Jun 27, 2011

'Duit Rakyat atau Duit Kerajaan'


Baru-baru ini, seperti biasa, saya telah menyertai 1 perdebatan di dalam FB. Dan seperti biasa juga, topik yang dibincangkan tidak dapat lari daripada isu semasa dan politik. Saya melihat, pemuda serta pemudi pada masa sekarang ini lebih cenderung untuk menyalahkan kerajaan sedia ada diatas apa jua yang berlaku di negara ini. Memang, tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap situasi yang berlaku di dalam negara, namun adakah kerajaan yang sempurna di dunia ini?

Saya sebagai generasi yang lahir selepas kemerdekaan, tidak melihat dengan mata kepala sendiri betapa peritnya datuk nenek kita berjuang melawan penjajah dan mendapat kemerdekaan untuk tanah air kita. Namun, saya cuba menjadi manusia yang bersyukur dengan kurniaan yang diberikan Allah SWT melalui pemimpin sedia ada yang bertungkus lumus memakmurkan negara dengan izin Allah sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Syukur...

Namun, saya kecewa apabila membaca di ruangan siber serta di ruangan sosial, terdapat ramai golongan muda yang tidak henti-henti memaki hamun serta menyalahkan kerajaan, kononnya kerajaan ini zalim serta menindas rakyat. Saya tidak nampak, bagaimana kita ditindas, sedangkan saya bebas untuk ke mana-mana, bebas mempraktikkan agama Islam, menziarah sanak saudara serta bergaul dengan semua golongan masyarakat dan bangsa.
Ada yang mempertikaikan kerajaan, kononnya kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tidak cekap, korup, membazirkan wang rakyat serta menindas golongan miskin. Jika dibandingkan sekarang dengan dekad-dekad yang lalu, jelas bahawa generasi hari ini lebih bertuah. Walaupun masih ada yang miskin pada hari ini, namun tidak seperti pada dulu sebab pelbagai agensiyang wujud bagi membela nasib-nasib golongan ini. Saya masih ingat semasa masih kecil, akhir 1980-an, rumah saya masih menggunakan pelita ayam serta dapur minyak tanah. Bekalan air pun diperolehi daripada paip kerajaan, yang dikongsi dengan beberapa buah rumah yang lain. Bapa saya membeli getah air yang panjang untuk menyalurkan air ke rumah kami. Awal-awal pagi, mak saya sudah keluar dari rumah untuk pergi membuka air di pili kerajaan itu serta menadah di dalam kolah di bilik air rumah saya. Bukan hanya kami yang susah, namun jiran-jiran saya ramai yang tidak berkemampuan. Pada masa itu, untuk meminta bantuan daripada kerajaan agak susah kerana kerajaan pun tidak berkemampuan untuk membekalkan air dan elektrik ke setiap rumah. Keadaan berubah di dalam dekad 90-an. Keadaan sedemikian menjadikan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan pada hari ini.
Namun, sekarang ini ada pula yang mempertikaikan duit kerajaan adalah duit rakyat, bukan duit kerajaan. Bagi saya, mereka ini merupakan golongan bodoh sombong yang tidak faham tentang perihal kenegaraan dan apakah yang membentuk sesebuah negara itu. Wujud sebuah negara, perlu ada kerajaan serta rakyat. Tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan persekitaran yang selesa kepada rakyat tinggal serta memenuhi keperluan rakyat. Sebagai negara yang membangun, saya melihat, kerajaan Malaysia, dari hari kita merdeka sehingga kini telah berjaya untuk memakmurkan negara ini. Apa jua istilah, duit rakyat atau duit kerajaan, yang pasti duit-duit tersebut digunakan untuk tujuan pentadbiran serta membangunkan negara. Rakyat mendapat manfaat daripada apa yang kerajaan lakukan serta kerajaan mendapat manfaat daripada wujudnya rakyat. Saya selalu mengambil contoh ‘Sim City’. Walaupun ia bukan menggambarkan situasi yang sebenar, namun ia merupakan satu contoh yang terbaik bagaimana sesebuah negara itu berfungsi. Rakyat serta kerajaan memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, saya banyak melakukan eksperimen dalam permainan itu bagaimana mentadbir negara. Akhirnya, saya sedar, betapa susah untuk kita membahagikan pendapatan negara, kepada rakyat serta negara sendiri. Bila pendapatan tinggi, saya cuba untuk menaiktarafkan bandar saya, untuk menarik lebih banyak pelaburan serta menjana ekonomi, namun kadang-kadang tindakan itu tidak berhasil dan pendapatan mula menurun. Setiap perkara itu berkaitan. Menaikkan cukai, rakyat marah. Menurunkan cukai, terjadi pula inflasi serta kurang pendapatan negara.
Tiada istilah duit rakyat atau duit kerajaan kerana itulah duit rakyat dan itulah duit kerajaan. Semuanya berkaitan kerana kerajaan juga merupakan rakyat untuk negara ini. Kita tidak nafikan, memang berlaku pembaziran di pihak kerajaan, namun kita tidak melihat pembaziran di pihak rakyat. Sebagai contoh, kerajaan memberi subsidi untuk air serta elektrik, tetapi berapa ramai yang membazir kedua-duanya serta terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya mereka bayar. Bukan niat untuk menggalakkan pembaziran, namun bila kita cuba menuding jari kearah orang lain, saya rasa kita perlu cerminkan diri kita sendiri. Sekiranya kita di dalam skala yang kecil ini tidak mampu untuk mengawal perbelanjaan dengan cermat, bagaimana pula kerajaan yang mentadbir sebuah negara yang melibatkan berbillion-billion ringgit. Di kawasan perumahan saya, saya melihat kebanyakkan orang disini memandu kereta mewah terutamanya orang Cina. Namun, masih ramai yang nama mereka diletakkan di papan kenyataan kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan bangunan. Ada yang berhutang RM18000 dengan pihak pengurusan. Akibatnya, orang yang membayar yuran pun terpaksa menerima kesan akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab itu. Padahal, pendapatan yang mereka dapat, digunakan untuk menukar kereta baru serta membuat perkara lain yang tidak penting. Jadi, bagaimanakah kita mampu menuding jari kepada kerajaan semata-mata dengan mengatakan kerajaan membazir sedangkan kita tidak mampu mengawal perbelanjaan sendiri.
Cuba kita lihat negara ini, dan bandingkan dengan negara-negara lain. Walaupun kerajaan hari ini bukanlah sempurna, namun ia adalah yang terbaik berbanding dengan negara lain. Sebagai contoh, lihat bagaimana kerajaan Malaysia berjaya meloloskan diri daripada masalah ekonomi tahun 1998 serta 2008 yang lalu. Lihat sahaja bagaimana negara maju seperti Greece, Republik Ireland yang hampir muflis kerana kaedah mentadbir ekonomi yang amat teruk. Kita hari ini, masih menghirup nafas kemakmuran kerana kecekapan kerajaan kita mentadbir.

Kita membayar cukai, serta kerajaan menyediakan tanah untuk kita tinggal. Kalau kata duit cukai adalah duit rakyat, bagaimana dengan pendapatan kerajaan melalui usaha gigih kerajaan menarik pelaburan serta eksport negara ke negara luar itu dikategorikan? Ini tidak boleh dinilai dengan pemecahan sebegitu. Ianya berkaitan antara satu sama lain dan inilah yang membentuk sebuah negara. 

Saya berharap, generasi pada masa ini lebih bersyukur dengan nikmat yang kita ada pada hari ini. Dengan menyalahkan kerajaan semata-mata dalam semua hal, adakah ia akan menyempurnakan ketidaksempurnaan kerajaan ini? Kita perlu menyumbang sesuatu yang benar-benar memberi manfaat kepada kita serta generasi akan datang. Jangan jadi bodoh kerana kebodohan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Cubalah cari, kalau ada kerajaan di dunia ini yang sempurna seperti yang digambarkan di dalam ceramah-ceramah parti pembangkang yang begitu sempurna. Kalau ada negara sebegitu, saya menyeru kepada mereka ini, pergilah ke negara tersebut serta tinggal di sana. Ingatlah, hanya kerajaan Allah selepas kiamatnya dunia yang sempurna lagi abadi.

1 comment:

Anonymous said...

Apabila dikatakan duit rakyat bukanlah bererti tidak boleh digunakan oleh kerajaqn untuk pbinaan infrastruktur, tetapi tidak boleh disalahguna. Contohnya seperti membeli apartment untuk projek lembu. Atau 1MDB, yang kerajaan Singapura tutup bank kerana salah urus wang, tidak dianggap salah di Malaysia.

Rakyat mahu pengurusan wang yang lebih telus, bukannya diletakkan di bawah aksa rahsia.