Sesetengah pembaca mesti terfikir, kenapa saya gemar untuk menempelak sikap sesetengah orang yang selalu bertopengkan agama, namun tidak mengamalkan Islam secara apa yang mereka mahu orang lain praktikkan. Saya berfikir, apabila kita belajar tentang agama Islam, maka kita perlu mempraktikkan lebih baik daripada orang lain. Namun, apa yang terjadi di sekeliling saya adalah sebaliknya. Ramai yang saya kenali lebih suka menunjukkan ciri keIslaman, namun dari segi amalan serta pemahaman, ianya masih sempit serta tidak menjurus kepada agama Islam yang syumul.
Saya menulis berdasarkan pemerhatian serta pengalaman dengan orang yang saya kenali samada saudara ataupun kawan-kawan. Berdasarkan pemerhatian saya, 60% daripada mereka ini bukan sahaja bijak berkata-kata tentang hukum-hakam agama, namun isinya kosong serta tidak disertai dengan pengamalan. Mungkin tidak adil penilaian saya ini serta perlu saya kemukakan bukti yang lebih solid, namun pengalaman merupakan guru yang terbaik. Itulah yang menjadi salah satu daripada prinsip kehidupan saya selama ini.
Sebagai contoh, ada seorang daripada saudara saya, selepas beliau berhenti kerja, beliau menyambung pengajian secara tidak formal di sebuah pondok (sekolah pengajian Islam secara tradisional) sementara menunggu peluang kerja yang lain. Memang satu tindakan yang bijak pada saya. Namun, apa yang mengecewakan, selepas itu beliau ini mula mengemukakan pandangan yang kadang-kadang lebih menjurus untuk menunjukkan beliau amat arif tentang agama. Beliau bukanlah self-centered ataupun bercakap besar, tetapi apabila diminta pandangan, pandangan lebih bersifat ekstremis serta tidak berpandukan ajaran agama yang berasas. Sebagai contoh, beberapa bulan yang lepas, nenek saya dan beliau jatuh sakit. Setelah lebih kurang sebulan nenek kami ini terlantar, barulah beliau datang. Itupun setelah dimaklumkan bahawa nenek kami nazak. Pada masa itu, ramai yang berkumpul serta saya tidak sempat berbual dengannya. Kemudian, ditakdirkan, nenek kami sembuh walaupun tidak sepenuhnya. Itulah kali pertama dan terakhir beliau datang menziarahi nenek kami padahal beliau tinggal se-pekan dengan dengan ibu bapa saya dimana nenek saya dijaga. Kemudian, saya menerima forward sms daripada bapa saya daripada saudara saya tersebut. Dia menghantar mesej menyalahkan anak-anak nenek saya itu kenapa nenek yang masih waras tidak diajar solat. Memang benar, orang sakit pun perlu solat, tetapi semasa dia menziarahi nenek kami, orang tua itu di dalam keadaan nazak. Dia juga mempertikaikan kenapa di bacakan Yasin kepada nenek kerana surah al-Quran untuk dibacakan kepada orang sakit bukan Yasin semata-mata. Dan dia juga menambah lagi, kami semua akan menanggung dosa kerana tidak menyembahyangkan nenek kami itu. Semua apa yang dikatakannya betul, namun adakah itu ajaran asas Islam. Meletakkan kesalahan serta menghukum orang ini berdosa atas perkara yang dia sendiri tidak pasti. Padahal dia hanya datang menjenguk orang sakit itu hanya sekali. Adakah itu ajaran Islam yang sebenar. Kita tidak perlu menuduh orang itu dan ini jahil atau kurang agama daripada kita semata-mata kita pergi menuntut ilmu agama. Apa salahnya sekiranya dia datang ke rumah saya, membantu ibu bapa saya menyembahyangkan nenek saya serta menjaga bersama-sama daripada meletakkan hukum itu dan ini.
Ada juga peristiwa, seorang kenalan, yang pada mulanya saya hormati kerana prinsipnya tentang agama. Beliau ini bertudung litup serta berpurdah. Sebelum ini saya amat skeptikal kepada orang yang bertudung labuh ini to be honest. Namun, pada dia, saya merasa kagum kerana caranya yang sederhana. Namun, saya salah. Beliau ini sama seperti yang lain yang pernah menjadi kenalan saya. Merasakan diri amat bagus, beliau apabila memberikan pandangan, lebih cenderung untuk meletakkan orang itu dan ini ke dalam neraka. Dia juga menyerang peribadi orang yang tidak sehaluan dengan ideologinya serta mempertikaikan keimanan seseorang itu. Saya masih ingat bagaimana ada seorang hamba Allah yang menyatakan pendapatnya tentang isu yang yang si purdah ini timbulkan. Bagi saya, di dalam Islam, setiap ilmu itu tiada penghujungnya. Kita tidak boleh mendakwa ideologi kitalah yang terbaik. Saya membaca hujah kedua-dua mereka serta menyatakan hujah saya. Namun saya amat terkejut bila si purdah ini memetik sepotong ayat al-Quran yang menyatakan, 'dan berilah maaf kepada mereka yang jahil'. Apa yang dia maksudkan, hamba Allah yang menyatakan pandangan itu jahil serta dia berhak memaafkannya. Pada saya, hamba Allah yang tadi juga mempunyai pendapat yang bernas yang boleh difikirkan. Memotong ayat-ayat al-Quran secara sembrono kemudian menjatuhkan hukum kepada orang lain adalah satu perbuatan keji yang memperlekehkan al-Quran. Mereka ini juga gemar menilai siapa yang ke syurga dan siapa ke neraka. Kalau kita ikutkan pendapatnya, hampir tiada orang di Malaysia ini ke syurga kerana dihukum melakukan bidaah.
Sebenarnya banyak contoh lagi yang menggambarkan tahap pemikiran mereka yang masih di dalam kotak. Mereka ini malas bergaul, cetek pengalaman serta memahami Islam secara sembrono. Maaf, mungkin saya juga memahami Islam secara sembrono, namun saya cuba untuk tidak mengkafirkan orang itu dan ini serta bagi saya, sekiranya ada orang yang berani mengatakan orang ini ke syurga atau neraka, mereka ini cuba untuk menjadi Tuhan, nauzubillah. Inilah corak orang 'alim' yang pernah saya kenali.