Jun 27, 2012

Pandangan Aku

Sejak dua menjak kebelakangan ini, aku seringkali terperangkap dalam perbahasan di dalam status-status di Facebook yang bersifat polemik, provokasi serta kurang berilmiah. Sebenarnya, aku berprinsip untuk tidak terlalu memberi pandangan serta buah fikiran yang kurang bersifat ilmiah, yakni kurang berfakta. Namun, kadang-kadang, perasaan untuk membalas setiap komen-komen tersebut tidak boleh ditahan-tahan walaupun selepas itu aku merasa menyesal kerana terlibat berhujah dengan orang yang suka mencipta provokasi serta tidak ada tujuan lain melainkan untuk memaki hamun orang lain.

Aku gemar untuk membaca hal-hal berkaitan politik serta isu-isu semasa. Sehinggakan sampai ke satu tahap, aku rasa seperti mahu menukar bidang pengajian PhD aku ke ilmu politik supaya pendapat aku lebih didengari oleh khalayak. Tetapi, bagi sesetengah pihak, untuk berpolitik tidak perlu mempunyai tahap pendidikan akademik yang tinggi. Semata-mata bijak berhujah, ianya sudah cukup untuk menjadi ahli politik. Itu sebenarnya merupakan pemikiran serta pandangan yang kurang tepat. Bila kita terlibat dengan pencarian ilmu berlandaskan fakta serta kajian, ia sebenarnya lebih membuka minda agar bersifat lebih terbuka dan berfikiran matang dalam membuat sebarang keputusan. Ahli akademik biasa mempunyai pemikiran yang tajam kerana daya pemikiran sentiasa diasah oleh perkara-perkara baru setiap hari sehinggakan buah fikiran itu kadang-kadang, berlawan arus dengan pemikiran politik semasa. Namun, untuk menjadi ahli akademik yang begitu tinggi ilmunya, masa serta usaha adalah kunci kepada ilmu tersebut.

Aku melihat, kadang-kadang, ramai yang salah sangka dengan apa yang ingin aku sampaikan. Kadang-kadang niat aku menulis begini, ditafsir sebegitu. Sehinggakan wujud anasir-anasir yang cuba mencipta provokasi bila berhujah dengan aku serta lebih gemar menyerang peribadi. Fitnah serta andaian menjadi senjata wajib untuk mematahkan hujah pihak lawan, yakni aku. Tetapi, walaupun aku cuba bersikap tenang, namun kadang-kadang aku ter'sangkut' untuk berlawan hujah walaupun aku sedar, aku sedangkan menggadaikan prinsip aku untuk berhujah dengan fakta serta ilmu. Ramai sebenarnya manusia di luar sana yang bersikap sebegini. Mereka fikir mereka amat bijak berhujah, namun mereka tidak sedar, mereka sedang menyebarkan hujah yang tidak benar, cuma lebih yang bersifat andaian. Pengalaman untuk berhujah dengan beberapa orang yang begitu berilmu, mengajar aku untuk lebih berhati-hati ketika memberi fakta. Aku akan memastikan bahawa fakta itu tepat dahulu. Walaupun bukan 100% tepat, tetapi peratusan yang tinggi perlu di ambil kira bahawa ia adalah fakta yang benar dan boleh diterima. Ini merupakan perkara asas yang perlu diamalkan oleh setiap orang untuk memastikan bila berkongsi sesuatu, kita tidak dapat lain kecuali ilmu serta pelajaran.

Tetapi, apa yang penting, jangan sesekali digadaikan ukhwah bila berlawan hujah terutama di facebook. Kita perlu bersifat matang serta menghormati setiap perkara yang diberitahu kepada kita. Kadang-kadang, aku sendiri terpaksa meng'unfriend'kan individu yang tidak memenuhi kriteria untuk menjadi friend di facebook. Bukan sebab membenci, tetapi atas dasar, lebih baik untuk tidak berhubung di facebook demi untuk menjaga ukhwah di dunia realiti. Ada yang kadang-kadang tidak faham, dengan membawa perbalahan di dunia maya ke dunia realiti. Inilah yang hendak kita semua elakkan. Biar apa pun terjadi, perasaan untuk meramaikan sahabat perlu lebih kuat dari perasaan ingin mencari musuh.