Dec 19, 2011

'Bila Mahasiswa Dibenarkan Berpolitik'

Penglibatan mahasiswa universiti di dalam arena politik negara bukanlah satu rahsia walaupun melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU (1971), pembabitan mahasiswa di dalam politik kepartian adalah dilarang dan merupakan kesalahan selagi mahasiswa itu berstatus mahasiswa berdaftar di IPTA atau IPTS. Melalui persatuan serta pembabitan mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sebenarnya mahasiswa berkecimpung di dalam politik secara sedar atau tidak sedar. Saya melihat, di universiti terutama di USM, mahasiswa berpecah kepada 2 kelompok besar yakni yang menyokong kerajaan dan yang menyokong pembangkang. Penyokong kerajaan pula dari kelompok yang menggelarkan pendokong Aspirasi pelajar manakala penyokong pembangkang berselindung di sebalik persatuan mahasiswa Islam dan sebagainya. Walaupun mereka yang terlibat di dalam hal ini menafikan bahawa mereka terlibat di dalam politik, namun terdapat usaha dari pihak mereka untuk menyebarkan doktrin samada menyokong kerajaan atau membantah kerajaan. 

Sebenarnya, idea kerajaan mewujudkan AUKU merupakan tindakan yang bijak. Ini adalah kerana kerajaan melihat potensi sebilangan pelajar yang tidak sangat fokus kepada pelajaran, tetapi lebih kepada ingin membuat kacau kepada keharmonian negara. Sebahagian mahasiswa di negara ini masih belum mampu menjadi cukup matang untuk menilai akibat daripada pembabitan mereka di dalam politik. Buktinya cukup jelas berdasarkan kejadian yang berlaku baru-baru ini. Tindakan sebahagian mahasiswa daripada kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) membuat kacau di PWTC menuntut kepada pemansuhan AUKU merupakan tindakan yang amat tidak matang serta biadap serta menjejaskan integriti mahasiswa secara umumnya. Tindakan menurunkan bendera yang memaparkan wajah pemimpin serta digantikan dengan bendera kumpulan mereka merupakan tindakan bodoh yang dilakukan oleh golongan yang sepatutnya mampu berfikir secara rasional dengan tahap akademik mereka. Namun, tindakan kurang matang sebeginilah yang menjadikan AUKU relevan dan akan sentiasa relevan pada masa akan datang. Pada masa mahasiswa sepatutnya berjuang untuk menamatkan pelajaran serta menuntut ilmu sebanyak yang boleh diuniversiti, namun lain pula yang telah mereka lakukan. Inilah sebabnya mengapa mahasiswa dilarang berpolitik. Mahasiswa di Malaysia secara amnya masih belum cukup matang serta selalu beremosi bila sesuatu isu berbangkit.

Kalau kita lihat demo yang dilakukan kumpulan mahasiswa tersebut, rata-rata merupakan mahasiswa berbangsa Melayu. Pelajar daripada bangsa lain terutamanya Cina tidak terlalu terikut dengan emosi untuk melakukan kerja bodoh sedemikian. Kalau kita lihat, sebagai contoh di USM, pelajar Cina amat menonjol dari segi akademik serta aktiviti ko-kurikulum. Mereka amat berusaha keras semata-mata untuk mendapat ilmu secukupnya agar ijazah yang mereka perolehi nanti menjadi ijazah yang berkualiti. Amat sedih melihat anak bangsa sendiri yang menggadai maruah bangsa. Kalaupun mahu menentang kerajaan, mereka sepatutnya beristiqamah serta mengenang kembali apa yang telah kerajaan usahakan demi memastikan kebanyakan rakyat di negara ini mendapat pendidikan yang sewajar. Kelompok ini jika kita persoalkan perkara sedemikian, pasti mereka akan menjawab bahawa sudah menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan yang memerintah untuk menyediakan semua perkara yang terbabit. Padahal mereka tidak sedar, tanpa kebijaksanaan kerajaan, maka untuk menyediakan segala kemudahan untuk membangunkan modal insan tidak akan menjadi kenyataan.

Mereka ini mempersoalkan polisi kerajaan. Padahal, kerajaan 'sudah pergi berperang sebelum mereka sempat tumbuh gigi lagi'. Mereka ini hanya layak di gelar mahasiswa pemusnah bangsa sahaja. Pada hemat saya, pihak universiti perlu mengambil tindakan tegas kepada pelajar sebegini menggunakan AUKU sebelum AUKU dimansuhkan. Cuma itu sahaja cara untuk mengajar manusia yang tidak mengenang budi. Mereka ini, sekiranya dibiarkan, cuma akan menjadi duri dalam daging kepada semua mahasiswa yang lain walaupun jumlah mereka ini tidaklah dominan yang boleh mengganggu gugat kerajaan. Pastinya, ada tangan disebalik demo yang mereka lakukan. Mereka ini cuma boneka untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kerajaan Malaysia kerajaan yang teruk, yang penuh dengan korupsi serta salah laku kepemimpinan. Berjuang atas nama hak asasi, padahal hak asasi merupakan istilah ciptaan barat yang mahu memimpin dunia mengikut acuan mereka. Maka, wujudlah keldai bertopengkan manusia yang terlolong memekik-mekik tentang hak asasi serta hak bersuara tanpa tahu hujung pangkal apa yang mereka perjuangkan itu. Akhirnya, harga diri, maruah bangsa serta masa depan tergadai, angkara kebodohan mahasiswa ini mencari kesalahan orang lain. Mereka ini, kalau mereka gagal dalam peperiksaan pun, pasti kerajaan lah akan dipersalahkan oleh mereka.