Dec 19, 2011

'Bila Mahasiswa Dibenarkan Berpolitik'

Penglibatan mahasiswa universiti di dalam arena politik negara bukanlah satu rahsia walaupun melalui Akta Universiti dan Kolej Universiti AUKU (1971), pembabitan mahasiswa di dalam politik kepartian adalah dilarang dan merupakan kesalahan selagi mahasiswa itu berstatus mahasiswa berdaftar di IPTA atau IPTS. Melalui persatuan serta pembabitan mahasiswa di dalam Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), sebenarnya mahasiswa berkecimpung di dalam politik secara sedar atau tidak sedar. Saya melihat, di universiti terutama di USM, mahasiswa berpecah kepada 2 kelompok besar yakni yang menyokong kerajaan dan yang menyokong pembangkang. Penyokong kerajaan pula dari kelompok yang menggelarkan pendokong Aspirasi pelajar manakala penyokong pembangkang berselindung di sebalik persatuan mahasiswa Islam dan sebagainya. Walaupun mereka yang terlibat di dalam hal ini menafikan bahawa mereka terlibat di dalam politik, namun terdapat usaha dari pihak mereka untuk menyebarkan doktrin samada menyokong kerajaan atau membantah kerajaan. 

Sebenarnya, idea kerajaan mewujudkan AUKU merupakan tindakan yang bijak. Ini adalah kerana kerajaan melihat potensi sebilangan pelajar yang tidak sangat fokus kepada pelajaran, tetapi lebih kepada ingin membuat kacau kepada keharmonian negara. Sebahagian mahasiswa di negara ini masih belum mampu menjadi cukup matang untuk menilai akibat daripada pembabitan mereka di dalam politik. Buktinya cukup jelas berdasarkan kejadian yang berlaku baru-baru ini. Tindakan sebahagian mahasiswa daripada kumpulan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) dan Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (BEBAS) membuat kacau di PWTC menuntut kepada pemansuhan AUKU merupakan tindakan yang amat tidak matang serta biadap serta menjejaskan integriti mahasiswa secara umumnya. Tindakan menurunkan bendera yang memaparkan wajah pemimpin serta digantikan dengan bendera kumpulan mereka merupakan tindakan bodoh yang dilakukan oleh golongan yang sepatutnya mampu berfikir secara rasional dengan tahap akademik mereka. Namun, tindakan kurang matang sebeginilah yang menjadikan AUKU relevan dan akan sentiasa relevan pada masa akan datang. Pada masa mahasiswa sepatutnya berjuang untuk menamatkan pelajaran serta menuntut ilmu sebanyak yang boleh diuniversiti, namun lain pula yang telah mereka lakukan. Inilah sebabnya mengapa mahasiswa dilarang berpolitik. Mahasiswa di Malaysia secara amnya masih belum cukup matang serta selalu beremosi bila sesuatu isu berbangkit.

Kalau kita lihat demo yang dilakukan kumpulan mahasiswa tersebut, rata-rata merupakan mahasiswa berbangsa Melayu. Pelajar daripada bangsa lain terutamanya Cina tidak terlalu terikut dengan emosi untuk melakukan kerja bodoh sedemikian. Kalau kita lihat, sebagai contoh di USM, pelajar Cina amat menonjol dari segi akademik serta aktiviti ko-kurikulum. Mereka amat berusaha keras semata-mata untuk mendapat ilmu secukupnya agar ijazah yang mereka perolehi nanti menjadi ijazah yang berkualiti. Amat sedih melihat anak bangsa sendiri yang menggadai maruah bangsa. Kalaupun mahu menentang kerajaan, mereka sepatutnya beristiqamah serta mengenang kembali apa yang telah kerajaan usahakan demi memastikan kebanyakan rakyat di negara ini mendapat pendidikan yang sewajar. Kelompok ini jika kita persoalkan perkara sedemikian, pasti mereka akan menjawab bahawa sudah menjadi tanggungjawab mana-mana kerajaan yang memerintah untuk menyediakan semua perkara yang terbabit. Padahal mereka tidak sedar, tanpa kebijaksanaan kerajaan, maka untuk menyediakan segala kemudahan untuk membangunkan modal insan tidak akan menjadi kenyataan.

Mereka ini mempersoalkan polisi kerajaan. Padahal, kerajaan 'sudah pergi berperang sebelum mereka sempat tumbuh gigi lagi'. Mereka ini hanya layak di gelar mahasiswa pemusnah bangsa sahaja. Pada hemat saya, pihak universiti perlu mengambil tindakan tegas kepada pelajar sebegini menggunakan AUKU sebelum AUKU dimansuhkan. Cuma itu sahaja cara untuk mengajar manusia yang tidak mengenang budi. Mereka ini, sekiranya dibiarkan, cuma akan menjadi duri dalam daging kepada semua mahasiswa yang lain walaupun jumlah mereka ini tidaklah dominan yang boleh mengganggu gugat kerajaan. Pastinya, ada tangan disebalik demo yang mereka lakukan. Mereka ini cuma boneka untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kerajaan Malaysia kerajaan yang teruk, yang penuh dengan korupsi serta salah laku kepemimpinan. Berjuang atas nama hak asasi, padahal hak asasi merupakan istilah ciptaan barat yang mahu memimpin dunia mengikut acuan mereka. Maka, wujudlah keldai bertopengkan manusia yang terlolong memekik-mekik tentang hak asasi serta hak bersuara tanpa tahu hujung pangkal apa yang mereka perjuangkan itu. Akhirnya, harga diri, maruah bangsa serta masa depan tergadai, angkara kebodohan mahasiswa ini mencari kesalahan orang lain. Mereka ini, kalau mereka gagal dalam peperiksaan pun, pasti kerajaan lah akan dipersalahkan oleh mereka.

Nov 6, 2011

'Salam Aidil Adha'

Assalamualaikum WBT..

Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!!
Lailahaillahu Allahuakbar!
Allahuakbar Walillahilham!!

Alhamdulillah, hari ni, dapat sekali lagi kita merayakan hari kebesaran umat Islam iaitu Aidil Adha atau Hari Raya Korban 1432H. Syukur, kerana walaupun di dalam keadaan yang tidak menentu sekarang ni, dengan bencana alam seperti banjir, gempa bumi y berlaku di banyak tempat di seluruh dunia, umat Islam masih lagi mampu untuk bersama2 menadah tangan, menunduk syukur serta mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan melafazkan takbir serta tahmid memuji kebesaran Allah. Syukur, di Malaysia ini, suasana tenteram serta nikmat keamanan masih mampu kita hirup walaupun pelbagai rintangan yang perlu kita hadapi.

Pada masa yang sama sekarang, berjuta umat Islam berkumpul di Tanah Suci Mekah untuk melakukan ibadah haji. Penyatuan yang berlaku amat menakjubkan, di mana umat Islam tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, masing2 menyibukkan diri menjadi tetamu Allah pada tahun ini dan pada setiap tahun.  Alangkah beruntungnya mereka kerana dijemput menjadi tetamu Allah tahun ini. Entahkan bila giliran kita untuk sampai ke sana bertemu dengan Allah. Semoga semua umat Islam yang melakukan ibadat haji tahun ini mendapat haji yang mabrur serta bersungguhnya beribadat. Bukan semata2 untuk menggunakan title haji dan hajjah saja bila pulang nanti, tapi perlu berubah secara total menjadi mukmin yang lebih cemerlang dan dapat menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan moral serta penguatan akidah islamiah.

Aidil Adha juga merupakan hari kebesaran yang disarankan untuk kita melakukan ibadah korban yakni menyembelih binatang ternakan seperti lembu, kambing, unta dan lain2 untuk diberikan kepada fakir miskin dan golongan yang memerlukan. Namun, korban bukan semata2 menyembelih leher binatang ternakan kemudian memberi kepada fakir miskin. Ia adalah lebih dari itu. Korban dalam erti kata sebenarnya ialah mengabdikan diri kepada Allah dengan sebenar2 pengabdian. Pada hari ini juga, pengorbanan yang perlu kita lakukan di dalam hidup kita perlu lebih termotivasi untuk kita lakukan. Sebagai contoh, perokok, perlu bermotivasi untuk berhenti merokok, mengorbanan nafsu dan keinginan diri demi kesihatan diri serta keluarga. Pelbagai kaedah pengorbanan yang boleh dilakukan, bukan semata2 menyembelih lembu dan kambing. Konsep sebegini yang perlu ditekankan, akan maksud pengorbanan dapat dihayati dengan sedalam2nya.

Saya ingin mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT AIDIL ADHA kepada semua umat Islam. Semoga kita sentiasa redha dengan kehidupan yang ada di depan kita dan bersedia untuk melakukan pengorbanan. Setiap orang beriman, tidak akan sempurna iman mereka selagi mana mereka belum diuji dan melakukan pengorbanan.

'Alif, Lam, Mim. Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta. Bahkan patutkah orang-orang yang melakukan kejahatan menyangka bahawa mereka akan terlepas dari azab Kami? Amatlah buruk apa yang mereka hukumkan itu.'(Surah Al-Ankabut 1-5)

Oct 8, 2011

'Bajet 2012'

Semalam merupakan hari yang ditunggu-tunggu oleh sebahagian besar rakyat terutama mereka yang menjadi penjawat awam. Pembentangan bajet oleh Perdana Menteri Malaysia merupaka agenda tahunan yang senantiasa dinantikan bagi melihat apakah usaha kerajaan untuk menyenangkan kehidupan rakyat, memakmurkan negara serta memaju negara ke matlamat yang betul. Secara jujurnya, saya tidak berminat untuk mengetahui bagaimana cara kerajaan membahagikan perbelanjaan negara. Apa yang menjadi minat saya cumalah ingin mengatahui bagaimana perbelanjaan itu sampai kepada rakyat marhain. 

Jika dibandingkan dengan tahun-tahun yang lepas, bajet untuk 2012 menunjukkan perbelanjaan kerajaan bertambah. Tahun lepas, Bajet 2011, kerajaan memperuntukkan RM 212 billion. Tetapi, kali ini, sebanyak RM 232.8 billion akan dibelanjakan. Ini merupakan perkara normal diatas pertambahan belanjawan. Mengikut perangkaan, kadar defisit masih kekal di tahap 4.7 % semenjak krisis ekonomi 1998. Kejatuhan nilai USD tidak boleh dijadikan kayu ukur untuk percambahan ekonomi kerana ekonomi Malaysia masih bergantung kepada negara tersebut walaupun rakan dagangan terbesar Malaysia merupakan negara-negara Asia termasuk Singapore, Thailand dan Jepun. 

Secara kasar, bajet kali ini lebih realistik dan dekat kepada rakyat. Tidak ada lagi projek mega yang membazir seperti pembinaan Menara Warisan yang di bentangkan pada bajet yang lepas. Bajet kali ini, yang digelar oleh sesetengah pihak sebagai bajet pilihanraya, memberi tumpuan untuk mengurangkan kos sara hidup rakyat dengan menyediakan pelbagai inisiatif, antaranya iaitu pemansuhan yuran persekolahan bagi pelajar menengah dan rendah, mewujudkan lebih banyak Kedai 1Malaysia yang dijangkakan bagi mengimbangkan spekulasi harga barang-barang keperluan harian daripada pemborong,  pemberian subsidi untuk beras, gula dan lain-lain serta skim pemilikan rumah oleh rakyat. Ini semua merupakan pendekatan untuk membolehkan semua rakyat mempunyai keperluan asas untuk kehidupan harian. Adalah tidak adil jika dikatakan bahawa ini merupakan bajet pilihanraya kerana belanjawan negara dibentang setiap tahun serta di setiap tahun, ada saja peruntukkan yang diberikan oleh kerajaan kepada rakyat tanpa menunggu pilihanraya. Lagipun, bajet yang dibentangkan adalah bajet yang telah sedia digarapkan semasa pembentangan Rancangan Malaysia ke 10 (RMK10) yang dibentangkan tahun lepas. Agenda kerajaan adalah untuk melaksanakan perancangan jangka panjang untuk membangunkan Malaysia melalui belanjawan yang berhemat serta sampai kepada sasaran.

Kita mesti realistik bila mempersoalkan bajet negara kita. Ada yang mempersoalkan kenapa bajet yang begitu besar diperlukan. Jawapannya mudah, setiap tahun pendapatan kerajaan semakin meningkat, termasuk pendapatan rakyat melalui jumlah perkapita. Jika dibandingkan, kadar pendapatan perkapita setiap rakyat bertambah sebanyak 30% berbanding 10 tahun yang lalu. Begitu juga dengan GDP kerajaan, yang cuma berjumlah USD 340 billiom berbanding sekarang iaitu lebih dari USD 700 billion. Ini bukan bermaksud, banyak dapat, banyak yang dibelanjakan. Pertambahan jumlah penduduk, nilai barang serta ekonomi semasa dunia memerlukan kerajaan berbelanja lebih untuk menggalakkan kitaran ekonomi yang lebih mampan. Tapi, apa yang perlu dititik beratkan oleh kerajaan ialah memastikan bahawa belanjawan yang diumumkan kepada rakyat akan sampai lebih 80% kepada rakyat dan mengelakkan sebarang ketirisan daripada berlaku. Rakyat menilai serta melihat tindak-tanduk pemimpin mereka kerana rakyat sekarang semakin bijak. Jika kerajaan masih tidak mampu menangani situasi sebegini, tidak mustahil 1 hari nanti, Buku Jingga pembangkang akan menjadi pilihan mereka.

Jul 8, 2011

'Boikot Produk Yahudi serta Cakap Tak Serupa Bikin'

Sudah lama saya ingin mengulas tentang perihal boikot produk-produk yang di dakwa dimiliki oleh Yahudi serta Israel. Namun, baru-baru ini, isu ini kembali segar di memori saya serta membolehkan saya memberi ulasan. Saya pernah menerima 1 flyer tentang senarai produk-produk yang kononnya milik Yahudi serta penggunaan terhadap produk-produk itu akan secara tidak langsung menjadikan kita benifactor atau penyumbang kepada keganasan serta sumber kekayaan Yahudi pada hari ini. Saya tidak menafikan hakikat tersebut serta mungkin ada kebenarannya. Namun, dengan memboikot produk-produk itu, adakah ia akan menjatuhkan Yahudi?Serta yang keduanya, bagaimanakah dengan mereka-mereka yang mencari nafkah dengan berkhidmat dengan syarikat-syarikat penyedia produk-produk tersebut di Malaysia. 

Sebagai contoh, McDonald (M) dikatakan menyumbangkan hasilnya kepada Yahudi. Serta pernah dimiliki oleh Yahudi. Untuk makluman pembaca yang dihormati, McDonald adalah sebuah syarikat pegangan awam (Public Traded Company or PTC). Maksudnya, sesiapa yang mempunyai duit atau dana serta kelayakan dari segi undang-undang untuk menjadi pemilik saham McDonald, maka tidak ada masalah untuk menjadi pemilik McDonald hatta orang Yahudi sekalipun. Pernah satu ketika, McDonald dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi iaitu Jack M. Greenber, yang juga Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry, Inc. serta McDonald juga ditaja oleh Jewish United Fund (JUF). Namun, pemilik McDonald sekarang adalah Jim Skinner, seorang berbangsa kulit putih America. 

Ada pelbagai lagi isu serta kontroversi tentang hubungan McDonald dan Yahudi, namun di Malaysia, McDonald ini telah pun terkeluar daripada lanskap Yahudi. McDonald telah memberi lesen kepada Golden Arches Restaurant Sdn Bhd., milik Tan Sri Vincent Tan kalau tak salah saya pada tahun 1980. Restoran McD yang pertama telah dibuka pada tahun 1982 di Jalan Bukit Bintang. Namun, apa yang perlu kita tahu, selepas lebih 20 tahun di Malaysia, McD mula diterajui oleh orang Melayu beragama Islam. Bukan itu yang patut dibanggakan. Pelbagai kerja-kerja kebajikan serta pelunasan tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia yang perlu kita sokong. McDonald juga telah menyediakan pekerjaan kepada hampir 2000 orang di seluruh Malaysia dengan lebih 170 cawangan di seluruh Malaysia. Oleh kerana ia merupakan perniagaan franchais, McD telah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan serta menyempurnakan impian kerajaan bagi mewujudkan usahawan bumiputra yang maju dan berdaya saing. Sekiranya semua orang mengambil langkah bodoh dengan memboikot McD, siapakah yang akan membantu 2000 orang pekerja untuk mencari rezeki.


Saya tidak membantah langkah untuk memboikot, namun kita perlu menyediakan asas yang kukuh supaya Islam tampak indah dengan tindakan yang akan kita ambil. Di zaman Rasulullah, baginda SAW pernah memboikot perniagaan Yahudi kerana sistem kapitalis serta riba yang dilakukan oleh mereka. Namun, sebelum boikot itu dilaksanakan, Rasulullah SAW memerintahkan Abdul Rahman bin Auf, seorang pakar ekonomi Islam yang terkenal memulakan pasar Islam atau Suqul Ansar yang diuruskan 100% oleh orang-orang Islam. Setelah pasar itu mula berjalan dengan lancar, barulah tindakan boikot dilaksanakan. Ini supaya selepas itu umat Islam tidak lagi terlibat bermuamalat dengan orang Yahudi. Pada hari ini, ramai yang berteriak supaya memboikot produk-produk Yahudi, namun tidak pula menyediakan alternatif untuk menggantikan produk tersebut. Malah, mereka ini tidak dapat lari daripada menggunakan produk Yahudi. Inilah yang dinamakan cakap tidak serupa bikin. Peribahasa Melayu menjelaskan perkara ini dengan 'meludah ke langit, terkena muka sendiri'.


Sebenarnya, kita tidak ada inisiatif untuk memajukan umat Islam. Selalu tindakan yang diambil membawa kita ke belakang. Tidak ada matlamat yang konkrit, cuma yang ada hanyalah emosi yang cuba menghalalkan setiap tindakan. Sikap malas untuk berfikir di luar kotak, bersederhana hanya mencambahkan penyakit jiwa yang merasakan diri sendiri yang lebih bijak daripada orang lain.


Sebagai contoh, ada yang kononnya, tidak akan menjejakkan kaki ke McD kerana kononnya syarikat milik Yahudi. Tetapi pada masa yang sama bekerja di syarikat komputer milik Yahudi. Ada yang kononnya tidak mahu minum Coca-Cola tetapi pada masa yang sama aktif menggunakan Facebook yang diasaskan oleh seorang yang berketurunan Yahudi. Ada yang tidak meminum air Sprite, tetapi pada masa yang sama menyokong serta menyarung jersi pasukan bolasepak yang dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi. Adakah ini situasi yang sihat. Kita cuma menimbulkan kekacauan serta ketakutan pada mereka yang ikhlas mencari rezeki dengan bekerja di syarikat-syarikat produk berkenaan. Inilah dikatakan cakap tidak serupa bikin.


Hakikatnya, dunia hari ini amat bergantung kepada produk-produk yang dijelmakan oleh mereka yang berketurunan Yahudi. Kerana apa? Kerana itu adalah janji Allah dimana diakhir zaman, Yahudi akan diberi peluang untuk menakluki dunia selepas dua kali diusir dari al-Quds. Sejarah bangsa mereka yang sangat panjang serta 'great diaspora' bangsa itu menjadikan mereka bertaburan di seluruh pelusuk dunia hari ini serta menguasai ilmu Allah untuk menguasai dunia. 


Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakkan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar." Maka apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama dari kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka maharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak, dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. Jika kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri; dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagai mana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.
(Al-Isra': 4 - 7)


Setiap perbuatan serta pemikiran kita, perlu kita teliti agar orang disekeliling kita tidak meragui pendirian kita. Biarlah kita sentiasa bersikap besederhana dalam apa jua perkara. Musuh kita kuat kerana kita yang lemah. Hari ini, Hamas di Palestin masih belum mampu bersatu dengan Fatah. Negara-negara Arab yang kaya raya masih tidak mampu merajai dunia kerana sentiasa alpa dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Serta kita, masih suka untuk mengambil tindakan terkebelakang di dalam usaha untuk memerangi mereka. Semoga saya berada di jalan yang benar serta diredhai Allah. Usahakan supaya umat Islam menjadi bangsa berilmu serta menyumbangkan sesuatu kepada dunia. Dan sumbangan itu akan menjadikan mereka bergantung dengan kita di dalam menjalani kehidupan mereka diakhir-akhir umur dunia ini. Serta barulah kita akan dihormati serta tidak lagi bergantung kepada produk mereka. Wallahualam.

Jun 27, 2011

'Duit Rakyat atau Duit Kerajaan'


Baru-baru ini, seperti biasa, saya telah menyertai 1 perdebatan di dalam FB. Dan seperti biasa juga, topik yang dibincangkan tidak dapat lari daripada isu semasa dan politik. Saya melihat, pemuda serta pemudi pada masa sekarang ini lebih cenderung untuk menyalahkan kerajaan sedia ada diatas apa jua yang berlaku di negara ini. Memang, tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap situasi yang berlaku di dalam negara, namun adakah kerajaan yang sempurna di dunia ini?

Saya sebagai generasi yang lahir selepas kemerdekaan, tidak melihat dengan mata kepala sendiri betapa peritnya datuk nenek kita berjuang melawan penjajah dan mendapat kemerdekaan untuk tanah air kita. Namun, saya cuba menjadi manusia yang bersyukur dengan kurniaan yang diberikan Allah SWT melalui pemimpin sedia ada yang bertungkus lumus memakmurkan negara dengan izin Allah sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Syukur...

Namun, saya kecewa apabila membaca di ruangan siber serta di ruangan sosial, terdapat ramai golongan muda yang tidak henti-henti memaki hamun serta menyalahkan kerajaan, kononnya kerajaan ini zalim serta menindas rakyat. Saya tidak nampak, bagaimana kita ditindas, sedangkan saya bebas untuk ke mana-mana, bebas mempraktikkan agama Islam, menziarah sanak saudara serta bergaul dengan semua golongan masyarakat dan bangsa.
Ada yang mempertikaikan kerajaan, kononnya kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tidak cekap, korup, membazirkan wang rakyat serta menindas golongan miskin. Jika dibandingkan sekarang dengan dekad-dekad yang lalu, jelas bahawa generasi hari ini lebih bertuah. Walaupun masih ada yang miskin pada hari ini, namun tidak seperti pada dulu sebab pelbagai agensiyang wujud bagi membela nasib-nasib golongan ini. Saya masih ingat semasa masih kecil, akhir 1980-an, rumah saya masih menggunakan pelita ayam serta dapur minyak tanah. Bekalan air pun diperolehi daripada paip kerajaan, yang dikongsi dengan beberapa buah rumah yang lain. Bapa saya membeli getah air yang panjang untuk menyalurkan air ke rumah kami. Awal-awal pagi, mak saya sudah keluar dari rumah untuk pergi membuka air di pili kerajaan itu serta menadah di dalam kolah di bilik air rumah saya. Bukan hanya kami yang susah, namun jiran-jiran saya ramai yang tidak berkemampuan. Pada masa itu, untuk meminta bantuan daripada kerajaan agak susah kerana kerajaan pun tidak berkemampuan untuk membekalkan air dan elektrik ke setiap rumah. Keadaan berubah di dalam dekad 90-an. Keadaan sedemikian menjadikan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan pada hari ini.
Namun, sekarang ini ada pula yang mempertikaikan duit kerajaan adalah duit rakyat, bukan duit kerajaan. Bagi saya, mereka ini merupakan golongan bodoh sombong yang tidak faham tentang perihal kenegaraan dan apakah yang membentuk sesebuah negara itu. Wujud sebuah negara, perlu ada kerajaan serta rakyat. Tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan persekitaran yang selesa kepada rakyat tinggal serta memenuhi keperluan rakyat. Sebagai negara yang membangun, saya melihat, kerajaan Malaysia, dari hari kita merdeka sehingga kini telah berjaya untuk memakmurkan negara ini. Apa jua istilah, duit rakyat atau duit kerajaan, yang pasti duit-duit tersebut digunakan untuk tujuan pentadbiran serta membangunkan negara. Rakyat mendapat manfaat daripada apa yang kerajaan lakukan serta kerajaan mendapat manfaat daripada wujudnya rakyat. Saya selalu mengambil contoh ‘Sim City’. Walaupun ia bukan menggambarkan situasi yang sebenar, namun ia merupakan satu contoh yang terbaik bagaimana sesebuah negara itu berfungsi. Rakyat serta kerajaan memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, saya banyak melakukan eksperimen dalam permainan itu bagaimana mentadbir negara. Akhirnya, saya sedar, betapa susah untuk kita membahagikan pendapatan negara, kepada rakyat serta negara sendiri. Bila pendapatan tinggi, saya cuba untuk menaiktarafkan bandar saya, untuk menarik lebih banyak pelaburan serta menjana ekonomi, namun kadang-kadang tindakan itu tidak berhasil dan pendapatan mula menurun. Setiap perkara itu berkaitan. Menaikkan cukai, rakyat marah. Menurunkan cukai, terjadi pula inflasi serta kurang pendapatan negara.
Tiada istilah duit rakyat atau duit kerajaan kerana itulah duit rakyat dan itulah duit kerajaan. Semuanya berkaitan kerana kerajaan juga merupakan rakyat untuk negara ini. Kita tidak nafikan, memang berlaku pembaziran di pihak kerajaan, namun kita tidak melihat pembaziran di pihak rakyat. Sebagai contoh, kerajaan memberi subsidi untuk air serta elektrik, tetapi berapa ramai yang membazir kedua-duanya serta terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya mereka bayar. Bukan niat untuk menggalakkan pembaziran, namun bila kita cuba menuding jari kearah orang lain, saya rasa kita perlu cerminkan diri kita sendiri. Sekiranya kita di dalam skala yang kecil ini tidak mampu untuk mengawal perbelanjaan dengan cermat, bagaimana pula kerajaan yang mentadbir sebuah negara yang melibatkan berbillion-billion ringgit. Di kawasan perumahan saya, saya melihat kebanyakkan orang disini memandu kereta mewah terutamanya orang Cina. Namun, masih ramai yang nama mereka diletakkan di papan kenyataan kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan bangunan. Ada yang berhutang RM18000 dengan pihak pengurusan. Akibatnya, orang yang membayar yuran pun terpaksa menerima kesan akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab itu. Padahal, pendapatan yang mereka dapat, digunakan untuk menukar kereta baru serta membuat perkara lain yang tidak penting. Jadi, bagaimanakah kita mampu menuding jari kepada kerajaan semata-mata dengan mengatakan kerajaan membazir sedangkan kita tidak mampu mengawal perbelanjaan sendiri.
Cuba kita lihat negara ini, dan bandingkan dengan negara-negara lain. Walaupun kerajaan hari ini bukanlah sempurna, namun ia adalah yang terbaik berbanding dengan negara lain. Sebagai contoh, lihat bagaimana kerajaan Malaysia berjaya meloloskan diri daripada masalah ekonomi tahun 1998 serta 2008 yang lalu. Lihat sahaja bagaimana negara maju seperti Greece, Republik Ireland yang hampir muflis kerana kaedah mentadbir ekonomi yang amat teruk. Kita hari ini, masih menghirup nafas kemakmuran kerana kecekapan kerajaan kita mentadbir.

Kita membayar cukai, serta kerajaan menyediakan tanah untuk kita tinggal. Kalau kata duit cukai adalah duit rakyat, bagaimana dengan pendapatan kerajaan melalui usaha gigih kerajaan menarik pelaburan serta eksport negara ke negara luar itu dikategorikan? Ini tidak boleh dinilai dengan pemecahan sebegitu. Ianya berkaitan antara satu sama lain dan inilah yang membentuk sebuah negara. 

Saya berharap, generasi pada masa ini lebih bersyukur dengan nikmat yang kita ada pada hari ini. Dengan menyalahkan kerajaan semata-mata dalam semua hal, adakah ia akan menyempurnakan ketidaksempurnaan kerajaan ini? Kita perlu menyumbang sesuatu yang benar-benar memberi manfaat kepada kita serta generasi akan datang. Jangan jadi bodoh kerana kebodohan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Cubalah cari, kalau ada kerajaan di dunia ini yang sempurna seperti yang digambarkan di dalam ceramah-ceramah parti pembangkang yang begitu sempurna. Kalau ada negara sebegitu, saya menyeru kepada mereka ini, pergilah ke negara tersebut serta tinggal di sana. Ingatlah, hanya kerajaan Allah selepas kiamatnya dunia yang sempurna lagi abadi.

Jun 8, 2011

'One in A Million'

Hari ni dalam mood jiwang..Lagu nyanyian Bosson ini merupakan antara lagu favourite saya terutama ketika saya di Dublin dulu (masa tu ada album Disney, still dalam format kaset, haha). Boleh dikatakan lagu ini memberi ilham kepada saya untuk menjadi seorang yang tabah..Belajar memahami serta mencintai diri sendiri. Lagu ini juga teristimewa untuk mak dan isteri saya..

You're one in a million
Oh
Now
You're one in a million
Oh

Sometimes love can hit you every day

Sometimes you can fall for everyone you see
But only one can really make me stay
A sign from the sky
Said to me

[Chorus]

You're one in a million
You're once in a lifetime
You made me discover one of the stars above us
You're one in a million
You're once in a lifetime
You made me discover one of the stars above us

I've been looking for that special one

And I've been searching for someone to give my love
And when I thought that all the hope was gone
A smile, there you were and I was gone

I always will remember how I felt that day

A feeling indescribable to me
Yeah
I always knew there was an answer for my prayer
And you, you're the one for me

[Chorus x 2]


In the beginning I was cool and everything was possible

They tried to catch me but it was impossible
No one could hurt me it was my game
Until I met you baby and you were the same
And when you didn't want me I wanted you because
The funny thing about it is I liked the show
I like it when its difficult
I like it when its hard
Then you know its worth it
That you found your heart

[Chorus x 2]


You're one in a million

Oh
You're one in a million

Jun 6, 2011

'Bila Dakwah Tidak Mengikut Kaedah Yang Sebenar'

Dua minggu lepas, saya berkesempatan untuk pergi menonton bersama isteri saya filem Nur Kasih The Movie (NKTM) di Queensbay Mall, Penang. Isteri saya yang beria-ia untuk menonton filem tersebut kerana dia adalah peminat drama bersiri Nur Kasih. 

Saya tidak berminat untuk mengulas tentang filem tersebut, namun lebih menjurus kepada 1 scene di dalam NKTM dimana di dalam filem tersebut, menunjukkan watak utama iaitu Adam menjadi sukarelawan membuka kelas yang mengajar agama Islam kepada remaja-remaja liar serta gelandangan. Kemudian, satu hari, beliau telah menjemput seorang ustaz berkarakter begitu alim dan tinggi ilmu agama, berkopiah putih, berjubah dan berjanggut untuk memberi kuliah kepada remaja-remaja terbabit. Namun, muka ustaz itu berubah apabila memasuki bilik dimana kuliah tersebut akan dijalankan kerana melihat remaja-remaja tidak menutup aurat, duduk bercampur lelaki dan perempuan. Beliau terus memanggil Adam dan memarahi kerana menjemput beliau untuk memberi kuliah kepada remaja-remaja tersebut. Perkataan haram berulang kali di lafazkan kepada situasi remaja-remaja terbabit. Haram kerana tidak menutup aurat dan bercampur lelaki perempuan dan beliau memutuskan untuk tidak memberi ilmu kepada remaja-remaja terbabit kerana tidak mahu bersekongkol dengan situasi sedemikian. Yang menariknya, dia memetik rangkap 'matlamat tidak menghalalkan cara' untuk membenarkan tindakannya serta menyalahkan tindakan Adam.

Adakah ini tindakan yang berdasarkan kaedah Islamiah. Adakah prinsip asas Islam adakah sedemikian. Memetik kata-kata Adam, takkan nak mengajar ilmu kepada orang-orang masjid saja. Pada pendapat saya, ramai ustaz-ustaz yang berkelakuan sebegini. Mereka mudah memandang serong kepada orang lain kononnya kurang berilmu dan berakhlak seperti mereka serta jahil. Saya pernah diperli orang sebegini dahulu hanya kerana saya seperti tidak Islamik, tidak berjubah serta bertudung labuh macam mereka.

Kenapa mereka serta kita semua tidak mahu belajar tentang bagaimana Islam ini disebarkan. Kenapa pula al-Quran diturunkan secara berperingkat. Ini adalah kerana dakwah perlu dijalankan secara sedemikian. Bagaimana pula dengan peringkat awal pendidikan kepada orang Jahilliah Quraisy. Adakah Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammah SAW memerintah mereka semua menutup aurat serta menjaga batasan lelaki dah wanita. Wahyu pertama adalah 'Baca'. Bukan tentang aurat dan bukan tentang perkara lain. Baca dalam kontek dakwah hari ini adalah untuk mencelikkan mata orang-orang jahil tentang agama dengan nur ilmu Islam. Adakah ilmu agama untuk orang-orang yang pergi ke masjid saja, yang menutup aurat dan sebagainya. Bagaimana pula dengan remaja-remaja liar yang jahil, tidak ada ilmu pengetahuan tentang Islam ini. Siapakah akan membimbing mereka kalau ramai ustaz-ustaz yang berpendirian seperti ustaz dalam NKTM itu tadi.

Selepas beberapa waktu, barulah Allah menurunkan wahyu tentang keperluan menutup aurat dan sebagainya. Islam diturunkan adalah untuk menjadi penunjuk kepada jalan yang lurus. Bukan untuk menyusahkan orang untuk mendapatkan rahmat yang ada di dalamnya. Sekiranya setiap dari kita mngikut asas serta prinsip dakwah yang sebenarnya, maka akan berkuranganlah orang-orang jahil pada masa ini kuranglah isu rogol, zina, perbuangan anak n sebagainya yang rancak dilakukan oleh remaja-remaja pada hari ini. 

Memang susah untuk kita berdakwah. Cabarannya lebih hebat pada hari ini. Dengan kemajuan bidang komunikasi dan teknologi, pelbagai informasi yang amat mudah diperolehi di mana saja. Jadi, perlu ada mekanisma yang kuat untuk menarik perhatian remaja-remaja agar dapat kembali ke jalan yang lurus. 
Saya berharap agar kita semua saling bermuhasabah agar kita dapat menjadi mukmin yang berjaya. Semoga kita sentiasa di dalam keredhaan Allah.

Apr 27, 2011

'Poco-Poco'

Akhirnya, dapat juga saya berkongsi sedikit pendapat tentang prinsip saya tentang isu pengharaman poco-poco di negeri Perak. Sebelum saya berbicara dengan lebih panjang, terlebih dahulu perlu dijelaskan, apa yang menjadi 'concern' atau 'interest' saya bukanlah poco-poco, tetapi kaedah mengharamkan sesuatu perkara yang tiada nas serta dalil yang kukuh mengenainya. Serta adakah wajar tindakan kita mengambil jalan awal atau 'initial proposal' dengan terus meletakkan tanda noktah kepada sesuatu isu tersebut. Pengharaman sesuatu perkara tersebut merupakan kaedah terakhir kerana ia melibat dosa sekiranya kita melanggar hukum tersebut.

Saya pernah meletakkan status di Facebook tentang perkara ini serta mendapat maklum balas yang menarik. Pada perhatian saya, hujah yang diberikan berselitkan emosi kerana sesetengah orang amat elergi dengan sesuatu perkara yang nampak bermanfaat serta berjaya menyatu padukan masyarakat. Kaedah Islam memang yang terbaik untuk menyatu padukan umatnya, seperti solat berjemaah serta aktiviti keagamaan. Namun, tidakkah aktiviti yang tidak bersifat keagamaan perlu ditolak secara total.

Pemberi komen itu pula cenderung untuk menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada beberapa sahabat iaitu Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini ialah Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) dan al-Albani menyatakan bahawa hadis ini hasan. Namun, setiap kali saya mendengar orang yang menggunakan hadis ini, mereka cuma menafsirkan tasyabuhban itu sebagai menyerupai sesuatu yang buruk sahaja. Bagaimana kalau kita menyerupai untuk sesuatu yang positif daripada kaum lain?



 Menutup aurat ketika berpoco-poco

Agak pelik apabila hujah yang diberikan lebih melihat kepada sisi negatif poco-poco(saya tidak pasti samada ia negatif atau tidak). Namun, melalui pembacaan saya, salah satu sebab pengharaman adalah disebabkan oleh ia bersifat memuja roh serta ada unsur Kristian yang berasal dari Jamaica. Gerak tari poco-poco yang seperti membentuk salib adalah satu imaginasi yang dangkal. Kalau itulah sebabnya, saya meminta mufti untuk mengharamkan penggunaan huruf 'T' (t) kerana terang-terangan adalah seperti salib. Serta mengharamkan penghasilan parang atau pisau yang ada penyendal tangan berbentuk salib. Paranoid kita ini menyebabkan orang bukan Islam melihat Islam adalah agama yang keras serta ketat padahal Islam ini bermaksud aman serta selamat. Saya tidak fikir orang yang pernah menyertai poco-poco ini mempunyai niat untuk menjatuhkan akidah mereka sendiri serta mahu menjadi Kristian.

Mengharamkan sesuatu perkara boleh dilakukan, namun perlulah metod yang lebih sederhana. Di dalam buku Metod fatwa al-Qardawi, beliau menyatakan di ms 207 perihal Fatwa berkaitan Fiqh Permainan dan Hiburan. Salah satu metodnya ialah mengambil jalan tengah antara golongan yang terlalu longgar serta golongan yang terlalu ketat. Al-Qardawi menjelaskan ulama yang mengeluarkan fatwa tentang isu fiqh permainan dan hiburan pelbagai diantara mereka yang terlalu sempit dengan yang terlalu luas dan diantara yang terlalu ketat dengan yang terlalu mudah. Golongan yang mengambil pendekatan yang terlalu ketat sehingga menjadikan segala sesuatu sebagai haram, manakala golongan yang mengambil pendekatan terlalu longgar sampai ke tahap menjadikan segala sesuatu sebagai halal. Begitulah masyarakat manusia yang tenggelam diantara sikap terlalu ketat dengan terlalu longgar. Kebaikan sebenar terletak pada kaedah pertengahan atau sederhana. Tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar (Al-Qardawi Fiqh al-Lahwi wa al-Tarwih, ms 8).

Jadi, seperti yang saya jelaskan di dalam ketika menjawab komen-komen di Facebook saya, saya lebih bersetuju sekiranya kalau poco-poco tidak Islamik, kita Islamisasikannya. Saya percaya, hanya dengan sedikit garis panduan daripada arif ulama, maka poco-poco akan menjadi senaman biasa serta riadah yang menyeronokkan untuk orang Islam serta yang bukan Islam.

Penting pada masa sekarang ini, kita lebih bersifat terbuka dengan bukan Islam untuk menarik mereka ke agama kita. Namun bukanlah bermaksud kita akan menggadaikan iman serta akidah. Kita perlu mempromosikan Islam sebagai agama yang syumul serta sederhana. Nabi SAW sendiri pernah menunjukkan contoh sebegini pada zaman baginda. Nabi pada satu peristiwa mengizinkan orang-orang Habsyah (Ethiopia) menari-nari dengan lembing mereka di perkarangan masjid dan baginda mengizinkan A'isyah r.a menyaksikan pertunjukkan itu di belakang baginda. Baginda juga membenarkan 2 orang hamba perempuan menyanyi dan memalukan gendang dalam rumah A'isyah r.a dalam keadaan baginda sendiri berada di dalam rumah tersebut. Peristiwa itu berlaku pada hari raya dan baginda memberi alasan dengan bersabda, " Agar orang Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat kelonggaran dan sesungguhnya aku diutuskan untuk membawa agama yang mulia lagi bertoleransi" (Ahmad bin Hambal, al-Musnad, juz 41, hadis no. 24855). Perlu dinyatakan disini, orang Habsyah asalnya beragama Kristian sebelum mereka menjadi Islam dan tarian itu merupakan tarian kaum mereka.

Pada pendapat saya, apa yang boleh dilaksanakan dalam isu poco-poco ini adalah dengan memberi didikan serta menggalakkan orang ramai menjaga adab, aurat serta tidak bercampur lelaki dan perempuan ketika melakukan senaman itu. Kita tahu, masyarakat kita suka dengan perkara hiburan sebegini, jadi kita gunalah hiburan sebegini sebagai alat untuk menyebarkan dakwah Islamiah seperti menyediakan garis panduan seperti diatas. Dengan cara ini, kita dapat menyatu padukan serta mengelakkan perpecahan diantara umat Islam serta menyediakan laman toleransi antara umat Islam serta bukan Islam.

Saya menghormati Tan Sri Harussani Zakaria. Beliau merupakan idola saya serta pandangannya amat bernas. Namun, di dalam soal mengharamkan sesuatu perkara yang kabur, tidak kira poco-poco atau apa-apa, saya merasakan beliau agak ketat. Saya kurang bersetuju untuk perkara-perkara sebegini. Pengharaman memperlihatkan Islam agama yang ekstrim dan andaian bahawa Islam bangkit dari mata pedang mungkin dianggap benar oleh bukan Islam yang memusuhi agama yang hebat ini. Majlis fatwa menjelaskan poco-poco tidak haram selagi mana ia mengikut garis panduan yang tidak menyalahi akidah. Saya mengharapkan para pembaca melihat perkara ini berdasarkan pendapat jumhur ulama di Malaysia, iaitu pendapat yang mengumpul pendapat daripada semua arif ulama Islam.

Jangan jadikan isu kecil ini sebagai perselisihan faham yang memecah belahkan umat Islam. Islam tidak melarang kita mengambil perkara daripada kaum lain asalkan ia bermanfaat kepada Islam itu sendiri. Sebagai contoh, semasa menuntut di Dublin dahulu, saya sering sersolat jumaat di Dublin Mosque (gambar di bawah), sebuah bangunan masjid yang 100% berbentuk seperti gereja di luar. Memang asalnya masjid itu sebuah gereja, namun masyarakat Islam di sana telah membeli gereja itu dan meletakkan lambang bulan dan bintang di hujung bumbung gereja itu. Di bahagian dalam, diletakkan kiblat, mimbar serta tempat untuk wuduk dan dijadikan masjid. Pada lahiriahnya, memang ia menyerupai gereja, namun setelah 'diIslamkan', bangunan itu menjadi masjid yang mengumpulkan kebanyakkan umat Islam di Dublin untuk sama-sama berjemaah dan memakmurkan masjid.
 Dublin Mosque, South Circular Road, Dublin, Eire

Akhir tulisan ini, saya letakkan lirik poco-poco untuk khalayak menilai samada lirik itu mempunyai unsur Kristian atau tidak. Lagu berbahasa Menado itu merupakan ciptaan Arie Sapullete dan dinyanyikan oleh Jopie Latul untuk mengiringi apa yang dikenali sebagai 'senam pagi' ataupun senaman oleh masyarakat Menado dan bukan untuk upacara keagamaan.

Balenggang pata-pata,
(Jalannya berlenggang)
Ngana pe goyang... pica-pica,
(Goyangan badan mu... lincah)

Ngana pe bodi... poco-poco,

(Tubuhmu yang berisi dan lincah)

cuma ngana yang kita cinta,

(Hanya kamu yang ku cinta)

cuma ngana yang kita sayang,

(Hanya kamu yang ku sayang)

cuma ngana suka bikin pusing.

(Hanya kamu suka buat aku pening)

Walahu'alam.

Apr 19, 2011

Cara Orang 'Alim' Berfikir

Sesetengah pembaca mesti terfikir, kenapa saya gemar untuk menempelak sikap sesetengah orang yang selalu bertopengkan agama, namun tidak mengamalkan Islam secara apa yang mereka mahu orang lain praktikkan. Saya berfikir, apabila kita belajar tentang agama Islam, maka kita perlu mempraktikkan lebih baik daripada orang lain. Namun, apa yang terjadi di sekeliling saya adalah sebaliknya. Ramai yang saya kenali lebih suka menunjukkan ciri keIslaman, namun dari segi amalan serta pemahaman, ianya masih sempit serta tidak menjurus kepada agama Islam yang syumul.

Saya menulis berdasarkan pemerhatian serta pengalaman dengan orang yang saya kenali samada saudara ataupun kawan-kawan. Berdasarkan pemerhatian saya, 60% daripada mereka ini bukan sahaja bijak berkata-kata tentang hukum-hakam agama, namun isinya kosong serta tidak disertai dengan pengamalan. Mungkin tidak adil penilaian saya ini serta perlu saya kemukakan bukti yang lebih solid, namun pengalaman merupakan guru yang terbaik. Itulah yang menjadi salah satu daripada prinsip kehidupan saya selama ini. 

Sebagai contoh, ada seorang daripada saudara saya, selepas beliau berhenti kerja, beliau menyambung pengajian secara tidak formal di sebuah pondok (sekolah pengajian Islam secara tradisional) sementara menunggu peluang kerja yang lain. Memang satu tindakan yang bijak pada saya. Namun, apa yang mengecewakan, selepas itu beliau ini mula mengemukakan pandangan yang kadang-kadang lebih menjurus untuk menunjukkan beliau amat arif tentang agama. Beliau bukanlah self-centered ataupun bercakap besar, tetapi apabila diminta pandangan, pandangan lebih bersifat ekstremis serta tidak berpandukan ajaran agama yang berasas. Sebagai contoh, beberapa bulan yang lepas, nenek saya dan beliau jatuh sakit. Setelah lebih kurang sebulan nenek kami ini terlantar, barulah beliau datang. Itupun setelah dimaklumkan bahawa nenek kami nazak. Pada masa itu, ramai yang berkumpul serta saya tidak sempat berbual dengannya. Kemudian, ditakdirkan, nenek kami sembuh walaupun tidak sepenuhnya. Itulah kali pertama dan terakhir beliau datang menziarahi nenek kami padahal beliau tinggal se-pekan dengan dengan ibu bapa saya dimana nenek saya dijaga. Kemudian, saya menerima forward sms daripada bapa saya daripada saudara saya tersebut. Dia menghantar mesej menyalahkan anak-anak nenek saya itu kenapa nenek yang masih waras tidak diajar solat. Memang benar, orang sakit pun perlu solat, tetapi semasa dia menziarahi nenek kami, orang tua itu di dalam keadaan nazak. Dia juga mempertikaikan kenapa di bacakan Yasin kepada nenek kerana surah al-Quran untuk dibacakan kepada orang sakit bukan Yasin semata-mata. Dan dia juga menambah lagi, kami semua akan menanggung dosa kerana tidak menyembahyangkan nenek kami itu. Semua apa yang dikatakannya betul, namun adakah itu ajaran asas Islam. Meletakkan kesalahan serta menghukum orang ini berdosa atas perkara yang dia sendiri tidak pasti. Padahal dia hanya datang menjenguk orang sakit itu hanya sekali. Adakah itu ajaran Islam yang sebenar. Kita tidak perlu menuduh orang itu dan ini jahil atau kurang agama daripada kita semata-mata kita pergi menuntut ilmu agama. Apa salahnya sekiranya dia datang ke rumah saya, membantu ibu bapa saya menyembahyangkan nenek saya serta menjaga bersama-sama daripada meletakkan hukum itu dan ini.

Ada juga peristiwa, seorang kenalan, yang pada mulanya saya hormati kerana prinsipnya tentang agama. Beliau ini bertudung litup serta berpurdah. Sebelum ini saya amat skeptikal kepada orang yang bertudung labuh ini to be honest. Namun, pada dia, saya merasa kagum kerana caranya yang sederhana. Namun, saya salah. Beliau ini sama seperti yang lain yang pernah menjadi kenalan saya. Merasakan diri amat bagus, beliau apabila memberikan pandangan, lebih cenderung untuk meletakkan orang itu dan ini ke dalam neraka. Dia juga menyerang peribadi orang yang tidak sehaluan dengan ideologinya serta mempertikaikan keimanan seseorang itu. Saya masih ingat bagaimana ada seorang hamba Allah yang menyatakan pendapatnya tentang isu yang yang si purdah ini timbulkan. Bagi saya, di dalam Islam, setiap ilmu itu tiada penghujungnya. Kita tidak boleh mendakwa ideologi kitalah yang terbaik. Saya membaca hujah kedua-dua mereka serta menyatakan hujah saya. Namun saya amat terkejut bila si purdah ini memetik sepotong ayat al-Quran yang menyatakan, 'dan berilah maaf kepada mereka yang jahil'. Apa yang dia maksudkan, hamba Allah yang menyatakan pandangan itu jahil serta dia berhak memaafkannya. Pada saya, hamba Allah yang tadi juga mempunyai pendapat yang bernas yang boleh difikirkan. Memotong ayat-ayat al-Quran secara sembrono kemudian menjatuhkan hukum kepada orang lain adalah satu perbuatan keji yang memperlekehkan al-Quran. Mereka ini juga gemar menilai siapa yang ke syurga dan siapa ke neraka. Kalau kita ikutkan pendapatnya, hampir tiada orang di Malaysia ini ke syurga kerana dihukum melakukan bidaah.

Sebenarnya banyak contoh lagi yang menggambarkan tahap pemikiran mereka yang masih di dalam kotak. Mereka ini malas bergaul, cetek pengalaman serta memahami Islam secara sembrono. Maaf, mungkin saya juga memahami Islam secara sembrono, namun saya cuba untuk tidak mengkafirkan orang itu dan ini serta bagi saya, sekiranya ada orang yang berani mengatakan orang ini ke syurga atau neraka, mereka ini cuba untuk menjadi Tuhan, nauzubillah. Inilah corak orang 'alim' yang pernah saya kenali.

Apr 15, 2011

Kaji Selidik Kepuasan Pekerja

3 minggu yang lalu, saya telah bekesempatan untuk membantu rakan saya, Ashley dalam menjalankan kontrak yang diperolehi daripada sebuah syarikat utiliti swasta untuk menjalankan Kaji Selidik Kepuasan Pekerja (Employees Saticfaction Survey) untuk semua pekerja syarikat itu. Projek yang meliputi semua cawangan syarikat tersebut serta membabitkan lebih kurang 1000 pekerjanya yang terdiri dari pelbagai pangkat dan bahagian telah berjalan dengan lancar. Tujuan syarikat terbabit melantik syarikat milik Ashley iaitu Customer Voice Sdn. Bhd. adalah untuk memastikan bahawa setiap maklumat yang diberikan oleh pekerja tentang syarikat tersebut adalah terperinci serta maklumat peribadi pekerja akan dirahsiakan. Ini adalah untuk memastikan yang para pekerja merasa bebas serta tidak berasa was-was serta takut untuk mengemukakan apa saja perasaan mereka kepada syarikat tersebut. Perihal ini penting kerana setiap syarikat pasti mempunyai urus tadbir yang positif serta negatif dan setiap perkara itu perlu ditangani secara bijak agar semua pekerja berasa gembira untuk menyumbangkan tenaga kepada syarikat. Serta, setiap kritikan perlu diterima dengan lapang hati oleh pihak pengurusan syarikat. Identiti pekerja yang memberi apa saja maklumat dirahsiakan bagi memastikan karier mereka di syarikat tersebut tidak terjejas oleh apa saja maklum balas yang diberikan.

Pengalaman yang saya perolehi amatlah berharga sepanjang proses menjalankan kaji selidik tersebut. Perlu bangun seawal 5 pagi supaya kami dapat sampai ke setiap cawangan syarikat itu pada waktu pekerja syif malam dan syif pagi bertukar agar setiap pekerja akan dapat menjawab kaji selidik tersebut. Setiap hari, saya sempat bersolat subuh di merata masjid di sekitar Pulau Pinang ini sebelum pergi ke cawangan syarikat tersebut yang terletak di seluruh daerah di Pulau Pinang ini. Proses kaji selidik itu dibahagi kepada kumpulan-kumpulan kecil agar suasana kondusif memberi peluang kepada semua pekerja untuk menjawab kaji selidik itu secara serius serta profesional. Peluang bertemu dengan pelbagai lapisan pekerja syarikat tersebut daripada peringkat pengurusan sehingga peringkat yang paling bawah yakni pekerja di bahagian pengeluaran mendedahkan saya betapa besarnya jurang di antara pekerja bawahan dan atasan serta perbezaan sosio-ekonomi mereka. Di peringkat bawahan, adakalanya saya perlu untuk membaca soalan satu persatu kepada pekerja-pekerja kerana terdapat segelintir daripada mereka yang buta huruf dan tidak tahu membaca. Ada juga pekerja yang mengalami kesukaran untuk memahami bahasa Malaysia bagi setiap soalan tersebut. Apa yang saya buat adalah mencuba untuk menterjemahkan setiap soalan kepada bahasa yang paling mudah tetapi masih di dalam konteks soalan yang sebenar.

Masalah utama pekerja di peringkat bawahan tentulah kadar upah yang tidak setimpal. Pada pemerhatian saya, kebanyakkan pekerja peringkat bawahan ini mengeluh tentang gaji yang kecil tetapi kos sara hidup yang tinggi di Pulau Pinang ini. Dan mereka semuanya seperti telah berpakat meminta pihak pengurusan mempertimbangkan gaji yang setimpal. Kerja mereka nampak sangat berat. Mereka terpaksa mengerah tulang empat kerat untuk kerja yang dilakukan. Timbul rasa belas kasihan kepada beberapa pekerja yang telah berumur tetapi masih terpaksa untuk membuat kerja yang berat. Ini mungkin kerana faktor kelayakan mereka dengan kerja yang mereka buat. Ada sebilangan kecil yang bernasib baik dinaikkan pangkat berdasarkan pengalaman dan kebolehan walaupun berkelayakan rendah. Mereka ini ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Usia persaraan mereka yang semakin hampir mungkin menyesakkan dada mereka apabila memikirkan tentang sumber pendapatan mereka selepas persaraan nanti.

Peluang melakukan kaji selidik ini membawa saya ke cawangan-cawangan syarikat ini yang ada diantaranya mempunyai pemandangan yang cukup indah kerana ia terletak diatas bukit serta tanah tinggi.

Syarikat Customer Voice pula, selain melaksanakan kaji selidik sebegini, ia turut menjalankan latihan atau Training untuk bidang pemasaran (marketing) serta pelanggan (customer). Merupakan syarikat yang menggunakan modul daripada Amerika Syarikat untuk bidang marketing, ia merupakan syarikat yang mempunyai kepakaran selama bertahun-tahun dalam bidang ini. Walaupun merupakan syarikat baru, kredibiliti serta profesionalismenya tidak dapat dinafikan lagi. Apatah lagi bila selesai saja kaji selidik dengan syarikat swasta terbabit. Ini adalah kerana, profesionalisme itulah yang menyebabkan syarikat itu diyakini serta kaji selidik itu menerima sokongan yang menyeluruh daripada keseluruhan pekerja.

Di dalam bidang perniagaan, pelanggan adalah perkara yang paling penting untuk kelangsungan setiap perniagaan itu. Inilah tujuan Customer Voice dibina. Ia adalah untuk membantu setiap perniagaan agar mewujudkan servis yang terbaik agar pelanggan merasa dihargai dan sentiasa menyokong perniagaan tersebut.

Feb 21, 2011

'Valentine Day'

Bila tibanya 14 Februari setiap tahun, maka akan timbul perselisihan serta pertelingkahan berkaitan dengan tarikh ini, 14 Febuari. Ini adalah kerana, tarikh 14 Februari yang dikenali sebagai hari Valentine di sambut oleh kebanyakkan orang sebagai hari kasih sayang. Sebenarnya, sejarah hari Valentine ini sangat panjang. Ia bercambur baur dengan sejarah dan mitos serta lagenda. Sejarah ini boleh kita baca secara ringkasnya dari sini. Namun, yang menjadi persoalannya, adakah hari Valentine ini di haramkan secara total oleh agama Islam. Diharamkan atau tidak dibenarkan?

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang taksub serta berkeinginan untuk 'merayakan' hari tersebut. Namun, baru2, selepas setahun lebih usia perkahwinan dengan isteri saya, maka apabila tiba tarikh tersebut (y saya sendiri tidak ingat namun tahu sebab media asyik menghebohkannya) saya pun menulis ucapan kepada isteri saya. Ia mengundang teguran daripada beberapa pihak (tidak ramai) namun saya percaya diluar sana ramai yang berpendapat seperti penulis komen di Facebook saya berkenaan dengan hal itu.

Memang benar, ia berasal dari agama Kristian, tetapi ia bukanlah perayaan agama. Menurut pertanyaan saya kepada seorang sahabat bukan Islam yang sangat alim mendalami agama Kristian, tidak ada perayaan yang dinamakan Valentine dalam kalendar agama mereka. Ia cuma trend yang diciptakan berdasarkan satu kejadian namun telah berubah mengikut zaman dan sehingga sekarang, ia bukan lagi satu hari yang dikaitkan secara agama.

Memang benar tidak dinafikan, untuk berkasih sayang bukanlah untuk sehari itu sahaja, namun adakah ianya menjadi satu kesalahan apabila satu hari dikhaskan untuk berkasih sayang? Dengan adanya hari tersebut, maka mungkin ada dikalangan kita yang sangat sibuk sepanjang tahun seperti ahli-ahli perniagaan yang tidak sempat bersama keluarga dapat menjadikan hari ini sebagai hari untuk bersama keluarga. Keluar makan bersama, pergi bercuti serta melakukan pelbagai aktiviti lagi untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bagi suami isteri, memang benar kasih sayang itu perlu ada setiap hari, namun mungkin sekiranya ada hari istimewa, maka akan wujud satu kreativiti untuk meraikan hari tersebut bersama isteri secara lebih istimewa. Mungkin setelah bertahun kahwin, sudah lupa untuk memberikan isteri kad ucapan, bunga atau pun ciuman. Maka bila adanya hari tersebut, ia seolah2 memberi nafas baru kepada perhubungan. Berapa ramai orang yang mengucapkan kasih sayang kepada isteri mereka setiap hari? Jadi, apa salahnya, apabila ada satu peringatan kepada kita untuk berkasih sayang. Sudah menjadi lumrah, trend serta budaya popular sangat mudah diikuti. Apa salahnya sekiranya budaya ini diberikan tempat untuk mengurangkan kes penceraian, menghentikan peperangan serta menghentikan kezaliman. Mungkin pada hari ini juga, kita akan teringat untuk menziarahi saudara mara kita serta jiran tertangga yang sudah lama kita tidak bertegur sapa hanya kerana rumput mutiara. Perlu diingatkan, kita jangan fikir semua orang macam kita, sempat berkasih sayang setiap hari. Ada yang terlalu sibuk dengan urusan mereka sehingga lupa perkara asas kehidupan ini. Inilah yang perlu dijadikan trigger atau pencetus agar kita hidup lebih gembira.

Apa yang menjadi kesalahan bila budaya ini di raikan secara jahiliah. Serta diraikan secara besar-besaran sehingga berlakunya pembaziran serta masalah sosial. Ia memang dilarang keras oleh semua agama. Yang menjadi masalah adalah masalah sosial yang bukan sahaja berlaku pada hari Valentine, namun setiap hari. Inilah harga yang perlu kita bayar untuk kemajuan yang kita perolehi. Namun, dengan mengharamkan Valentine, ia sebenarnya menggalakkan lagi remaja terutamanya, untuk meraikannya secara membabi buta. Sudah menjadi lumrah, apa yang diharamkan, itulah yang akan dibuat. Tidak diharamkan pun, masalah yang sama muncul. Jadi, inilah dilema kita. Tetapi, mengharamkan merupakan hal2 yang agak drastik. Asal saja ada perkara yang tidak datang dari Islam, kita terus mengharamkannya. Lebih wajar sekiranya kita memberi didikan serta menyerapkan roh keislaman di dalam apa jua perkara yang tidak berunsurkan Islam. Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat mengurangkan masalah sosial, namun mungkin kita boleh menarik hati yang bukan Islam untuk mengetahui tentang agama ini. Nabi SAW tidak terburu-buru mengharamkan amalan masyarakat bukan Islam pada masa itu. Namun baginda mengambil pendekatan yang paling lembut supaya masyarakat pada masa itu tertarik dengan Islam, serta tidak lari apabila mendengar tentang Islam.

Disebuah hadis ada dijelaskan, apabila Nabi SAW tiba di Madinah, di sana ada dua hari di mana mereka (orang Madinah) bergembira pada dua hari tersebut. Nabi SAW bertanya tentang hari tersebut. Sahabat menjelaskan bahawa 2 hari tersebut ialah hari dimana mereka meraikan sejak zaman jahiliah. Nabi SAW kemudian bersabda, ' Sesungguhnya Allah menggantikan kedua2 hari tersebut dengan perayaan yang lebih baik daripada kedua2nya iaitu hari Raya Aidil Adha dan hari Raya Aidilfitri'.
(riwayat Abu Daud. Rujuk Iqtidho al-Sirat al-Mustaqim, hal 163)

Berdasarkan hadis diatas, kita boleh lihat Nabi SAW tidak terus mengharamkan perayaan jahiliah, namun menggantinya. Secara halus, Nabi SAW sebenarnya menghapuskan perayaan jahiliah, namun ia dibuat secara tanpa disedari. Inilah dakwah yang paling berkesan. Bukan dengan hanya mengharamkan itu dan ini. Ini tidak akan membantu. Ada orang yang sangat bising tentang hari Valentine ini, tetapi dia tidak sedar dia merokok (Merokok haram mengikut hukum Islam). Malah setiap hari pula melakukan perkara haram. Jangan dilupa, pelbagai lagi perkara yang bukan berasal dari Islam namun dipraktikkan oleh majoriti daripada kita tanpa ada sebab yang kukuh. Sebagai contoh, bersanding di atas pelamin ketika majlis perkahwinan. Berinai serta pelbagai lagi. Ini merupakan budaya Hindu. Adakah kita sedar? Lagi, mempercayai hal-hal karut marut seperti tahyul, bomoh dan sebagainya, telah pun menjadi budaya yang tidak ada siapa peduli untuk menegur serta membetulkannya. Kalau ada pun, hanya sebilangan kecil. Ia merupakan budaya pagan. Di televisyen serta wayang sekarang, hampir nak muntah rasanya melihat lambakan cerita-cerita yang memesongkan akidah umat Islam, tahyul namun, ada sesiapa yang tegur. Sangat banyak contoh, namun kita tidak sedar.

Kita perlu memberi didikan yang berkesan kepada setiap remaja kita. Namun ia perlu dibuat secara berhemah serta menarik perhatian. Beri didikan tentang berkasih sayang di dalam Islam. Beri didikan tentang berkasih sayang dengan keluarga. Mungkin dengan cara ini, masalah sosial akan berkurangan, insyaAllah.

Sudah menjadi resmi, ramai dikalangan umat Islam yang malas berfikir bagaimana untuk berdakwah. Cara untuk menarik perhatian bukan Islam untuk mendalami Islam pula tidak pernah difikirkan secara serius. Sedangkan, Quran menjelas, 'tiada paksaan dalam beragama'. Amat perlu untuk kita menggunakan cara yang halus untuk meramaikan umat Muhammad SAW. Sekiranya tidak ada, mungkin akhirnya bukan sahaja umat Islam tidak akan bertambah, maka ramai pula remaja Islam yang tidak ada roh Islam di dalam hati mereka. Sekiranya ini terjadi, maka ia merupakan saat yang paling malang untuk agama terhebat dunia ini.

Wallahualam.


Feb 18, 2011

'Maulidur Rasul SAW'

Setiap tahun, di seluruh dunia, umat Islam secara keseluruhannya menyambut satu hari penting di dalam kalendar Islam yakni tarikh kelahiran junjungan termulia, Nabi Muhammad SAW, penghulu para rasul n umat serta rasul y membawa risalah gembira tentang nikmat keimanan kepada Allah SWT, Tuhan Rabbul Jalil, yang memiliki arays dan menguasai timur dan barat. Selawat dan salam ke hadrat baginda serta keluarga dan sahabat serta para pengikut sahabat dari masa ke sama sehingga ke hari kiamat.

Apakah faktor serta motivasi yang dapat kita cernakan di dalam sanubari kita agar kita merasa kasih y amat mendalam terhadap baginda? Apabila kita menyelusuri sejarah serta biografi manusia mulia yang bernama Muhammad ini, apakah yang akan tersemat di dada kita? Adakah ia merupakan perasaan yang biasa2 sahaja, ataupun timbul perasaan sayu mengenangkan betapa sayangnya Rasulullah kepada kita. Air mata selalu bergenang bila membaca kisah Rasulullah di saat terakhirnya sebelum rohnya di ambil untuk dibawa bertemu Allah SWT. Bagaimana baginda di saat akhir pun masih ingin memberi yang terbaik kepada kita sebagai umatnya.

Rasul SAW mengajar kita erti kasih sayang, kesabaran, kekeluargaan serta tanggungjawah kita kepada Allah, kepada baginda sendiri serta kepada keluarga kita seterusnya terhadap masyarakat sekeliling kita tidak kira latar belakang, anutan agama serta budaya. Tidak ada istilah keganasan di dalam agama ini. Tidak ada istilah pengganas di dalam agama ini. Islam tercemar dengan wujudnya sebilangan ekstremis yang tidak benar2 menyelami tuntutan agama ini. Tidak hairanlah, kita sering mendengar berita2 keganasan yang melibatkan umat Islam diseluruh dunia.

Fakta dunia moden hari ini menunjukkan bahawa umat Islam merupakan umat y lemah serta mudah ditindas. Padahal, pada satu masa dahulu, kita gah menakhluk dunia. Ini tidak lain dan tidak bukan adalah disebabkan oleh kesilapan kita sendiri. Kita mudah berpecah, tetapi payah untuk bersatu. Sebagai contoh, di Palestin, kelemahan mereka bukan kerana Israel kuat, tetapi kerana perpecahan. Hamas dan Fatah sehingga sekarang masih belum mampu duduk semeja dan berkongsi kekuatan untuk menentang musuh negara mereka. Dunia Arab y kaya raya, yang dikurniakan oleh Allah dengan pelbagai sumber bumi, namun tidak mampu untuk menjadi kuasa ekonomi terunggul. Padahal kekayaan melimpah ruah. Kita dapat melihat kekayaan mereka hanya diboloti oleh pemerintah y tamak serta tidak mempunyai nilai2 Islam walaupun al-Quran di turunkan di bumi mereka. Mereka hanya mengikut telunjuk orang kafir serta menjadi seperti di zaman jahiliah kembali yakni tidak berilmu untuk menguasai dunia melalui kekayaan yang mereka ada.

Bila sikap tamak menguasai diri, inilah yang dapat kita lihat terjadi di Tunisia, Mesir dan sekarang di Bahrain, Yaman dan lain2 tempat. Walaupun mereka mendakwa negara mereka mengamalkan Islam secara keseluruhannya, namun dasar mereka kelihatan seperti liberal serta tidak praktikal dalam menghadapi cabaran globalisasi yang menyaksikan bahawa mereka akan menjadi papa kedana sekiranya sumber bumi mereka y melimpah-limpah pada masa sekarang habis suatu hari nanti.

Di Malaysia, sebenarnya, perpecahan sedang dan telah pun berlaku. Perpecahan di antara umat Islam berpunca daripada berlainan fahaman di dalam Islam itu sendiri seperti berlainan mazhab serta ideologi dan yang paling ketara adalah perpecahan akibat perbezaan fahaman politik. Namun, walau apa pun perbezaan, namun diharapkan sekiranya muncul suatu perkara yang melibatkan kemaslhatan umat Islam di Malaysia, wajib sekiranya kita bersatu demi menjadi keunggulan agama yang syumul ini.

Maulidur Rasul kali ini, yang disambut secara besar-besaran pada setiap tahun, diharapkan akan mermotivasikan kita semua agar sedar bahawa setiap umat Islam perlu bersatu. Kita berkongsi kiblat yang sama, Rasul y sama serta menyembah Tuhan y sama. Bagaimana pula perlu wujud segala macam perbezaan. Harapan saya semoga, Islam di bumi Malaysia ini akan menjadi lebih kuat serta menjadi contoh kepada semua negara2 diluar sana bahawa Islam mampu memacu kecemerlangan ummah serta mampu untuk menjadi terbaik di kalangan yang terbaik.


Firman Allah:

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ

كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ

عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ

تَہۡتَدُونَ

Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam) dan janganlah kamu bercerai-berai dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka (disebabkan kekufuran kamu semasa jahiliah), lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayatNya (Surah Ali Imran: 103)


Jan 22, 2011

'Serangan Anjing'

Pada 9 Januari 2011 yang lepas, sebilangan dari rakyat Malaysia dikejutkan oleh berita tentang serangan anjing terhadap seorang warga Ireland (Irish), Sullivan Maurice, dari Water Port Parie, Ireland di sebuah kebun buah-buahan di Teluk Bahang, Pulau Pinang (baca sini). Mangsa dipercayai diserang oleh anjing jenis Mongrel yang merupakan anjing daripada kacukan beberapa baka anjing dan disifatkan sebagai anjing yang sihat serta tidak ganas (rujuk sini). Namun, yang terjadi adalah sebaliknya kerana anjing itu telah membunuh seorang pelancong serta keadaan mayat yang begitu ngeri seolah2 mangsa telah terbunuh akibat serangan tanpa belas kasihan.

Mangsa dipercayai mengenali anjing itu sehari sebelum itu. Menurut pemilik anjing tersebut, sehari sebelum kejadian, mangsa sempat bermain2 serta memberi makan kepada 2 ekor anjing tersebut. Pada hari kejadian, anjing tersebut dibiarkan tidak terikat. Mangsa yang sedang berjalan2 di kebun durian tersebut untuk merakam gambar, telah diserang oleh anjing itu. Pada masa kejadian, teman wanita mangsa ada bersama namun beliau tidak mampu melakukan apa2 kerana anjing itu yang terlalu ganas menyerang mangsa serta tidak boleh didekati.

Melalui sumber2 yang dipercayai, saya telah melihat gambar2 mayat mangsa. Keadaan mayat Maurice yang begitu teruk menggambarkan betapa beliau terseksa sebelum kematiannya. Bahagian muka serta telinga sebelah kirinya terkoyak, dengan luka besar seperti di bahanm jerung. Bahagian bawah dagunya terbelah. Di lehernya, terdapat beberapa lubang dipercayai bekas gigitan taring anjing tersebut. Tangan kanannya dari bahagian siku ke pergelangan tangan hancur isinya sehingga menampakkan tulang. Begitu juga dengan bahagian pinggang serta pahanya. Daging di bahagian tersebut seperti disiat serta dibahagian tangan kiri, terdapat banyak luka akibat cakaran haiwan tersebut.

Saya juga difahamkan bahawa anjing itu merupakan baka yang ganas yang digunakan untuk judi anjing (laga anjing). Kandang yang digunakan untuk mengurung anjing itu ditinggikan dindingnya. Ini adalah untuk mengelakkan anjing itu daripada melompat keluar. Persoalannya, mengapa anjing yang sebegitu ganas sehingga memerlukan kandang khas yang tinggi dindingnya dibenarkan untuk dipelihara. Adakah pemilik anjing tersebut mempunyai lesen untuk memelihara anjing daripada Majlis Pembandaran Pulau Pinang (MPPP)? Adakah pihak MPPP melihat dahulu anjing yang dipohon lesennya untuk dipelihara samada ia daripada baka yang jinak atau pun ganas.

Saya, secara peribadi dari dahulu sehingga kini tidak menyukai anjing terutamanya anjing gelandangan atau anjing terbiar. Saya selalu terfikir, mengapa terdapat sebilangan pemilik anjing yang memelihara anjing yang besar serta garang hanya semata-mata untuk menjaga rumah. Melalui pemerhatian saya, anjing yang kecil pun sudah memadai untuk dipelihara sebagai penjaga rumah kerana bunyi salakannya yang begitu kuat. Apabila jadi perkara sebegini, bagi saya, anjing itu tidak sepatutnya dipersalahkan kerana mereka tidak mempunyai akal. Mereka menyerang kerana sifat mereka yang sememangnya ganas. Sepatutnya, pemilik anjing di kebun Teluk Bahang itu perlu di dakwa kerana kecuaian sehingga menyebabkan kematian. Saya masih hairan, kenapa keluarga mangsa tidak mengambil tindakan terhadap pemilik anjing tersebut.

Kejadian yang berlaku sepatutnya membuka mata pihak berkuasa tempatan (PBT) agar lebih serius serta memperketatkan undang2 pemilikan anjing di Malaysia. Anjing yang dibenarkan dipelihara adalah jenis yang kecil serta jinak serta sentiasa diikat dan dikurung di premis2 yang diberi lesen anjing. Anjing2 liar pula perlu sentiasa dipantau. Di Pulau Pinang sahaja, anjing2 liar ini begitu banyak berkeliaran sehingga menakutkan pejalan2 kaki. Pemerhatiannya mudah jika kita mahu menuduh PBT ini tidak melakukan kerja. Jika kita melihat anjing A berkeliaran pada hari ini di satu kawasan, sekiranya lepas sebulan apabila kita melalui kawasan tersebut serta melihat anjing yang sama, maka memang betul, PBT tidak bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas mereka. Tambahan pula, sudah menjadi sikap buruk orang kita yang sentiasa menunggu sesuatu kemalangan berlaku, baru akan ada tindakan yang diambil untuk membetulkan masalah yang berpunca daripada sikap tidak bertanggunggjawab pihak2 berkuasa.

Seperti kes anjing liar di USM beberapa tahun lalu. Apabila ditanya, kenapa tiada tindakan diambil untuk menangkap anjing liar itu. Jawapan yang diberikan menggambarkan tahap pemikiran serta sikap pihak2 berkenaan yang tidak bertanggungjawab. Alasan mereka, apabila mereka datang pada waktu siang (waktu bekerja), tidak nampak kelibat anjing yang berkeliaran kerana anjing2 itui aktif di waktu malam. Mereka tidak dapat menangkap anjing2 itu pada waktu malam kerana waktu kerja mereka sudah habis pada pukul 5. Lihatlah sendiri, sikap2 sebegini kadang2 tidak boleh dimaafkan sekiranya ada kes orang diserang anjing. Kemudian, apabila kemalangan sedemikian terjadi, pelbagai alasan yang diberikan untuk menutup kelemahan serta sikap tidak bertanggungjawab mereka.

Saya harap, kepada sesiapa yang mempunyai jiran yang memelihara anjing yang besar serta garang, laporkanlah kepada balai polis yang berhampiran supaya ia direkodkan. Apabila terjadi apa2, senang untuk diambil tindakan. Kepada pemilik anjing, tidak perlulah memelihara anjing2 yang ganas. Hormatilah jiran. Jika anda tidak suka untuk mendengar bunyi bising azan pada waktu pagi, begitu juga jiran2 anda tidak suka mendengar anjing anda menyalak pada waktu malam.