nama itu tidak patut dikekalkan. Sejarah telah membuktikan angkara orang yang memakai gelaran itulah yang menghuru-harakan negeri Kedah,” kata Wan Shamsuddin lagi.

 

10 comments:

Unknown said...

Yes, great US Military force. Also, in his post you have given a chance to listen about US Military. I really appreciate your work. Thanks for sharing it. Hot Washed Pet Flakes

Unknown said...

Assalamualaikum sy adalah cicit saudara kepada wan jah(nama diguna pada teluk wan jah). Terima kasih atas perkongsian ini

Unknown said...

Assalamualaikum sy adalah cicit saudara kepada wan jah(nama diguna pada teluk wan jah). Terima kasih atas perkongsian ini

Unknown said...

suami Mahsuri(Wan Derus)asal keturunan dari mana?kena kaji....kemungkinan besar ada kaitan dgn keturunan Wan dari kelantan dan Patani....
Wan dari Patani adalah ringkasan dr perkataan Tuan,dlm bahasa arab adalah syed....Arab Yaman yg kahwin dgn anak Raja Patani....sila buat kajian...

Unknown said...

Wan,nik,tengku,tu semua keturunan syeikh jamadil kubro ketrunan wali songo yg berkahwin dgn puteri kelantan

warisan dato bentara kiri & datok kaya maha bijaya selangor said...

assalamualaikum...alhamdulillah walaupun nama saya tiada wan sekurang2nya saya tahu salasilah keturunan moyang saya dato bentara kiri selangor berasal dari wan su(dato temenggong kulut

Muhammad Badrul Hisham Ghazali said...

Asssalaamualaikum,maaf jika saya bertanya soalan.Sumpahan Mahsuri berdarah putih,Jika puteri lindungan bulan macam mana ceritanya

DiahNoh said...

Sedih cerita puteri lindungan Bulan...Sian puteri 2 akhirnye meninggal dunia....

Saiful said...

Rasanya dorg hanya ambil susur galur wan deris dan mahsuri sahaja...sejarahnya skrg yg dikira dari kisah lagenda mahsuri..sbb tu wan yg lain x diambil kira kerana tiada kena mengena dgn mahsuri..klu ada pun dgn keluarga asal wan deris

Anonymous said...

Assalamualaikum semua sedulur...Saya Wan Mohd Hafizam..terima kasih kerana mempamirkan sejarah saya..Semoga keturunan ini terperlihara..InsyaAllah sapam hormat semua