Apr 15, 2011

Kaji Selidik Kepuasan Pekerja

3 minggu yang lalu, saya telah bekesempatan untuk membantu rakan saya, Ashley dalam menjalankan kontrak yang diperolehi daripada sebuah syarikat utiliti swasta untuk menjalankan Kaji Selidik Kepuasan Pekerja (Employees Saticfaction Survey) untuk semua pekerja syarikat itu. Projek yang meliputi semua cawangan syarikat tersebut serta membabitkan lebih kurang 1000 pekerjanya yang terdiri dari pelbagai pangkat dan bahagian telah berjalan dengan lancar. Tujuan syarikat terbabit melantik syarikat milik Ashley iaitu Customer Voice Sdn. Bhd. adalah untuk memastikan bahawa setiap maklumat yang diberikan oleh pekerja tentang syarikat tersebut adalah terperinci serta maklumat peribadi pekerja akan dirahsiakan. Ini adalah untuk memastikan yang para pekerja merasa bebas serta tidak berasa was-was serta takut untuk mengemukakan apa saja perasaan mereka kepada syarikat tersebut. Perihal ini penting kerana setiap syarikat pasti mempunyai urus tadbir yang positif serta negatif dan setiap perkara itu perlu ditangani secara bijak agar semua pekerja berasa gembira untuk menyumbangkan tenaga kepada syarikat. Serta, setiap kritikan perlu diterima dengan lapang hati oleh pihak pengurusan syarikat. Identiti pekerja yang memberi apa saja maklumat dirahsiakan bagi memastikan karier mereka di syarikat tersebut tidak terjejas oleh apa saja maklum balas yang diberikan.

Pengalaman yang saya perolehi amatlah berharga sepanjang proses menjalankan kaji selidik tersebut. Perlu bangun seawal 5 pagi supaya kami dapat sampai ke setiap cawangan syarikat itu pada waktu pekerja syif malam dan syif pagi bertukar agar setiap pekerja akan dapat menjawab kaji selidik tersebut. Setiap hari, saya sempat bersolat subuh di merata masjid di sekitar Pulau Pinang ini sebelum pergi ke cawangan syarikat tersebut yang terletak di seluruh daerah di Pulau Pinang ini. Proses kaji selidik itu dibahagi kepada kumpulan-kumpulan kecil agar suasana kondusif memberi peluang kepada semua pekerja untuk menjawab kaji selidik itu secara serius serta profesional. Peluang bertemu dengan pelbagai lapisan pekerja syarikat tersebut daripada peringkat pengurusan sehingga peringkat yang paling bawah yakni pekerja di bahagian pengeluaran mendedahkan saya betapa besarnya jurang di antara pekerja bawahan dan atasan serta perbezaan sosio-ekonomi mereka. Di peringkat bawahan, adakalanya saya perlu untuk membaca soalan satu persatu kepada pekerja-pekerja kerana terdapat segelintir daripada mereka yang buta huruf dan tidak tahu membaca. Ada juga pekerja yang mengalami kesukaran untuk memahami bahasa Malaysia bagi setiap soalan tersebut. Apa yang saya buat adalah mencuba untuk menterjemahkan setiap soalan kepada bahasa yang paling mudah tetapi masih di dalam konteks soalan yang sebenar.

Masalah utama pekerja di peringkat bawahan tentulah kadar upah yang tidak setimpal. Pada pemerhatian saya, kebanyakkan pekerja peringkat bawahan ini mengeluh tentang gaji yang kecil tetapi kos sara hidup yang tinggi di Pulau Pinang ini. Dan mereka semuanya seperti telah berpakat meminta pihak pengurusan mempertimbangkan gaji yang setimpal. Kerja mereka nampak sangat berat. Mereka terpaksa mengerah tulang empat kerat untuk kerja yang dilakukan. Timbul rasa belas kasihan kepada beberapa pekerja yang telah berumur tetapi masih terpaksa untuk membuat kerja yang berat. Ini mungkin kerana faktor kelayakan mereka dengan kerja yang mereka buat. Ada sebilangan kecil yang bernasib baik dinaikkan pangkat berdasarkan pengalaman dan kebolehan walaupun berkelayakan rendah. Mereka ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Usia persaraan mereka yang semakin hampir mungkin menyesakkan dada mereka apabila memikirkan tentang sumber pendapatan mereka selepas persaraan nanti.

Peluang melakukan kaji selidik ini membawa saya ke cawangan-cawangan syarikat ini yang ada diantaranya mempunyai pemandangan yang cukup indah kerana ia terletak diatas bukit serta tanah tinggi.

Syarikat Customer Voice pula, selain melaksanakan kaji selidik sebegini, ia turut menjalankan latihan atau Training untuk bidang pemasaran (marketing) serta pelanggan (customer). Merupakan syarikat yang menggunakan modul daripada Amerika Syarikat untuk bidang marketing, ia merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran selama bertahun-tahun dalam bidang ini. Walaupun merupakan syarikat baru, kredibiliti serta profesionalismenya tidak dapat dinafikan lagi. Apatah lagi bila selesai saja kaji selidik dengan syarikat swasta terbabit. Ini adalah kerana, profesionalisme itulah yang menyebabkan syarikat itu diyakini serta kaji selidik itu menerima sokongan yang menyeluruh daripada keseluruhan pekerja.

Di dalam bidang perniagaan, pelanggan adalah perkara yang paling penting untuk kelangsungan setiap perniagaan itu. Inilah tujuan Customer Voice dibina. Ia adalah untuk membantu setiap perniagaan agar mewujudkan servis yang terbaik agar pelanggan merasa dihargai dan sentiasa menyokong perniagaan tersebut.