Jul 13, 2015

'Kisah Saya Zahra dan Generasi Y'

Mendengar keluhan generasi muda tentang kehidupan yang perit di bumi bertuah bernama Malaysia umpama lagu hit terkini yang sentiasa diputarkan oleh stesen-stesen radio. Susah sangatkah kehidupan di zaman serba moden dan berteknologi tinggi ini. Bukankah pelbagai perkara telah oleh sebilangan pencipta untuk memudahkan kehidupan orang ramai. Ooo, ini bukan berkaitan teknologi, tapi lebih kepada kesusahan akibat polisi pembangunan sosio-ekonomi yang sentiasa menjadi perhatian di dalam sesebuah masyarakat madani.

Ok, back to the title. Baru-baru ni, tersebar kisah tentang rintihan seorang wanita muda bernama Zahra tentang bagaimana mencabarnya hidup di zaman ini. Secara ringkasnya, beliau menceritakan bahawa beliau yang berusia 23 tahun, baru graduate dari sebuah universiti dengan bidang yang tidak diiktiraf menjalani kehidupan yang serba kekurangan. Kesimpulan yang beliau lontarkan adalah, beliau mewakili generasinya menyuarakan tentang betapa kehidupan sekarang begitu susah dalam persekitaran ekonomi negara yang tidak membantu. Beliau tidak mampu membalas budi kedua ibu bapa, malah masih menagih simpati dari keduanya dalam menampung kehidupan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Saya sebenarnya memerlukan beberapa hari untuk menghadam apa yang beliau perkatakan itu. Memang ada point-point beliau kita terpaksa bersetuju. Namun, secara keseluruhannya, beliau ini rasanya tidak berpijak dibumi yang nyata. Sesiapa saja rasanya, di usia semuda beliau akan bertatih untuk mencari pengalaman dalam kehidupan. Tambahan pula jika baru lepas berijazah. Walaupun dapat kerja yang baik dengan gaji yang mewah, tetapi mesti akan melalui fasa yang memerlukan daya dahan yang tinggi dalam mengatur kehidupan dan merancang ekonomi diri sendiri. Sebagai contoh, ada yang baru bekerja tetapi terus merasakan yang mereka mampu memakai kereta yang lebih dari kemampuan (biasa bila baru nak beli kereta, memang rasa mampu. Tapi bila dah beli, baru tahu pakai kereta bukan cuma isi minyak saja, macam-macam kena tanggung). Mungkin tujuannya baik untuk kegunaan pergi dan balik kerja. Tapi, bila tidak pandai merancang ekonomi diri sendiri, maka akibatnya akan ditanggung oleh diri sendiri.

Realitinya, setiap individu akan mengalami jatuh bangun dalam kehidupan, walaupun di usia mana sekalipun. Malah, ada yang susah sehingga ke tua walaupun pelbagai perkara dilakukan untuk meningkatkan taraf kehidupan. Rezeki milik mutlak Allah SWT. Dia yang akan berikan, malah dia yang akan tarik bila-bila saja yang Dia mahu. 

Saya melihat, generasi muda hari begitu manja. Kalau ada sedikit kesusahan, merekalah yang paling lantang bersuara. Jiwa mereka tidak tabah, kerana sedari kecil, mereka dibesarkan di dalam persekitaran yang boleh dikatakan sebagai senang. Generasi ini yang kerap mengkritik kerajaan, mengkritik persekitaran mereka supaya dapat memberi apa yang mereka mahukan. Sedangkan umum mengetahui, untuk menjadi senang, kita perlu sentiasa competent ataupun bersaing. Persaingan pula datang dalam cara dan kaedah yang pelbagai. Ada yang perlukan masa yang lama untuk berjaya, ada yang cuma perlukan masa yang singkat sebelum menjadi juara dalam persaingan itu. Apa yang penting, kita tidak perlu tunduk kepada tekanan. Falsafah Inggeris ada menyebut 'although you are a slow walker, but don't walk backward'. 

Memang setiap orang ada cita-cita untuk membantu kedua ibu bapa setelah bertahun-tahun mereka berkorban untuk memberi pelajaran kepada kita. Tetapi, rasanya itu bukanlah alasan untuk kita sentiasa mengomel dengan ketidakcukupan di dalam kehidupan kita. Mereka tentunya faham, malah ramai di kalangan ibu bapa yang langsung tidak mengharapkan anak-anak untuk membalas jasa mereka yang tidak terbalas itu. Apa yang mereka mahu, anak mereka telah berjaya mereka besarkan, dan sedang menjalani kehidupan lebih baik daripada mereka dahulu.
 
Mengharapkan serba-serbi mudah ataupun rezeki datang bergolek bukanlah ciri-ciri seorang yang berjaya. Di dalam al-Quran, Allah menceritakan tentang bagaimana Allah memberikan keistimewaan kepada Bani Israel, sehinggakan jika mereka mahu makanan, Allah SWT turunkan dari langit kepada mereka. Akhirnya, masyarakat ini menjadi lemah dari sudut iman, akidah dan sosial. Mereka menjadi tidak bersyukur, malah pada suatu ketika, mereka menjadi bangsa yang dimurkai oleh Allah. Inilah yang kita tidak mahukan terjadi di dalam masyarakat kita.

Jadilah kita sebagai masyarakat yang sentiasa bersyukur. 

Dan (ingatlah juga), ketika Tuhanmu berfirman. "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih".  Dan Musa berkata: "Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Ibrahim ayat 7 dan 8).


1 comment:

Lock Smith said...

I was very pleased to find this site.I wanted to thank you for this great read!! I definitely enjoying every little bit of it and I have you bookmarked to check out new stuff you post. Gassed Mercerized Yarn