Feb 21, 2011

'Valentine Day'

Bila tibanya 14 Februari setiap tahun, maka akan timbul perselisihan serta pertelingkahan berkaitan dengan tarikh ini, 14 Febuari. Ini adalah kerana, tarikh 14 Februari yang dikenali sebagai hari Valentine di sambut oleh kebanyakkan orang sebagai hari kasih sayang. Sebenarnya, sejarah hari Valentine ini sangat panjang. Ia bercambur baur dengan sejarah dan mitos serta lagenda. Sejarah ini boleh kita baca secara ringkasnya dari sini. Namun, yang menjadi persoalannya, adakah hari Valentine ini di haramkan secara total oleh agama Islam. Diharamkan atau tidak dibenarkan?

Sebenarnya, saya bukanlah seorang yang taksub serta berkeinginan untuk 'merayakan' hari tersebut. Namun, baru2, selepas setahun lebih usia perkahwinan dengan isteri saya, maka apabila tiba tarikh tersebut (y saya sendiri tidak ingat namun tahu sebab media asyik menghebohkannya) saya pun menulis ucapan kepada isteri saya. Ia mengundang teguran daripada beberapa pihak (tidak ramai) namun saya percaya diluar sana ramai yang berpendapat seperti penulis komen di Facebook saya berkenaan dengan hal itu.

Memang benar, ia berasal dari agama Kristian, tetapi ia bukanlah perayaan agama. Menurut pertanyaan saya kepada seorang sahabat bukan Islam yang sangat alim mendalami agama Kristian, tidak ada perayaan yang dinamakan Valentine dalam kalendar agama mereka. Ia cuma trend yang diciptakan berdasarkan satu kejadian namun telah berubah mengikut zaman dan sehingga sekarang, ia bukan lagi satu hari yang dikaitkan secara agama.

Memang benar tidak dinafikan, untuk berkasih sayang bukanlah untuk sehari itu sahaja, namun adakah ianya menjadi satu kesalahan apabila satu hari dikhaskan untuk berkasih sayang? Dengan adanya hari tersebut, maka mungkin ada dikalangan kita yang sangat sibuk sepanjang tahun seperti ahli-ahli perniagaan yang tidak sempat bersama keluarga dapat menjadikan hari ini sebagai hari untuk bersama keluarga. Keluar makan bersama, pergi bercuti serta melakukan pelbagai aktiviti lagi untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan. Bagi suami isteri, memang benar kasih sayang itu perlu ada setiap hari, namun mungkin sekiranya ada hari istimewa, maka akan wujud satu kreativiti untuk meraikan hari tersebut bersama isteri secara lebih istimewa. Mungkin setelah bertahun kahwin, sudah lupa untuk memberikan isteri kad ucapan, bunga atau pun ciuman. Maka bila adanya hari tersebut, ia seolah2 memberi nafas baru kepada perhubungan. Berapa ramai orang yang mengucapkan kasih sayang kepada isteri mereka setiap hari? Jadi, apa salahnya, apabila ada satu peringatan kepada kita untuk berkasih sayang. Sudah menjadi lumrah, trend serta budaya popular sangat mudah diikuti. Apa salahnya sekiranya budaya ini diberikan tempat untuk mengurangkan kes penceraian, menghentikan peperangan serta menghentikan kezaliman. Mungkin pada hari ini juga, kita akan teringat untuk menziarahi saudara mara kita serta jiran tertangga yang sudah lama kita tidak bertegur sapa hanya kerana rumput mutiara. Perlu diingatkan, kita jangan fikir semua orang macam kita, sempat berkasih sayang setiap hari. Ada yang terlalu sibuk dengan urusan mereka sehingga lupa perkara asas kehidupan ini. Inilah yang perlu dijadikan trigger atau pencetus agar kita hidup lebih gembira.

Apa yang menjadi kesalahan bila budaya ini di raikan secara jahiliah. Serta diraikan secara besar-besaran sehingga berlakunya pembaziran serta masalah sosial. Ia memang dilarang keras oleh semua agama. Yang menjadi masalah adalah masalah sosial yang bukan sahaja berlaku pada hari Valentine, namun setiap hari. Inilah harga yang perlu kita bayar untuk kemajuan yang kita perolehi. Namun, dengan mengharamkan Valentine, ia sebenarnya menggalakkan lagi remaja terutamanya, untuk meraikannya secara membabi buta. Sudah menjadi lumrah, apa yang diharamkan, itulah yang akan dibuat. Tidak diharamkan pun, masalah yang sama muncul. Jadi, inilah dilema kita. Tetapi, mengharamkan merupakan hal2 yang agak drastik. Asal saja ada perkara yang tidak datang dari Islam, kita terus mengharamkannya. Lebih wajar sekiranya kita memberi didikan serta menyerapkan roh keislaman di dalam apa jua perkara yang tidak berunsurkan Islam. Dengan cara ini, bukan sahaja kita dapat mengurangkan masalah sosial, namun mungkin kita boleh menarik hati yang bukan Islam untuk mengetahui tentang agama ini. Nabi SAW tidak terburu-buru mengharamkan amalan masyarakat bukan Islam pada masa itu. Namun baginda mengambil pendekatan yang paling lembut supaya masyarakat pada masa itu tertarik dengan Islam, serta tidak lari apabila mendengar tentang Islam.

Disebuah hadis ada dijelaskan, apabila Nabi SAW tiba di Madinah, di sana ada dua hari di mana mereka (orang Madinah) bergembira pada dua hari tersebut. Nabi SAW bertanya tentang hari tersebut. Sahabat menjelaskan bahawa 2 hari tersebut ialah hari dimana mereka meraikan sejak zaman jahiliah. Nabi SAW kemudian bersabda, ' Sesungguhnya Allah menggantikan kedua2 hari tersebut dengan perayaan yang lebih baik daripada kedua2nya iaitu hari Raya Aidil Adha dan hari Raya Aidilfitri'.
(riwayat Abu Daud. Rujuk Iqtidho al-Sirat al-Mustaqim, hal 163)

Berdasarkan hadis diatas, kita boleh lihat Nabi SAW tidak terus mengharamkan perayaan jahiliah, namun menggantinya. Secara halus, Nabi SAW sebenarnya menghapuskan perayaan jahiliah, namun ia dibuat secara tanpa disedari. Inilah dakwah yang paling berkesan. Bukan dengan hanya mengharamkan itu dan ini. Ini tidak akan membantu. Ada orang yang sangat bising tentang hari Valentine ini, tetapi dia tidak sedar dia merokok (Merokok haram mengikut hukum Islam). Malah setiap hari pula melakukan perkara haram. Jangan dilupa, pelbagai lagi perkara yang bukan berasal dari Islam namun dipraktikkan oleh majoriti daripada kita tanpa ada sebab yang kukuh. Sebagai contoh, bersanding di atas pelamin ketika majlis perkahwinan. Berinai serta pelbagai lagi. Ini merupakan budaya Hindu. Adakah kita sedar? Lagi, mempercayai hal-hal karut marut seperti tahyul, bomoh dan sebagainya, telah pun menjadi budaya yang tidak ada siapa peduli untuk menegur serta membetulkannya. Kalau ada pun, hanya sebilangan kecil. Ia merupakan budaya pagan. Di televisyen serta wayang sekarang, hampir nak muntah rasanya melihat lambakan cerita-cerita yang memesongkan akidah umat Islam, tahyul namun, ada sesiapa yang tegur. Sangat banyak contoh, namun kita tidak sedar.

Kita perlu memberi didikan yang berkesan kepada setiap remaja kita. Namun ia perlu dibuat secara berhemah serta menarik perhatian. Beri didikan tentang berkasih sayang di dalam Islam. Beri didikan tentang berkasih sayang dengan keluarga. Mungkin dengan cara ini, masalah sosial akan berkurangan, insyaAllah.

Sudah menjadi resmi, ramai dikalangan umat Islam yang malas berfikir bagaimana untuk berdakwah. Cara untuk menarik perhatian bukan Islam untuk mendalami Islam pula tidak pernah difikirkan secara serius. Sedangkan, Quran menjelas, 'tiada paksaan dalam beragama'. Amat perlu untuk kita menggunakan cara yang halus untuk meramaikan umat Muhammad SAW. Sekiranya tidak ada, mungkin akhirnya bukan sahaja umat Islam tidak akan bertambah, maka ramai pula remaja Islam yang tidak ada roh Islam di dalam hati mereka. Sekiranya ini terjadi, maka ia merupakan saat yang paling malang untuk agama terhebat dunia ini.

Wallahualam.


2 comments:

Anonymous said...

Zul, akak bersetuju dengan pandangan awak tentang valentine. Kadang2 orang kita cepat mengharamkam sesuatu tanpa memikirkan kebaikan. Tak ada salahnya seorang suami membeli bunga untuk isteri setahun sekali kalau bukan pun setiap hari. Fikirkanlah pengorbanan isteri yang berat menjaga rumah & anak, kebanyakannya bekerja lagi.

Anonymous said...

all story has its 2 sided page... one might agreed and one might not agreed. i reckoned ur POV... i'm in that league too. its not that i supports this valentine's day so much since i never celebrate it too. i totally agreed on ur POV to put a date in which u put on value on that day. a day u care more on ur partner. just like mother's day and father's day. its not that we only love them on that day but we love them every minute and seconds. its just that, that day we put on value into it. i think there's nothing wrong to caress your love ones more that day. sometime love need to be express to refresh the relationship. like having coffee when u r half asleep.. well thats it... hehehe