Jul 13, 2015

'Kisah Saya Zahra dan Generasi Y'

Mendengar keluhan generasi muda tentang kehidupan yang perit di bumi bertuah bernama Malaysia umpama lagu hit terkini yang sentiasa diputarkan oleh stesen-stesen radio. Susah sangatkah kehidupan di zaman serba moden dan berteknologi tinggi ini. Bukankah pelbagai perkara telah oleh sebilangan pencipta untuk memudahkan kehidupan orang ramai. Ooo, ini bukan berkaitan teknologi, tapi lebih kepada kesusahan akibat polisi pembangunan sosio-ekonomi yang sentiasa menjadi perhatian di dalam sesebuah masyarakat madani.

Ok, back to the title. Baru-baru ni, tersebar kisah tentang rintihan seorang wanita muda bernama Zahra tentang bagaimana mencabarnya hidup di zaman ini. Secara ringkasnya, beliau menceritakan bahawa beliau yang berusia 23 tahun, baru graduate dari sebuah universiti dengan bidang yang tidak diiktiraf menjalani kehidupan yang serba kekurangan. Kesimpulan yang beliau lontarkan adalah, beliau mewakili generasinya menyuarakan tentang betapa kehidupan sekarang begitu susah dalam persekitaran ekonomi negara yang tidak membantu. Beliau tidak mampu membalas budi kedua ibu bapa, malah masih menagih simpati dari keduanya dalam menampung kehidupan yang ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Saya sebenarnya memerlukan beberapa hari untuk menghadam apa yang beliau perkatakan itu. Memang ada point-point beliau kita terpaksa bersetuju. Namun, secara keseluruhannya, beliau ini rasanya tidak berpijak dibumi yang nyata. Sesiapa saja rasanya, di usia semuda beliau akan bertatih untuk mencari pengalaman dalam kehidupan. Tambahan pula jika baru lepas berijazah. Walaupun dapat kerja yang baik dengan gaji yang mewah, tetapi mesti akan melalui fasa yang memerlukan daya dahan yang tinggi dalam mengatur kehidupan dan merancang ekonomi diri sendiri. Sebagai contoh, ada yang baru bekerja tetapi terus merasakan yang mereka mampu memakai kereta yang lebih dari kemampuan (biasa bila baru nak beli kereta, memang rasa mampu. Tapi bila dah beli, baru tahu pakai kereta bukan cuma isi minyak saja, macam-macam kena tanggung). Mungkin tujuannya baik untuk kegunaan pergi dan balik kerja. Tapi, bila tidak pandai merancang ekonomi diri sendiri, maka akibatnya akan ditanggung oleh diri sendiri.

Realitinya, setiap individu akan mengalami jatuh bangun dalam kehidupan, walaupun di usia mana sekalipun. Malah, ada yang susah sehingga ke tua walaupun pelbagai perkara dilakukan untuk meningkatkan taraf kehidupan. Rezeki milik mutlak Allah SWT. Dia yang akan berikan, malah dia yang akan tarik bila-bila saja yang Dia mahu. 

Saya melihat, generasi muda hari begitu manja. Kalau ada sedikit kesusahan, merekalah yang paling lantang bersuara. Jiwa mereka tidak tabah, kerana sedari kecil, mereka dibesarkan di dalam persekitaran yang boleh dikatakan sebagai senang. Generasi ini yang kerap mengkritik kerajaan, mengkritik persekitaran mereka supaya dapat memberi apa yang mereka mahukan. Sedangkan umum mengetahui, untuk menjadi senang, kita perlu sentiasa competent ataupun bersaing. Persaingan pula datang dalam cara dan kaedah yang pelbagai. Ada yang perlukan masa yang lama untuk berjaya, ada yang cuma perlukan masa yang singkat sebelum menjadi juara dalam persaingan itu. Apa yang penting, kita tidak perlu tunduk kepada tekanan. Falsafah Inggeris ada menyebut 'although you are a slow walker, but don't walk backward'. 

Memang setiap orang ada cita-cita untuk membantu kedua ibu bapa setelah bertahun-tahun mereka berkorban untuk memberi pelajaran kepada kita. Tetapi, rasanya itu bukanlah alasan untuk kita sentiasa mengomel dengan ketidakcukupan di dalam kehidupan kita. Mereka tentunya faham, malah ramai di kalangan ibu bapa yang langsung tidak mengharapkan anak-anak untuk membalas jasa mereka yang tidak terbalas itu. Apa yang mereka mahu, anak mereka telah berjaya mereka besarkan, dan sedang menjalani kehidupan lebih baik daripada mereka dahulu.
 
Mengharapkan serba-serbi mudah ataupun rezeki datang bergolek bukanlah ciri-ciri seorang yang berjaya. Di dalam al-Quran, Allah menceritakan tentang bagaimana Allah memberikan keistimewaan kepada Bani Israel, sehinggakan jika mereka mahu makanan, Allah SWT turunkan dari langit kepada mereka. Akhirnya, masyarakat ini menjadi lemah dari sudut iman, akidah dan sosial. Mereka menjadi tidak bersyukur, malah pada suatu ketika, mereka menjadi bangsa yang dimurkai oleh Allah. Inilah yang kita tidak mahukan terjadi di dalam masyarakat kita.

Jadilah kita sebagai masyarakat yang sentiasa bersyukur. 

Dan (ingatlah juga), ketika Tuhanmu berfirman. "Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu amatlah pedih".  Dan Musa berkata: "Jika kamu dan orang-orang yang ada di muka bumi semuanya mengingkari (nikmat Allah) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya lagi Maha Terpuji. (Surah Ibrahim ayat 7 dan 8).


Apr 24, 2015

Antara Kerjaya dan Pendidikan Part 2

Baru-baru ini, saya terlibat dengan satu kemalangan kecil. Kereta saya secara tidak sengaja telah melanggar sebuah kereta di depan sebuah restoran (Restoran Minah Penang). Sebenarnya, bukanlah 100% salah saya kerana tidak berhati-hati. Tetapi pada mulanya, kereta saya telah di block oleh kereta terbabit menyebabkan ruang kawasan parking tersebut menjadi sempit. Dalam cubaan saya untuk keluar daripada parking saya, saya telah tidak sengaja terundur ke belakang dan melanggar kereta terbabit. Natijahnya, saya terpaksa ke balai polis untuk membuat laporan dengan tujuan untuk proses claim insuran membaiki kereta.

Tapi, itu bukan cerita saya untuk post kali ini. Cerita sebenar adalah tentang salah satu perbualan saya dengan tuan punya kereta yang saya telah langgar semasa kami sedang menunggu giliran untuk membuat report polis. Setelah beliau mengetahui status saya sebagai seorang pelajar, terkeluarlah satu statement dari beliau tentang urusan dengan pihak polis. Dia berkata, 'nanti bila you dah kerja, baru you tau camna polis-polis ni buat kerja'. Statement tu agak memeranjatkan saya. Saya bertanya di dalam hati, takkan bila dah kerja baru kita akan tahu kehidupan yang sebenar, tahu perangai polis, tahu perangai kerajaan bla bla bla. Tiba-tiba, ia mengingatkan saya tentang kenyataan seseorang lebih kurang setahun yang lalu, berkaitan perkara yang sama. Tetapi, kenyataan individu terbabit lebih arrogant dengan membawa maksud, student, they know nothing about the real world. Tidak ada langsung pengalaman, jadi golongan pelajar ni tidak layak untuk bercakap perkara-perkara berkaitan good governance atau bad governance. Saya pernah menulis hal ni sebelum ini (baca sini). Yang bestnya, hamba Allah terbabit siap pesan, 'good luck bila masuk alam pekerjaan nanti'. Lagi best, bukan dia seorang, ada seorang lagi pun siap kutuk dan maki hamun saya dengan mengatakan, 'kerja pun belum, nak cakap pasal politik'. Ia adalah respon kepada pendapat-pendapat saya berkaitan isu semasa dan politik.

Saya tidak salahkan mereka jika mereka tidak tahu tentang apa yang dinamakan pelajar ijazah tinggi. Yang pertama, mungkin mereka tidak ada pengalaman belajar di peringkat itu. Yang ada di memori mereka, mungkin cuma zaman student waktu ijazah sarjana muda. Tetapi selepas itu, mereka tidak tahu, dalam dunia pelajar ijazah tinggi ini, ianya tidak kurang dan ada ketikanya lebih memeritkan berbanding dengan alam pekerjaan. Waktu bekerja tidak ada tempoh, malah selalunya tidur malam pun kurang kerana mengejar dateline dan sebagainya. Dari segi relationship dengan dunia luar pun, tidak ada kurangnya. Tambahan pula jika penyelidikan itu memerlukan interaksi yang menyeluruh atau melibatkan kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan atau pun swasta. Malah, ada ketikanya, interaksi dengan agensi-agensi sebegini memberi pengalaman dan membuka mata tentang tahap efisiensi dan profesionalisme mereka. Jadi, agak pelik jika ada yang keluarkan statement, bekerja mendedahkan kita kepada dunia sebenar.

Untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas tentang beza antara student dan employee, saya bertanya kepada isteri saya, memandangkan beliau juga pernah menjadi pelajar sehingga ke peringkat PhD, kemudian berkhidmat sebagai pensyarah di universiti. Jawapan beliau, sama saja antara belajar dan bekerja. Yang berbeza, cuma tiap-tiap bulan dapat gaji, dan skop kerja itu lain sedikit. Dari segi masa dan interaksi dengan dunia sekeliling, masih sama, tidak banyak bezanya.

Mungkin, bagi individu ini, mereka rasakan dunia mereka leibh mencabar. Seperti yang saya sebutkan tadi, ini adalah kerana mereka tidak ada pengalaman tentang pengajian di peringkat lebih tinggi (master dan PhD). Mungkin di dalam fikiran mereka, kalau sebut pelajar ni, pergi kelas, buat assigment, hujung tahun ambik exam kemudian cuti semester kemudian ke kelas kemudian ambik exam, begitulah berulang-ulang sampailah saat berijazah. Sedangkan, bagi pelajar ijazah tinggi, tidak ada istilah cuti semester terutamanya yang belajar sepenuhnya dalam mod penyelidikan. Di marah oleh supervisor adalah perkara biasa. Berinteraksi dengan dunia antarabangsa dalam usaha untuk menulis artikel atau jurnal-jurnal penyelidikan adalah perkara biasa.

Meluahkan pendapat tentang apa perkara termasuk politik dan isu semasa, tidak perlu menunggu sehingga kita memasuki alam pekerjaan. Sesiapa saja boleh memberi pendapat. Memberi pendapat, bukanlah bermakna, orang lain perlu menerima pendapat kita semata-mata. Tetapi, ia lebih kepada corak pemikiran kita dan memberi kita dengan lebih jelas tentang variasi pemikiran di dunia ini. Inilah sifat insan yang dicipta oleh Allah sejak dulu hinggalah sekarang.

Jadi, tidak perlulah dibezakan semua itu semata-mata kerana perbezaan pendapat. Meraikan pendapat yang berlainan, lebih menunjukkan kepada orang lain tentang kematangan kita, tidak kisah samada yang telah bekerja atau yang masih struggle menuntut ilmu.

Apr 6, 2015

'Salasilah Keturunan Wan di Negeri Kedah'

Dalam entri kali ini, saya ingin menceritakan tentang salasilah keturunanWan di Negeri Kedah Darul Aman. Artikel ini dipetik daripada facebook 'Saya Sayang Tun Dr Mahathir Mohamad'.


Catatan dalam buku Sejarah Kedah mengesahkan salasilah keturunan Wan adalah cucu-cicit Mahsuri, seri kandi Melayu dari Langkawi yang mati dibunuh angkara fitnah.

Pemangku Yang Dipertua Wan Kedah (Wasilah), Wan Shamsuddin Wan Mohd. Yusof, menjelaskan Wan yang ada di Kedah sekarang memang daripada keturunan anak tunggal Mahsuri, Wan Hakim.

Menurutnya, Mahsuri telah dihukum sula pada tahun 1819 angkara difitnah oleh pemerintah Langkawi ketika itu Datuk Karma Wijaya yang berdendam kerana tidak dapat memperisterikannya. Wanita itu dituduh bermukah dengan seorang pemuda bernama Deramang.

Semasa hukuman dijalankan, petanda yang ditugas menikam telah tertikam buah dada Mahsuri lantas mengalirkan air susunya.

“Pada masa kejadian, Mahsuri baru dua bulan melahirkan Wan Hakim hasil perkongsian hidupnya dengan Wan Derus.
“Oleh kerana itu orang mengatakan Mahsuri keramat, kerana melihat darah yang mengalir berwarna putih. Tapi yang dilihat itu adalah air susunya,” kata Wan Shamsuddin lagi.
Semasa sedang nazak itulah Mahsuri berdoa kepada Allah supaya memberikan petunjuk kepada orang yang memfitnahnya.
“Ya Allah, ya Tuhanku, tunjukkanlah kekuasaan-Mu. Jadikanlah Langkawi ini huru-hara selama tujuh keturunan, disebabkanangkara fitnah mereka,” rintih Mahsuri dalam doanya. Sebaik melafaz dua kalimah syahadah, dia pun menghembuskan nafas akhir.

Selepas kematian Mahsuri, Wan Derus membawa Wan Hakim meninggalkan Langkawi kerana ada khabar mengatakan, kedua-duanya sedang dicari oleh Karma Wijaya. Dari Langkawi, Wan Derus menyusur pantai dan tiba di sebuah perkampungan Melayu di Phuket, Thailand. Dia diterima baik oleh orang-orang pulau itu lalu menetaplah kedua-dua beranak itu di Kampung Kemala.

Wan Hakim kemudian berkahwin dengan gadis kampung tempat dia membesar. Keturunan beliaulah yang berkembang biak sampai sekarang.

Menurut Wan Shamsuddin lagi, antara keturunan Mahsuri di Kedah ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad. Ibunya Wan Tempawan Wan Hanafi daripada keluarga Wan Su, keturunan Datuk Temenggong Kulut salah seorang cucu-cicit Mahsuri dari Bukit Lada.

“Bagaimanapun Dr. Mahathir tidak memakai gelaran Wan di pangkal nama kerana ibunya Wan Tempawan berkahwin dengan Mohamad Iskandar yang bukan dari kalangan Wan,” katanya.

Begitu juga dengan penderma hati, Wan Mohd. Hafizam. Dia adalah keturunan Mahsuri dari Changloon. Sementara Dr. Wan Azizah Wan Ismail adalah keturunan Mahsuri di Langkawi.

Wan Shamsuddin yang juga merupakan tokoh sejarah Kedah, bangga apabila nama Wan diabadikan di beberapa batang jalan di Kedah. Antaranya, Jalan Pasar Seberang Perak di Alor Setar telah diubah kepada Jalan Wan Mat Saman, mengambil sempena pembina terusan terkenal di Kedah.

Begitu juga pada sebuah bulatan yang dinamakan Teluk Wan Jah. Beliau keturunan Mahsuri dari Pattani yang dihadiahkan oleh Raja Siam kepada Sultan Kedah, Sultan Abdul Hamid.

“Bukan kita nak mendewa-dewakan keturunan Wan tetapi bertujuan untuk mengeratkan dan menghimpun serta menjalin tali silaturrahim serta mengembangkan sejarah.” katanya lagi.

Menurutnya sehingga kini kira-kira 10,000 hingga 15,000 keturunan Wan tinggal berselerak di kampung-kampung dan Bandar seluruh Kedah termasuk negeri bersempadan seperti Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

“Keturunan Wan di Perak dan Wan Kedah adalah serumpun dan mempunyai pertalian darah selepas peristiwa Kedah menyerang Perak angkara dipaksa oleh pihak Siam,” katanya.

Apabila sampai di Kuala Kangsar pertempuran sengit meletus. Perak berjaya ditakluk oleh Kedah. Bagaimanapun akhirnya Kedah dan Perak berdamai selepas begitu ramai askar Kedah jatuh hati dengan gadis-gadis Perak.

“Maka lahirlah keturunan Wan di Perak. Jadi Wan di Perak memang mempunyai pertalian rapat dengan Wan di Kedah,” katanya.

Bagaimanapun menurut Wan Shamsuddin, keturunan Wan Di Kedah tiada kaitan dengan Wan di Kelantan. Ini kerana keturunan Wan di Kelantan adalah golongan bangsawan atau keturunan diraja yang memerintah negeri itu. Ia bukan dari keturunan Mahsuri,” katanya.

Wan Shamsuddin juga menyatakan, Sultan Abdul Halim, Sultan Kedah sekarang, merupakan sultan ketujuh yang memerintah. Begitu juga keturunan Mahsuri sudah sampai kepada tujuh keturunan.
“Sumpahan Mahsuri telah berakhir. Tetapi, keturunan sebelah Datuk Karma Jaya, yang menjatuhkan hukuman ke atas Mahsuri sudah pupus dan tidak diketahui lagi waris-warisnya,” kata Wan Shamsuddin.

Beliau juga mengatakan hingga ke hari ini dia belum dapat mengetahui siapa sebenarnya Datuk Karma Jaya yang bertanggungjawab mengarahkan pembunuhan Mahsuri.

“Sesiapa jua yang memerintah Langkawi zaman itu diberikan gelaran Datuk Karma Jaya,” katanya.

Sebab itulah sehingga hari ini Persatuan Sejarah Kedah meminta kerajaan Kedah memansuhkan gelaran itu.

“Nama itu tidak patut dikekalkan. Sejarah telah membuktikan angkara orang yang memakai gelaran itulah yang menghuru-harakan negeri Kedah,” kata Wan Shamsuddin lagi.

 

Mar 14, 2015

'Antara Kerjaya dan Pendidikan'

Ketika menulis pendapat di dalam mana-mana media sosial tentang politik, kerajaan dan isu-isu semasa, memang saya mendapat feedback yang pelbagai. Ada yang bersetuju, ada yang tidak bersetuju, malah ada yang mencemuh dengan kata-kata yang kesat (tak setuju la tu). Tetapi, yang menarik perhatian saya adalah apabila ada sesetengah daripada 'peng'komen tersebut dengan secara sinis mencemuh mengatakan, 'dia ni cakap saja pandai. Kerja pun belum, mana la dia tau realiti'. Sebenarnya, berkali-kali saya fikirkan sebelum mampu men'digest' statement se-umpama ini. Mungkin di fikiran mereka ini, saya ni masih pelajar yang sedang sibuk menelaah untuk menghadapi exam seperti SPM ataupun STPM ataupun ijazah pertama. Mungkin juga mereka ini merasakan bahawa mereka lebih berpengalaman kerana mereka telah menempuh alam pekerjaan yang penuh 'pancaroba'. Saya masih 'blur' dengan statement se-macam ni.

Saya rasa, tidak ada beza pun di antara mereka yang bekerja dengan mereka yang masih belajar, terutama-nya yang sedang melanjutkan pelajaran di peringkat ijazah tinggi. Ini kerana, di peringkat ini, pelajar-pelajar memang didedahkan dengan dunia luar kerana banyak perkara yang perlu dilakukan. Bukan setakat menguruskan hal-hal berkaitan pengajian, malah mereka juga perlu berinteraksi dengan pelbagai agensi-agensi demi untuk memudahkan urusan berkaitan penyelidikan. Mengejar dateline, menyertai pelbagai persidangan, membantu pensyarah dan menguruskan geran penyelidikan merupakan sebahagian daripada pengalaman-pengalaman yang diperolehi oleh pelajar-pelajar ini. Sebab itu, ada di sesetengah universiti, pelajar ijazah tinggi tidak di panggil 'student' atau pelajar, tetapi di gelar sebagai 'candidate' atau calon. Malah, boleh di katakan bahawa selepas bergraduasi, mereka ini lebih berpengalaman daripada mereka yang telah kerja beberapa tahun.

Namun, apa yang mungkin membezakan antara mereka yang telah bekerja dengan mereka yang masih belajar adalah daripada segi pendapatan. Tidak dapat dinafikan, pelajar-pelajar biasanya lebih 'miskin' atau kurang pendapatan daripada mereka yang bekerja. Mereka ini tidak mampu untuk membeli rumah, kereta, membuat pinjaman peribadi, menggunakan kredit kad dan lain-lain "privilege" yang dinikmati oleh mereka yang telah mempunyai kerjaya. Namun, ini bukanlah satu halangan buat mereka untuk menimba pengalaman dalam kehidupan, samada melalui pemerhatian ataupun melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang telah bekerja. Malah, ada di kalangan pelajar yang mempunyai pemerhatian yang sangat tajam serta signifikan terhadap sesuatu isu kerana mempunyai pengetahuan teori tentang sesuatu perkara berbangkit. Contohnya, calon doktor falsafah dalam bidang sains politik, pastinya mempunyai idea yang lebih mantap serta kritis tentang isu-isu politik kerana mereka ini setiap hari menggali teori tentang ilmu politik melalui 'literature review' yang mereka perlu lakukan dalam penyelidikan mereka. Malah, calon ijazah tinggi ini juga layak untuk memberi tunjuk ajar dan mungkin juga tutor kepada pelajar ijazah pertama kerana pengalaman dan pengetahuan mereka ini.

Jadi, kesimpulannya, setiap daripada kalangan kita mesti ada kelebihan serta kekurangan. Namun, kelebihan serta kekurangan itu, tidaklah membataskan kemampuan kita untuk memberi idea demi meraikan sesuatu pendapat. Setiap pendapat adalah berdasarkan pengalaman hidup setiap individu. Pastinya, perkara yang paling penting adalah kita menghormati pendapat itu walaupun ia tidak memaniskan lidah serta hati kita selepas mendengarnya.

Wallahuallam.