Dalam entri kali ini, saya ingin menceritakan tentang salasilah keturunanWan di Negeri Kedah Darul Aman. Artikel ini dipetik daripada facebook 'Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad'.
Catatan dalam buku Sejarah Kedah mengesahkan salasilah keturunan Wan
adalah cucu-cicit Mahsuri, seri kandi Melayu dari Langkawi yang mati
dibunuh angkara fitnah.
Pemangku Yang Dipertua Wan Kedah
(Wasilah), Wan Shamsuddin Wan Mohd. Yusof, menjelaskan Wan yang ada di
Kedah sekarang memang daripada keturunan anak tunggal Mahsuri, Wan
Hakim.
Menurutnya, Mahsuri telah dihukum sula pada tahun 1819
angkara difitnah oleh pemerintah Langkawi ketika itu Datuk Karma Wijaya
yang berdendam kerana tidak dapat memperisterikannya. Wanita itu dituduh
bermukah dengan seorang pemuda bernama Deramang.
Semasa hukuman dijalankan, petanda yang ditugas menikam telah tertikam buah dada Mahsuri lantas mengalirkan air susunya.
“Pada masa kejadian, Mahsuri baru dua bulan melahirkan Wan Hakim hasil perkongsian hidupnya dengan Wan Derus.
“Oleh kerana itu orang mengatakan Mahsuri keramat, kerana melihat darah
yang mengalir berwarna putih. Tapi yang dilihat itu adalah air
susunya,” kata Wan Shamsuddin lagi.
Semasa sedang nazak itulah Mahsuri berdoa kepada Allah supaya memberikan petunjuk kepada orang yang memfitnahnya.
“Ya Allah, ya Tuhanku, tunjukkanlah kekuasaan-Mu. Jadikanlah Langkawi
ini huru-hara selama tujuh keturunan, disebabkanangkara fitnah mereka,”
rintih Mahsuri dalam doanya. Sebaik melafaz dua kalimah syahadah, dia
pun menghembuskan nafas akhir.
Selepas kematian Mahsuri, Wan
Derus membawa Wan Hakim meninggalkan Langkawi kerana ada khabar
mengatakan, kedua-duanya sedang dicari oleh Karma Wijaya. Dari Langkawi,
Wan Derus menyusur pantai dan tiba di sebuah perkampungan Melayu di
Phuket, Thailand. Dia diterima baik oleh orang-orang pulau itu lalu
menetaplah kedua-dua beranak itu di Kampung Kemala.
Wan Hakim
kemudian berkahwin dengan gadis kampung tempat dia membesar. Keturunan
beliaulah yang berkembang biak sampai sekarang.
Menurut Wan
Shamsuddin lagi, antara keturunan Mahsuri di Kedah ialah Perdana
Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ibunya Wan Tempawan Wan Hanafi
daripada keluarga Wan Su, keturunan Datuk Temenggong Kulut salah
seorang cucu-cicit Mahsuri dari Bukit Lada.
“Bagaimanapun Dr.
Mahathir tidak memakai gelaran Wan di pangkal nama kerana ibunya Wan
Tempawan berkahwin dengan Mohamad Iskandar yang bukan dari kalangan
Wan,” katanya.
Begitu juga dengan penderma hati, Wan Mohd.
Hafizam. Dia adalah keturunan Mahsuri dari Changloon. Sementara Dr. Wan
Azizah Wan Ismail adalah keturunan Mahsuri di Langkawi.
Wan
Shamsuddin yang juga merupakan tokoh sejarah Kedah, bangga apabila nama
Wan diabadikan di beberapa batang jalan di Kedah. Antaranya, Jalan Pasar
Seberang Perak di Alor Setar telah diubah kepada Jalan Wan Mat Saman,
mengambil sempena pembina terusan terkenal di Kedah.
Begitu juga
pada sebuah bulatan yang dinamakan Teluk Wan Jah. Beliau keturunan
Mahsuri dari Pattani yang dihadiahkan oleh Raja Siam kepada Sultan
Kedah, Sultan Abdul Hamid.
“Bukan kita nak mendewa-dewakan
keturunan Wan tetapi bertujuan untuk mengeratkan dan menghimpun serta
menjalin tali silaturrahim serta mengembangkan sejarah.” katanya lagi.
Menurutnya sehingga kini kira-kira 10,000 hingga 15,000 keturunan Wan
tinggal berselerak di kampung-kampung dan Bandar seluruh Kedah termasuk
negeri bersempadan seperti Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.
“Keturunan Wan di Perak dan Wan Kedah adalah serumpun dan mempunyai
pertalian darah selepas peristiwa Kedah menyerang Perak angkara dipaksa
oleh pihak Siam,” katanya.
Apabila sampai di Kuala Kangsar
pertempuran sengit meletus. Perak berjaya ditakluk oleh Kedah.
Bagaimanapun akhirnya Kedah dan Perak berdamai selepas begitu ramai
askar Kedah jatuh hati dengan gadis-gadis Perak.
“Maka lahirlah keturunan Wan di Perak. Jadi Wan di Perak memang mempunyai pertalian rapat dengan Wan di Kedah,” katanya.
Bagaimanapun menurut Wan Shamsuddin, keturunan Wan Di Kedah tiada
kaitan dengan Wan di Kelantan. Ini kerana keturunan Wan di Kelantan
adalah golongan bangsawan atau keturunan diraja yang memerintah negeri
itu. Ia bukan dari keturunan Mahsuri,” katanya.
Wan Shamsuddin
juga menyatakan, Sultan Abdul Halim, Sultan Kedah sekarang, merupakan
sultan ketujuh yang memerintah. Begitu juga keturunan Mahsuri sudah
sampai kepada tujuh keturunan.
“Sumpahan Mahsuri telah berakhir.
Tetapi, keturunan sebelah Datuk Karma Jaya, yang menjatuhkan hukuman ke
atas Mahsuri sudah pupus dan tidak diketahui lagi waris-warisnya,” kata
Wan Shamsuddin.
Beliau juga mengatakan hingga ke hari ini dia
belum dapat mengetahui siapa sebenarnya Datuk Karma Jaya yang
bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan Mahsuri.
“Sesiapa jua yang memerintah Langkawi zaman itu diberikan gelaran Datuk Karma Jaya,” katanya.
Sebab itulah sehingga hari ini Persatuan Sejarah Kedah meminta kerajaan Kedah memansuhkan gelaran itu.
“Nama itu tidak patut dikekalkan. Sejarah telah membuktikan angkara
orang yang memakai gelaran itulah yang menghuru-harakan negeri Kedah,”
kata Wan Shamsuddin lagi.