Oct 8, 2011

'Bajet 2012'

Semalam merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat terutama mereka yang menjadi penjawat awam. Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Malaysia merupaka agenda tahunan yang senantiasa dinantikan bagi melihat apakah usaha kerajaan untuk menyenangkan kehidupan rakyat, memakmurkan negara serta memaju negara ke matlamat yang betul. Secara jujurnya, saya tidak berminat untuk mengetahui bagaimana cara kerajaan membahagikan perbelanjaan negara. Apa yang menjadi minat saya cumalah ingin mengatahui bagaimana perbelanjaan itu sampai kepada rakyat marhain. 

Jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas, bajet untuk 2012 menunjukkan perbelanjaan kerajaan bertambah. Tahun lepas, Bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM 212 billion. Tetapi, kali ini, sebanyak RM 232.8 billion akan dibelanjakan. Ini merupakan perkara normal diatas pertambahan belanjawan. Mengikut perangkaan, kadar defisit masih kekal di tahap 4.7 % semenjak krisis ekonomi 1998. Kejatuhan nilai USD tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk percambahan ekonomi kerana ekonomi Malaysia masih bergantung kepada negara tersebut walaupun rakan dagangan terbesar Malaysia merupakan negara-negara Asia termasuk Singapore, Thailand dan Jepun. 

Secara kasar, bajet kali ini lebih realistik dan dekat kepada rakyat. Tidak ada lagi projek mega yang membazir seperti pembinaan Menara Warisan yang di bentangkan pada bajet yang lepas. Bajet kali ini, yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai bajet pilihanraya, memberi tumpuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pelbagai inisiatif, antaranya iaitu pemansuhan yuran persekolahan bagi pelajar menengah dan rendah, mewujudkan lebih banyak Kedai 1Malaysia yang dijangkakan bagi mengimbangkan spekulasi harga barang-barang keperluan harian daripada pemborong,  pemberian subsidi untuk beras, gula dan lain-lain serta skim pemilikan rumah oleh rakyat. Ini semua merupakan pendekatan untuk membolehkan semua rakyat mempunyai keperluan asas untuk kehidupan harian. Adalah tidak adil jika dikatakan bahawa ini merupakan bajet pilihanraya kerana belanjawan negara dibentang setiap tahun serta di setiap tahun, ada saja peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat tanpa menunggu pilihanraya. Lagipun, bajet yang dibentangkan adalah bajet yang telah sedia digarapkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) yang dibentangkan tahun lepas. Agenda kerajaan adalah untuk melaksanakan perancangan jangka panjang untuk membangunkan Malaysia melalui belanjawan yang berhemat serta sampai kepada sasaran.

Kita mesti realistik bila mempersoalkan bajet negara kita. Ada yang mempersoalkan kenapa bajet yang begitu besar diperlukan. Jawapannya mudah, setiap tahun pendapatan kerajaan semakin meningkat, termasuk pendapatan rakyat melalui jumlah perkapita. Jika dibandingkan, kadar pendapatan perkapita setiap rakyat bertambah sebanyak 30% berbanding 10 tahun yang lalu. Begitu juga dengan GDP kerajaan, yang cuma berjumlah USD 340 billiom berbanding sekarang iaitu lebih dari USD 700 billion. Ini bukan bermaksud, banyak dapat, banyak yang dibelanjakan. Pertambahan jumlah penduduk, nilai barang serta ekonomi semasa dunia memerlukan kerajaan berbelanja lebih untuk menggalakkan kitaran ekonomi yang lebih mampan. Tapi, apa yang perlu dititik beratkan oleh kerajaan ialah memastikan bahawa belanjawan yang diumumkan kepada rakyat akan sampai lebih 80% kepada rakyat dan mengelakkan sebarang ketirisan daripada berlaku. Rakyat menilai serta melihat tindak-tanduk pemimpin mereka kerana rakyat sekarang semakin bijak. Jika kerajaan masih tidak mampu menangani situasi sebegini, tidak mustahil 1 hari nanti, Buku Jingga pembangkang akan menjadi pilihan mereka.