Mar 28, 2014

'Apabila Melayu Menikam Belakang Melayu'

Kebelakangan ini, di dalam siri ceramah Anwar Ibrahim, pasca keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman penjara kepadanya kerana kesalahan meliwat, Anwar tidak berhenti-henti menyerang beberapa individu Melayu yang dikatakan sebagai kroni kerajaan. Ironinya, tuduhan yang dilakukan, tidak ada kena mengena dengan hukuman penjara yang telah dijatuhkan ke atas beliau. Malah, sebelum keputusan tersebut, nama seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Mohkzani Mahathir menjadi objek sasar yang amat disukai beliau di dalam ceramahnya. Namun, apa yang begitu mengecewakan, serangan terhadap individu yang merupakan usahawan Melayu yang berjaya ini kerap kali dilakukan dihadapan bangsa lain, terutamanya Cina yang umum mengetahui merupakan kaum yang menguasai kekayaan ekonomi di Malaysia ini. Betul kata seorang sahabat, bahawa Melayu cuma pandai untuk menjatuhkan Melayu, merosakkan bangsa sendiri dengan sikap dengki semulajadi.

Jika diteliti, di dalam senarai individu terkaya di Malaysia, semuanya milik kaum Cina, bermula dari yang paling kaya, dan di dalam senarai 10 individu terkaya di Malaysia, cuma dua orang dari kaum Melayu. Kenapa di dalam ceramah Anwar Ibrahim, beliau tidak menyebut tentang kekayaan Robert Kuok (individu terkaya di Malaysia) sebagai hasil menjadi kroni kerajaan? Di dalam buku ‘The Reluctant Politician’, beberapa bahagian di dalam buku ini menamakan Robert Kuok sebagai sahabat karib kepada pemimpin kerajaan Perikatan pada masa itu iaitu Tun Dr Ismail. Robert Kuok disebut beberapa kali sebagai sahabat sejak dari zaman muda Dr Ismail sehinggalah ke akhir hayat. Kenapa beliau tidak disebut sebagai kroni kerajaan? Adakah kerana beliau berbangsa Cina. Di mata Anwar, hanya Cina saja yang  boleh jadi kaya-raya, dan tidak dicop sebagai kroni. Begitu juga dengan Ananda Krishnan, mendiang Lim Goh Tong, Tony Fernandes, Vincent Tan. Mereka juga menjadi kaya akibat peluang yang diberikan oleh kerajaan. Ananda Krishnan contohnya, diberi lesen untuk menjalankan bisnes tv satelit iaitu Astro, dan sehingga ke hari ini, beliau memonopoli bisnes tersebut akibat dasar kerajaan. Kenapa beliau tidak disebut sebagai kroni kerajaan? Begitu juga dengan Tony Fernandes. Kerajaan siap membina sebuah lagi lapangan terbang iaitu KLIA2 sebagai hub kepada Air Asia untuk menjalankan perniagaan. Kenapa beliau tidak dinamakan sebagai kroni?

Sebenarnya, di sebalik tabir kejayaan individu-individu yang saya namakan di atas, bukanlah hasil dasar mengamalkan kroni oleh kerajaan. Kerajaan cuma memberi peluang kepada mereka ini, selebihnya adalah hasil kerja keras dan kebijaksanaan mereka di dalam menjalankan perniagaan. Sebagai contoh, Tan Sri Syed Mokhtar merupakan usahawan sejak dari zaman mudanya. Kemudian kejayaan dimiliki diperolehi secara perlahan-lahan sehingga menjadi billionaire hari ini. Saya masih ingat soalan Anwar ketika seronok memburuk-burukkan Syed Mokhtar. Beliau berkata ‘bagaimana seorang individu boleh mendapat pelbagai projek kerajaan. Buat landasan keretapi, dia. Buat jambatan, dia. Perlabuhan, dia. Takkan seorang individu tahu semua bidang?’. Bagi saya, ini satu soalan yang bodoh daripada seorang pemimpin yang menggambarkan dirinya sebagai pemimpin besar. Jawapan kepada dakwaan ini mudah saja. Bukan Syed Mokhtar yang buat semua tu. Syarikat-syarikat yang beliau miliki yang melaksanakan. Beliau cuma menjadi pemilik kepada syarikat-syarikat seperti UEM, Perlabuhan Pasir Gudang, MMC dan lain-lain. Soalan ini boleh ditanya semula kepada Anwar. Kenapa dia nak jadi Perdana Menteri sangat-sangat. Perdana Menteri perlu uruskan ekonomi, buat bangunan, bina jalan, tahu undang-undang, uruskan kewangan, bina rumah. Takkan Anwar sebagai seorang individu tahu semua bidang-bidang ini? Jika beliau berpegang kepada kenyataan ini, tak perlulah beliau sibuk-sibuk untuk menjadi Perdana Menteri. Mustahil untuk beliau nak menjadi PM yang baik kerana bagi beliau, mustahil untuk individu mahir dalam pelbagai bidang. Tan Sri Syed Mokhtar cuma usahawan. Beliau menguruskan perniagaan, tidak kisahlah apa juga cabang perniagaan tersebut. Kerja-kerja lain diuruskan oleh pengurus syarikat beliau yang pastinya mempunyai latar belakang yang sesuai dengan kerja yang mereka laksanakan. Jadi, tidak timbul soalan bodoh sebegini, terutamanya dari individu yang dianggap pemimpin besar oleh pengikut-pengikutnya.

Amat malang sekali, ramai daripada pengikut-pengikutnya, menelan bulat-bulat apa yang dimomokkan kepada mereka. Tidak boleh jika untuk seketika, mereka ini berfikir dengan waras. Amat malang jika kita sesama kaum, memburukkan bangsa sendiri di hadapan bangsa lain. Ini adalah satu pengkhianatan. Sejarah menunjukkan, bangsa kita hancur akibat sikap dengki dan busuk hati bangsa kita sendiri. Kita sepatutnya berbangga dan bersatu padu, supaya nasib bangsa kita terbela. Lihat, bagaimana kaum Cina bersatu-padu. Persatuan-persatuan mereka kuat dalam memperjuangkan isu yang berkepentingan kepada bangsa mereka, tetapi kita, asyik saling menggigit sesama kita. Tidak mustahil, suatu hari nanti, bangsa kita akan hilang di bumi bertuah ini. Berpolitik ada batasannya. Jangan kerana inginkan keuntungan politik, pengkhianatan terhadap bangsa sendiri dilakukan.

Mungkin ada yang membaca artikel ini akan mengangap artikel ini bersifat rasis. Ini bukan artikel rasis. Ini cuma artikel untuk memberi nasihat kepada Melayu, agar bersatu-padu. Buangkan sifat hasad dan dengki di dalam hati kita. Berwaspadalah terhadap pemimpin seperti ini. Jika di depan Melayu, nada suaranya berbeza pula. Ini bukan sikap seorang pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik, adalah pemimpin yang tidak menghasut rakyat untuk saling membenci. Berusahalah untuk menjadi lebih baik daripada hari ini.

Mar 4, 2014

'Sampling untuk Projek PhD'

Tersangat lama rasanya, blog ini menjadi tempat tinggal labah-labah untuk bersarang, membuat sawang. Bukan tak mahu menulis, tetapi himpitan masa dan kesibukan, membataskan masa untuk menulis. Kalau ada pun, menulis untuk scientific publication saja.

Hujung tahun lepas (2013) dan awal tahun ni, aku teramat sibuk dengan sampling  untuk projek PhD. Setiap 2 minggu sekali, aku akan ke daerah-daerah di Pahang, semata-mata untuk menjalan kajian sungai di sana. Memang penat, tetapi itulah, aku sendiri yang propose untuk mengambil sampel di 50 batang sungai di Lembangan Sungai Pahang, kira nasiblah kalau projek ni memenatkan fizikal dan mental aku. Sebenarnya, di awal ketika baru nak memulakan projek ni, aku rasa agak mustahil untuk aku sorang, untuk mengambil sampel di 50 batang sungai. Kalau satu kumpulan, 5 6 orang, mungkin tidak ada masalah. Tetapi jika sorang saja yang handle, memang agak cari pasal la. Tapi, aku cabar diri aku sendiri untuk melakukan projek ni. Selama setahun aku merancang, mencari bahan serta menyiapkan kerja-kerja pre-sampling, agar projek ini dapat berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, dengan bantuan supervisor aku, Prof Che Salmah dan rakan-rakan seperjuangan, aku berjaya untuk membuah research di kesemua sungai-sungai tersebut, bermula dari sungai-sungai di Merapoh dan Kuala Lipis, sehingga yang terakhir iaitu sungai-sungai di Daerah Bentong, Pahang.

Sekarang, aku sedang mengambil sampel untuk kali kedua di sungai-sungai tersebut. Tinggal 10 sungai lagi sebelum habis kesemua sungai. Setakat hari ini, aku telah mengambil sampel di 90 batang sungai (50 sungai x 2 kali sampling = 100 kali lawatan ke sungai-sungai terbabit). Selepas sungai yang terakhir, boleh la aku tumpukan perhatian untuk fasa membuat analisis data dan menulis tesis. Semoga semuanya berjalan lancar. InsyaAllah.

Assistants semasa sampling di Merapoh


 Semangat membantu


 Sungai Seboi, Temerloh (dipenuhi lumpur akibat 
banjir)


 Sungai Bera, mengalir keluar dari Tasik Bera


 Pembinaan jambatan yang mencemarkan sungai


 Sungai di Bera.


 Bersama Dr Hasber di Sungai Buaya, Pekan. 
Antara sungai yang tercemar di Pahang.


 Mencatat data penyelidikan


 Merekodkan data kimia sungai


 Ular Sawa terperangkap dalam pukat ikan, antara 
cabaran yang terpaksa dihadapi


Mengambil data yang cukup amat penting 
di dalam sesuatu penyelidikan