Akhirnya, dapat juga saya berkongsi sedikit pendapat tentang prinsip saya tentang isu pengharaman poco-poco di negeri Perak. Sebelum saya berbicara dengan lebih panjang, terlebih dahulu perlu dijelaskan, apa yang menjadi 'concern' atau 'interest' saya bukanlah poco-poco, tetapi kaedah mengharamkan sesuatu perkara yang tiada nas serta dalil yang kukuh mengenainya. Serta adakah wajar tindakan kita mengambil jalan awal atau 'initial proposal' dengan terus meletakkan tanda noktah kepada sesuatu isu tersebut. Pengharaman sesuatu perkara tersebut merupakan kaedah terakhir kerana ia melibat dosa sekiranya kita melanggar hukum tersebut.
Saya pernah meletakkan status di Facebook tentang perkara ini serta mendapat maklum balas yang menarik. Pada perhatian saya, hujah yang diberikan berselitkan emosi kerana sesetengah orang amat elergi dengan sesuatu perkara yang nampak bermanfaat serta berjaya menyatu padukan masyarakat. Kaedah Islam memang yang terbaik untuk menyatu padukan umatnya, seperti solat berjemaah serta aktiviti keagamaan. Namun, tidakkah aktiviti yang tidak bersifat keagamaan perlu ditolak secara total.
Pemberi komen itu pula cenderung untuk menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada beberapa sahabat iaitu Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini ialah Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) dan al-Albani menyatakan bahawa hadis ini hasan. Namun, setiap kali saya mendengar orang yang menggunakan hadis ini, mereka cuma menafsirkan tasyabuhban itu sebagai menyerupai sesuatu yang buruk sahaja. Bagaimana kalau kita menyerupai untuk sesuatu yang positif daripada kaum lain?
Menutup aurat ketika berpoco-poco
Agak pelik apabila hujah yang diberikan lebih melihat kepada sisi negatif poco-poco(saya tidak pasti samada ia negatif atau tidak). Namun, melalui pembacaan saya, salah satu sebab pengharaman adalah disebabkan oleh ia bersifat memuja roh serta ada unsur Kristian yang berasal dari Jamaica. Gerak tari poco-poco yang seperti membentuk salib adalah satu imaginasi yang dangkal. Kalau itulah sebabnya, saya meminta mufti untuk mengharamkan penggunaan huruf 'T' (t) kerana terang-terangan adalah seperti salib. Serta mengharamkan penghasilan parang atau pisau yang ada penyendal tangan berbentuk salib. Paranoid kita ini menyebabkan orang bukan Islam melihat Islam adalah agama yang keras serta ketat padahal Islam ini bermaksud aman serta selamat. Saya tidak fikir orang yang pernah menyertai poco-poco ini mempunyai niat untuk menjatuhkan akidah mereka sendiri serta mahu menjadi Kristian.
Mengharamkan sesuatu perkara boleh dilakukan, namun perlulah metod yang lebih sederhana. Di dalam buku Metod fatwa al-Qardawi, beliau menyatakan di ms 207 perihal Fatwa berkaitan Fiqh Permainan dan Hiburan. Salah satu metodnya ialah mengambil jalan tengah antara golongan yang terlalu longgar serta golongan yang terlalu ketat. Al-Qardawi menjelaskan ulama yang mengeluarkan fatwa tentang isu fiqh permainan dan hiburan pelbagai diantara mereka yang terlalu sempit dengan yang terlalu luas dan diantara yang terlalu ketat dengan yang terlalu mudah. Golongan yang mengambil pendekatan yang terlalu ketat sehingga menjadikan segala sesuatu sebagai haram, manakala golongan yang mengambil pendekatan terlalu longgar sampai ke tahap menjadikan segala sesuatu sebagai halal. Begitulah masyarakat manusia yang tenggelam diantara sikap terlalu ketat dengan terlalu longgar. Kebaikan sebenar terletak pada kaedah pertengahan atau sederhana. Tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar (Al-Qardawi Fiqh al-Lahwi wa al-Tarwih, ms 8).
Jadi, seperti yang saya jelaskan di dalam ketika menjawab komen-komen di Facebook saya, saya lebih bersetuju sekiranya kalau poco-poco tidak Islamik, kita Islamisasikannya. Saya percaya, hanya dengan sedikit garis panduan daripada arif ulama, maka poco-poco akan menjadi senaman biasa serta riadah yang menyeronokkan untuk orang Islam serta yang bukan Islam.
Penting pada masa sekarang ini, kita lebih bersifat terbuka dengan bukan Islam untuk menarik mereka ke agama kita. Namun bukanlah bermaksud kita akan menggadaikan iman serta akidah. Kita perlu mempromosikan Islam sebagai agama yang syumul serta sederhana. Nabi SAW sendiri pernah menunjukkan contoh sebegini pada zaman baginda. Nabi pada satu peristiwa mengizinkan orang-orang Habsyah (Ethiopia) menari-nari dengan lembing mereka di perkarangan masjid dan baginda mengizinkan A'isyah r.a menyaksikan pertunjukkan itu di belakang baginda. Baginda juga membenarkan 2 orang hamba perempuan menyanyi dan memalukan gendang dalam rumah A'isyah r.a dalam keadaan baginda sendiri berada di dalam rumah tersebut. Peristiwa itu berlaku pada hari raya dan baginda memberi alasan dengan bersabda, " Agar orang Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat kelonggaran dan sesungguhnya aku diutuskan untuk membawa agama yang mulia lagi bertoleransi" (Ahmad bin Hambal, al-Musnad, juz 41, hadis no. 24855). Perlu dinyatakan disini, orang Habsyah asalnya beragama Kristian sebelum mereka menjadi Islam dan tarian itu merupakan tarian kaum mereka.
Pada pendapat saya, apa yang boleh dilaksanakan dalam isu poco-poco ini adalah dengan memberi didikan serta menggalakkan orang ramai menjaga adab, aurat serta tidak bercampur lelaki dan perempuan ketika melakukan senaman itu. Kita tahu, masyarakat kita suka dengan perkara hiburan sebegini, jadi kita gunalah hiburan sebegini sebagai alat untuk menyebarkan dakwah Islamiah seperti menyediakan garis panduan seperti diatas. Dengan cara ini, kita dapat menyatu padukan serta mengelakkan perpecahan diantara umat Islam serta menyediakan laman toleransi antara umat Islam serta bukan Islam.
Saya menghormati Tan Sri Harussani Zakaria. Beliau merupakan idola saya serta pandangannya amat bernas. Namun, di dalam soal mengharamkan sesuatu perkara yang kabur, tidak kira poco-poco atau apa-apa, saya merasakan beliau agak ketat. Saya kurang bersetuju untuk perkara-perkara sebegini. Pengharaman memperlihatkan Islam agama yang ekstrim dan andaian bahawa Islam bangkit dari mata pedang mungkin dianggap benar oleh bukan Islam yang memusuhi agama yang hebat ini. Majlis fatwa menjelaskan poco-poco tidak haram selagi mana ia mengikut garis panduan yang tidak menyalahi akidah. Saya mengharapkan para pembaca melihat perkara ini berdasarkan pendapat jumhur ulama di Malaysia, iaitu pendapat yang mengumpul pendapat daripada semua arif ulama Islam.
Jangan jadikan isu kecil ini sebagai perselisihan faham yang memecah belahkan umat Islam. Islam tidak melarang kita mengambil perkara daripada kaum lain asalkan ia bermanfaat kepada Islam itu sendiri. Sebagai contoh, semasa menuntut di Dublin dahulu, saya sering sersolat jumaat di Dublin Mosque (gambar di bawah), sebuah bangunan masjid yang 100% berbentuk seperti gereja di luar. Memang asalnya masjid itu sebuah gereja, namun masyarakat Islam di sana telah membeli gereja itu dan meletakkan lambang bulan dan bintang di hujung bumbung gereja itu. Di bahagian dalam, diletakkan kiblat, mimbar serta tempat untuk wuduk dan dijadikan masjid. Pada lahiriahnya, memang ia menyerupai gereja, namun setelah 'diIslamkan', bangunan itu menjadi masjid yang mengumpulkan kebanyakkan umat Islam di Dublin untuk sama-sama berjemaah dan memakmurkan masjid.
Dublin Mosque, South Circular Road, Dublin, Eire
Akhir tulisan ini, saya letakkan lirik poco-poco untuk khalayak menilai samada lirik itu mempunyai unsur Kristian atau tidak. Lagu berbahasa Menado itu merupakan ciptaan Arie Sapullete dan dinyanyikan oleh Jopie Latul untuk mengiringi apa yang dikenali sebagai 'senam pagi' ataupun senaman oleh masyarakat Menado dan bukan untuk upacara keagamaan.
Balenggang pata-pata,
(Jalannya berlenggang)
(Jalannya berlenggang)
Ngana pe goyang... pica-pica,
(Goyangan badan mu... lincah)
Ngana pe bodi... poco-poco,
(Tubuhmu yang berisi dan lincah)
cuma ngana yang kita cinta,
(Hanya kamu yang ku cinta)
cuma ngana yang kita sayang,
(Hanya kamu yang ku sayang)
cuma ngana suka bikin pusing.
(Hanya kamu suka buat aku pening)
(Goyangan badan mu... lincah)
Ngana pe bodi... poco-poco,
(Tubuhmu yang berisi dan lincah)
cuma ngana yang kita cinta,
(Hanya kamu yang ku cinta)
cuma ngana yang kita sayang,
(Hanya kamu yang ku sayang)
cuma ngana suka bikin pusing.
(Hanya kamu suka buat aku pening)