Jul 8, 2011

'Boikot Produk Yahudi serta Cakap Tak Serupa Bikin'

Sudah lama saya ingin mengulas tentang perihal boikot produk-produk yang di dakwa dimiliki oleh Yahudi serta Israel. Namun, baru-baru ini, isu ini kembali segar di memori saya serta membolehkan saya memberi ulasan. Saya pernah menerima 1 flyer tentang senarai produk-produk yang kononnya milik Yahudi serta penggunaan terhadap produk-produk itu akan secara tidak langsung menjadikan kita benifactor atau penyumbang kepada keganasan serta sumber kekayaan Yahudi pada hari ini. Saya tidak menafikan hakikat tersebut serta mungkin ada kebenarannya. Namun, dengan memboikot produk-produk itu, adakah ia akan menjatuhkan Yahudi?Serta yang keduanya, bagaimanakah dengan mereka-mereka yang mencari nafkah dengan berkhidmat dengan syarikat-syarikat penyedia produk-produk tersebut di Malaysia. 

Sebagai contoh, McDonald (M) dikatakan menyumbangkan hasilnya kepada Yahudi. Serta pernah dimiliki oleh Yahudi. Untuk makluman pembaca yang dihormati, McDonald adalah sebuah syarikat pegangan awam (Public Traded Company or PTC). Maksudnya, sesiapa yang mempunyai duit atau dana serta kelayakan dari segi undang-undang untuk menjadi pemilik saham McDonald, maka tidak ada masalah untuk menjadi pemilik McDonald hatta orang Yahudi sekalipun. Pernah satu ketika, McDonald dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi iaitu Jack M. Greenber, yang juga Pengarah Kehormat American-Israel Chamber of Commerce and Industry, Inc. serta McDonald juga ditaja oleh Jewish United Fund (JUF). Namun, pemilik McDonald sekarang adalah Jim Skinner, seorang berbangsa kulit putih America. 

Ada pelbagai lagi isu serta kontroversi tentang hubungan McDonald dan Yahudi, namun di Malaysia, McDonald ini telah pun terkeluar daripada lanskap Yahudi. McDonald telah memberi lesen kepada Golden Arches Restaurant Sdn Bhd., milik Tan Sri Vincent Tan kalau tak salah saya pada tahun 1980. Restoran McD yang pertama telah dibuka pada tahun 1982 di Jalan Bukit Bintang. Namun, apa yang perlu kita tahu, selepas lebih 20 tahun di Malaysia, McD mula diterajui oleh orang Melayu beragama Islam. Bukan itu yang patut dibanggakan. Pelbagai kerja-kerja kebajikan serta pelunasan tanggungjawab sosial kepada rakyat Malaysia yang perlu kita sokong. McDonald juga telah menyediakan pekerjaan kepada hampir 2000 orang di seluruh Malaysia dengan lebih 170 cawangan di seluruh Malaysia. Oleh kerana ia merupakan perniagaan franchais, McD telah membayar cukai yang tinggi kepada kerajaan serta menyempurnakan impian kerajaan bagi mewujudkan usahawan bumiputra yang maju dan berdaya saing. Sekiranya semua orang mengambil langkah bodoh dengan memboikot McD, siapakah yang akan membantu 2000 orang pekerja untuk mencari rezeki.


Saya tidak membantah langkah untuk memboikot, namun kita perlu menyediakan asas yang kukuh supaya Islam tampak indah dengan tindakan yang akan kita ambil. Di zaman Rasulullah, baginda SAW pernah memboikot perniagaan Yahudi kerana sistem kapitalis serta riba yang dilakukan oleh mereka. Namun, sebelum boikot itu dilaksanakan, Rasulullah SAW memerintahkan Abdul Rahman bin Auf, seorang pakar ekonomi Islam yang terkenal memulakan pasar Islam atau Suqul Ansar yang diuruskan 100% oleh orang-orang Islam. Setelah pasar itu mula berjalan dengan lancar, barulah tindakan boikot dilaksanakan. Ini supaya selepas itu umat Islam tidak lagi terlibat bermuamalat dengan orang Yahudi. Pada hari ini, ramai yang berteriak supaya memboikot produk-produk Yahudi, namun tidak pula menyediakan alternatif untuk menggantikan produk tersebut. Malah, mereka ini tidak dapat lari daripada menggunakan produk Yahudi. Inilah yang dinamakan cakap tidak serupa bikin. Peribahasa Melayu menjelaskan perkara ini dengan 'meludah ke langit, terkena muka sendiri'.


Sebenarnya, kita tidak ada inisiatif untuk memajukan umat Islam. Selalu tindakan yang diambil membawa kita ke belakang. Tidak ada matlamat yang konkrit, cuma yang ada hanyalah emosi yang cuba menghalalkan setiap tindakan. Sikap malas untuk berfikir di luar kotak, bersederhana hanya mencambahkan penyakit jiwa yang merasakan diri sendiri yang lebih bijak daripada orang lain.


Sebagai contoh, ada yang kononnya, tidak akan menjejakkan kaki ke McD kerana kononnya syarikat milik Yahudi. Tetapi pada masa yang sama bekerja di syarikat komputer milik Yahudi. Ada yang kononnya tidak mahu minum Coca-Cola tetapi pada masa yang sama aktif menggunakan Facebook yang diasaskan oleh seorang yang berketurunan Yahudi. Ada yang tidak meminum air Sprite, tetapi pada masa yang sama menyokong serta menyarung jersi pasukan bolasepak yang dimiliki oleh seorang berbangsa Yahudi. Adakah ini situasi yang sihat. Kita cuma menimbulkan kekacauan serta ketakutan pada mereka yang ikhlas mencari rezeki dengan bekerja di syarikat-syarikat produk berkenaan. Inilah dikatakan cakap tidak serupa bikin.


Hakikatnya, dunia hari ini amat bergantung kepada produk-produk yang dijelmakan oleh mereka yang berketurunan Yahudi. Kerana apa? Kerana itu adalah janji Allah dimana diakhir zaman, Yahudi akan diberi peluang untuk menakluki dunia selepas dua kali diusir dari al-Quds. Sejarah bangsa mereka yang sangat panjang serta 'great diaspora' bangsa itu menjadikan mereka bertaburan di seluruh pelusuk dunia hari ini serta menguasai ilmu Allah untuk menguasai dunia. 


Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya kamu akan membuat kerosakkan di muka bumi ini dua kali dan pasti kamu akan menyombongkan diri dengan kesombongan yang besar." Maka apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) pertama dari kedua (kejahatan) itu, Kami datangkan kepadamu hamba-hamba Kami yang mempunyai kekuatan yang besar, lalu mereka maharajalela di kampung-kampung, dan itulah ketetapan yang pasti terlaksana. Kemudian Kami berikan kepadamu giliran untuk mengalahkan mereka kembali dan Kami membantumu dengan harta kekayaan dan anak-anak, dan Kami jadikan kamu kelompok yang lebih besar. Jika kamu berbuat baik bagi dirimu sendiri; dan jika kamu berbuat jahat, maka (kejahatan) itu bagi dirimu sendiri, dan apabila datang saat hukuman bagi (kejahatan) yang kedua, (Kami datangkan orang-orang lain) untuk menyuramkan muka-muka kamu dan mereka masuk ke dalam masjid, sebagai mana musuh-musuhmu memasukinya pada kali pertama dan untuk membinasakan sehabis-habisnya apa saja yang mereka kuasai.
(Al-Isra': 4 - 7)


Setiap perbuatan serta pemikiran kita, perlu kita teliti agar orang disekeliling kita tidak meragui pendirian kita. Biarlah kita sentiasa bersikap besederhana dalam apa jua perkara. Musuh kita kuat kerana kita yang lemah. Hari ini, Hamas di Palestin masih belum mampu bersatu dengan Fatah. Negara-negara Arab yang kaya raya masih tidak mampu merajai dunia kerana sentiasa alpa dengan nikmat yang Allah berikan kepada mereka. Serta kita, masih suka untuk mengambil tindakan terkebelakang di dalam usaha untuk memerangi mereka. Semoga saya berada di jalan yang benar serta diredhai Allah. Usahakan supaya umat Islam menjadi bangsa berilmu serta menyumbangkan sesuatu kepada dunia. Dan sumbangan itu akan menjadikan mereka bergantung dengan kita di dalam menjalani kehidupan mereka diakhir-akhir umur dunia ini. Serta barulah kita akan dihormati serta tidak lagi bergantung kepada produk mereka. Wallahualam.

Jun 27, 2011

'Duit Rakyat atau Duit Kerajaan'


Baru-baru ini, seperti biasa, saya telah menyertai 1 perdebatan di dalam FB. Dan seperti biasa juga, topik yang dibincangkan tidak dapat lari daripada isu semasa dan politik. Saya melihat, pemuda serta pemudi pada masa sekarang ini lebih cenderung untuk menyalahkan kerajaan sedia ada diatas apa jua yang berlaku di negara ini. Memang, tidak dapat dinafikan bahawa kerajaan bertanggungjawab terhadap situasi yang berlaku di dalam negara, namun adakah kerajaan yang sempurna di dunia ini?

Saya sebagai generasi yang lahir selepas kemerdekaan, tidak melihat dengan mata kepala sendiri betapa peritnya datuk nenek kita berjuang melawan penjajah dan mendapat kemerdekaan untuk tanah air kita. Namun, saya cuba menjadi manusia yang bersyukur dengan kurniaan yang diberikan Allah SWT melalui pemimpin sedia ada yang bertungkus lumus memakmurkan negara dengan izin Allah sehingga menjadi seperti apa yang kita lihat pada hari ini. Syukur...

Namun, saya kecewa apabila membaca di ruangan siber serta di ruangan sosial, terdapat ramai golongan muda yang tidak henti-henti memaki hamun serta menyalahkan kerajaan, kononnya kerajaan ini zalim serta menindas rakyat. Saya tidak nampak, bagaimana kita ditindas, sedangkan saya bebas untuk ke mana-mana, bebas mempraktikkan agama Islam, menziarah sanak saudara serta bergaul dengan semua golongan masyarakat dan bangsa.
Ada yang mempertikaikan kerajaan, kononnya kerajaan ini adalah kerajaan yang paling tidak cekap, korup, membazirkan wang rakyat serta menindas golongan miskin. Jika dibandingkan sekarang dengan dekad-dekad yang lalu, jelas bahawa generasi hari ini lebih bertuah. Walaupun masih ada yang miskin pada hari ini, namun tidak seperti pada dulu sebab pelbagai agensiyang wujud bagi membela nasib-nasib golongan ini. Saya masih ingat semasa masih kecil, akhir 1980-an, rumah saya masih menggunakan pelita ayam serta dapur minyak tanah. Bekalan air pun diperolehi daripada paip kerajaan, yang dikongsi dengan beberapa buah rumah yang lain. Bapa saya membeli getah air yang panjang untuk menyalurkan air ke rumah kami. Awal-awal pagi, mak saya sudah keluar dari rumah untuk pergi membuka air di pili kerajaan itu serta menadah di dalam kolah di bilik air rumah saya. Bukan hanya kami yang susah, namun jiran-jiran saya ramai yang tidak berkemampuan. Pada masa itu, untuk meminta bantuan daripada kerajaan agak susah kerana kerajaan pun tidak berkemampuan untuk membekalkan air dan elektrik ke setiap rumah. Keadaan berubah di dalam dekad 90-an. Keadaan sedemikian menjadikan saya bersyukur dengan nikmat yang Allah kurniakan pada hari ini.
Namun, sekarang ini ada pula yang mempertikaikan duit kerajaan adalah duit rakyat, bukan duit kerajaan. Bagi saya, mereka ini merupakan golongan bodoh sombong yang tidak faham tentang perihal kenegaraan dan apakah yang membentuk sesebuah negara itu. Wujud sebuah negara, perlu ada kerajaan serta rakyat. Tanggungjawab kerajaan adalah menyediakan persekitaran yang selesa kepada rakyat tinggal serta memenuhi keperluan rakyat. Sebagai negara yang membangun, saya melihat, kerajaan Malaysia, dari hari kita merdeka sehingga kini telah berjaya untuk memakmurkan negara ini. Apa jua istilah, duit rakyat atau duit kerajaan, yang pasti duit-duit tersebut digunakan untuk tujuan pentadbiran serta membangunkan negara. Rakyat mendapat manfaat daripada apa yang kerajaan lakukan serta kerajaan mendapat manfaat daripada wujudnya rakyat. Saya selalu mengambil contoh ‘Sim City’. Walaupun ia bukan menggambarkan situasi yang sebenar, namun ia merupakan satu contoh yang terbaik bagaimana sesebuah negara itu berfungsi. Rakyat serta kerajaan memerlukan antara satu sama lain. Sebagai contoh, saya banyak melakukan eksperimen dalam permainan itu bagaimana mentadbir negara. Akhirnya, saya sedar, betapa susah untuk kita membahagikan pendapatan negara, kepada rakyat serta negara sendiri. Bila pendapatan tinggi, saya cuba untuk menaiktarafkan bandar saya, untuk menarik lebih banyak pelaburan serta menjana ekonomi, namun kadang-kadang tindakan itu tidak berhasil dan pendapatan mula menurun. Setiap perkara itu berkaitan. Menaikkan cukai, rakyat marah. Menurunkan cukai, terjadi pula inflasi serta kurang pendapatan negara.
Tiada istilah duit rakyat atau duit kerajaan kerana itulah duit rakyat dan itulah duit kerajaan. Semuanya berkaitan kerana kerajaan juga merupakan rakyat untuk negara ini. Kita tidak nafikan, memang berlaku pembaziran di pihak kerajaan, namun kita tidak melihat pembaziran di pihak rakyat. Sebagai contoh, kerajaan memberi subsidi untuk air serta elektrik, tetapi berapa ramai yang membazir kedua-duanya serta terpaksa membayar lebih daripada yang sepatutnya mereka bayar. Bukan niat untuk menggalakkan pembaziran, namun bila kita cuba menuding jari kearah orang lain, saya rasa kita perlu cerminkan diri kita sendiri. Sekiranya kita di dalam skala yang kecil ini tidak mampu untuk mengawal perbelanjaan dengan cermat, bagaimana pula kerajaan yang mentadbir sebuah negara yang melibatkan berbillion-billion ringgit. Di kawasan perumahan saya, saya melihat kebanyakkan orang disini memandu kereta mewah terutamanya orang Cina. Namun, masih ramai yang nama mereka diletakkan di papan kenyataan kerana tidak membayar yuran penyelenggaraan bangunan. Ada yang berhutang RM18000 dengan pihak pengurusan. Akibatnya, orang yang membayar yuran pun terpaksa menerima kesan akibat tindakan yang tidak bertanggungjawab itu. Padahal, pendapatan yang mereka dapat, digunakan untuk menukar kereta baru serta membuat perkara lain yang tidak penting. Jadi, bagaimanakah kita mampu menuding jari kepada kerajaan semata-mata dengan mengatakan kerajaan membazir sedangkan kita tidak mampu mengawal perbelanjaan sendiri.
Cuba kita lihat negara ini, dan bandingkan dengan negara-negara lain. Walaupun kerajaan hari ini bukanlah sempurna, namun ia adalah yang terbaik berbanding dengan negara lain. Sebagai contoh, lihat bagaimana kerajaan Malaysia berjaya meloloskan diri daripada masalah ekonomi tahun 1998 serta 2008 yang lalu. Lihat sahaja bagaimana negara maju seperti Greece, Republik Ireland yang hampir muflis kerana kaedah mentadbir ekonomi yang amat teruk. Kita hari ini, masih menghirup nafas kemakmuran kerana kecekapan kerajaan kita mentadbir.

Kita membayar cukai, serta kerajaan menyediakan tanah untuk kita tinggal. Kalau kata duit cukai adalah duit rakyat, bagaimana dengan pendapatan kerajaan melalui usaha gigih kerajaan menarik pelaburan serta eksport negara ke negara luar itu dikategorikan? Ini tidak boleh dinilai dengan pemecahan sebegitu. Ianya berkaitan antara satu sama lain dan inilah yang membentuk sebuah negara. 

Saya berharap, generasi pada masa ini lebih bersyukur dengan nikmat yang kita ada pada hari ini. Dengan menyalahkan kerajaan semata-mata dalam semua hal, adakah ia akan menyempurnakan ketidaksempurnaan kerajaan ini? Kita perlu menyumbang sesuatu yang benar-benar memberi manfaat kepada kita serta generasi akan datang. Jangan jadi bodoh kerana kebodohan tidak akan membawa kita ke mana-mana. Cubalah cari, kalau ada kerajaan di dunia ini yang sempurna seperti yang digambarkan di dalam ceramah-ceramah parti pembangkang yang begitu sempurna. Kalau ada negara sebegitu, saya menyeru kepada mereka ini, pergilah ke negara tersebut serta tinggal di sana. Ingatlah, hanya kerajaan Allah selepas kiamatnya dunia yang sempurna lagi abadi.

Jun 8, 2011

'One in A Million'

Hari ni dalam mood jiwang..Lagu nyanyian Bosson ini merupakan antara lagu favourite saya terutama ketika saya di Dublin dulu (masa tu ada album Disney, still dalam format kaset, haha). Boleh dikatakan lagu ini memberi ilham kepada saya untuk menjadi seorang yang tabah..Belajar memahami serta mencintai diri sendiri. Lagu ini juga teristimewa untuk mak dan isteri saya..

You're one in a million
Oh
Now
You're one in a million
Oh

Sometimes love can hit you every day

Sometimes you can fall for everyone you see
But only one can really make me stay
A sign from the sky
Said to me

[Chorus]

You're one in a million
You're once in a lifetime
You made me discover one of the stars above us
You're one in a million
You're once in a lifetime
You made me discover one of the stars above us

I've been looking for that special one

And I've been searching for someone to give my love
And when I thought that all the hope was gone
A smile, there you were and I was gone

I always will remember how I felt that day

A feeling indescribable to me
Yeah
I always knew there was an answer for my prayer
And you, you're the one for me

[Chorus x 2]


In the beginning I was cool and everything was possible

They tried to catch me but it was impossible
No one could hurt me it was my game
Until I met you baby and you were the same
And when you didn't want me I wanted you because
The funny thing about it is I liked the show
I like it when its difficult
I like it when its hard
Then you know its worth it
That you found your heart

[Chorus x 2]


You're one in a million

Oh
You're one in a million

Jun 6, 2011

'Bila Dakwah Tidak Mengikut Kaedah Yang Sebenar'

Dua minggu lepas, saya berkesempatan untuk pergi menonton bersama isteri saya filem Nur Kasih The Movie (NKTM) di Queensbay Mall, Penang. Isteri saya yang beria-ia untuk menonton filem tersebut kerana dia adalah peminat drama bersiri Nur Kasih. 

Saya tidak berminat untuk mengulas tentang filem tersebut, namun lebih menjurus kepada 1 scene di dalam NKTM dimana di dalam filem tersebut, menunjukkan watak utama iaitu Adam menjadi sukarelawan membuka kelas yang mengajar agama Islam kepada remaja-remaja liar serta gelandangan. Kemudian, satu hari, beliau telah menjemput seorang ustaz berkarakter begitu alim dan tinggi ilmu agama, berkopiah putih, berjubah dan berjanggut untuk memberi kuliah kepada remaja-remaja terbabit. Namun, muka ustaz itu berubah apabila memasuki bilik dimana kuliah tersebut akan dijalankan kerana melihat remaja-remaja tidak menutup aurat, duduk bercampur lelaki dan perempuan. Beliau terus memanggil Adam dan memarahi kerana menjemput beliau untuk memberi kuliah kepada remaja-remaja tersebut. Perkataan haram berulang kali di lafazkan kepada situasi remaja-remaja terbabit. Haram kerana tidak menutup aurat dan bercampur lelaki perempuan dan beliau memutuskan untuk tidak memberi ilmu kepada remaja-remaja terbabit kerana tidak mahu bersekongkol dengan situasi sedemikian. Yang menariknya, dia memetik rangkap 'matlamat tidak menghalalkan cara' untuk membenarkan tindakannya serta menyalahkan tindakan Adam.

Adakah ini tindakan yang berdasarkan kaedah Islamiah. Adakah prinsip asas Islam adakah sedemikian. Memetik kata-kata Adam, takkan nak mengajar ilmu kepada orang-orang masjid saja. Pada pendapat saya, ramai ustaz-ustaz yang berkelakuan sebegini. Mereka mudah memandang serong kepada orang lain kononnya kurang berilmu dan berakhlak seperti mereka serta jahil. Saya pernah diperli orang sebegini dahulu hanya kerana saya seperti tidak Islamik, tidak berjubah serta bertudung labuh macam mereka.

Kenapa mereka serta kita semua tidak mahu belajar tentang bagaimana Islam ini disebarkan. Kenapa pula al-Quran diturunkan secara berperingkat. Ini adalah kerana dakwah perlu dijalankan secara sedemikian. Bagaimana pula dengan peringkat awal pendidikan kepada orang Jahilliah Quraisy. Adakah Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammah SAW memerintah mereka semua menutup aurat serta menjaga batasan lelaki dah wanita. Wahyu pertama adalah 'Baca'. Bukan tentang aurat dan bukan tentang perkara lain. Baca dalam kontek dakwah hari ini adalah untuk mencelikkan mata orang-orang jahil tentang agama dengan nur ilmu Islam. Adakah ilmu agama untuk orang-orang yang pergi ke masjid saja, yang menutup aurat dan sebagainya. Bagaimana pula dengan remaja-remaja liar yang jahil, tidak ada ilmu pengetahuan tentang Islam ini. Siapakah akan membimbing mereka kalau ramai ustaz-ustaz yang berpendirian seperti ustaz dalam NKTM itu tadi.

Selepas beberapa waktu, barulah Allah menurunkan wahyu tentang keperluan menutup aurat dan sebagainya. Islam diturunkan adalah untuk menjadi penunjuk kepada jalan yang lurus. Bukan untuk menyusahkan orang untuk mendapatkan rahmat yang ada di dalamnya. Sekiranya setiap dari kita mngikut asas serta prinsip dakwah yang sebenarnya, maka akan berkuranganlah orang-orang jahil pada masa ini kuranglah isu rogol, zina, perbuangan anak n sebagainya yang rancak dilakukan oleh remaja-remaja pada hari ini. 

Memang susah untuk kita berdakwah. Cabarannya lebih hebat pada hari ini. Dengan kemajuan bidang komunikasi dan teknologi, pelbagai informasi yang amat mudah diperolehi di mana saja. Jadi, perlu ada mekanisma yang kuat untuk menarik perhatian remaja-remaja agar dapat kembali ke jalan yang lurus. 
Saya berharap agar kita semua saling bermuhasabah agar kita dapat menjadi mukmin yang berjaya. Semoga kita sentiasa di dalam keredhaan Allah.

Apr 27, 2011

'Poco-Poco'

Akhirnya, dapat juga saya berkongsi sedikit pendapat tentang prinsip saya tentang isu pengharaman poco-poco di negeri Perak. Sebelum saya berbicara dengan lebih panjang, terlebih dahulu perlu dijelaskan, apa yang menjadi 'concern' atau 'interest' saya bukanlah poco-poco, tetapi kaedah mengharamkan sesuatu perkara yang tiada nas serta dalil yang kukuh mengenainya. Serta adakah wajar tindakan kita mengambil jalan awal atau 'initial proposal' dengan terus meletakkan tanda noktah kepada sesuatu isu tersebut. Pengharaman sesuatu perkara tersebut merupakan kaedah terakhir kerana ia melibat dosa sekiranya kita melanggar hukum tersebut.

Saya pernah meletakkan status di Facebook tentang perkara ini serta mendapat maklum balas yang menarik. Pada perhatian saya, hujah yang diberikan berselitkan emosi kerana sesetengah orang amat elergi dengan sesuatu perkara yang nampak bermanfaat serta berjaya menyatu padukan masyarakat. Kaedah Islam memang yang terbaik untuk menyatu padukan umatnya, seperti solat berjemaah serta aktiviti keagamaan. Namun, tidakkah aktiviti yang tidak bersifat keagamaan perlu ditolak secara total.

Pemberi komen itu pula cenderung untuk menggunakan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada beberapa sahabat iaitu Abdullah bin ‘Umar, Huzaifah bin al-Yaman dan Anas bin Malik, bahawa Rasulullah SAW telah bersabda, “Sesiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia dalam kalangan mereka”. Antara ahli hadis yang mengumpul hadis ini ialah Abu Daud, Ahmad bin Hanbal, Ibn Abi Syaibah, al-Bazzar dan lain-lain. Hadis dinilai oleh Ibn Taimiyyah (w. 728H) sebagai sahih, al-Iraqi (w. 806H) juga menilai sebagai sahih, Ibn Hajar al-‘Asqalani (w. 852H) dan al-Albani menyatakan bahawa hadis ini hasan. Namun, setiap kali saya mendengar orang yang menggunakan hadis ini, mereka cuma menafsirkan tasyabuhban itu sebagai menyerupai sesuatu yang buruk sahaja. Bagaimana kalau kita menyerupai untuk sesuatu yang positif daripada kaum lain?



 Menutup aurat ketika berpoco-poco

Agak pelik apabila hujah yang diberikan lebih melihat kepada sisi negatif poco-poco(saya tidak pasti samada ia negatif atau tidak). Namun, melalui pembacaan saya, salah satu sebab pengharaman adalah disebabkan oleh ia bersifat memuja roh serta ada unsur Kristian yang berasal dari Jamaica. Gerak tari poco-poco yang seperti membentuk salib adalah satu imaginasi yang dangkal. Kalau itulah sebabnya, saya meminta mufti untuk mengharamkan penggunaan huruf 'T' (t) kerana terang-terangan adalah seperti salib. Serta mengharamkan penghasilan parang atau pisau yang ada penyendal tangan berbentuk salib. Paranoid kita ini menyebabkan orang bukan Islam melihat Islam adalah agama yang keras serta ketat padahal Islam ini bermaksud aman serta selamat. Saya tidak fikir orang yang pernah menyertai poco-poco ini mempunyai niat untuk menjatuhkan akidah mereka sendiri serta mahu menjadi Kristian.

Mengharamkan sesuatu perkara boleh dilakukan, namun perlulah metod yang lebih sederhana. Di dalam buku Metod fatwa al-Qardawi, beliau menyatakan di ms 207 perihal Fatwa berkaitan Fiqh Permainan dan Hiburan. Salah satu metodnya ialah mengambil jalan tengah antara golongan yang terlalu longgar serta golongan yang terlalu ketat. Al-Qardawi menjelaskan ulama yang mengeluarkan fatwa tentang isu fiqh permainan dan hiburan pelbagai diantara mereka yang terlalu sempit dengan yang terlalu luas dan diantara yang terlalu ketat dengan yang terlalu mudah. Golongan yang mengambil pendekatan yang terlalu ketat sehingga menjadikan segala sesuatu sebagai haram, manakala golongan yang mengambil pendekatan terlalu longgar sampai ke tahap menjadikan segala sesuatu sebagai halal. Begitulah masyarakat manusia yang tenggelam diantara sikap terlalu ketat dengan terlalu longgar. Kebaikan sebenar terletak pada kaedah pertengahan atau sederhana. Tidak terlalu ketat dan tidak terlalu longgar (Al-Qardawi Fiqh al-Lahwi wa al-Tarwih, ms 8).

Jadi, seperti yang saya jelaskan di dalam ketika menjawab komen-komen di Facebook saya, saya lebih bersetuju sekiranya kalau poco-poco tidak Islamik, kita Islamisasikannya. Saya percaya, hanya dengan sedikit garis panduan daripada arif ulama, maka poco-poco akan menjadi senaman biasa serta riadah yang menyeronokkan untuk orang Islam serta yang bukan Islam.

Penting pada masa sekarang ini, kita lebih bersifat terbuka dengan bukan Islam untuk menarik mereka ke agama kita. Namun bukanlah bermaksud kita akan menggadaikan iman serta akidah. Kita perlu mempromosikan Islam sebagai agama yang syumul serta sederhana. Nabi SAW sendiri pernah menunjukkan contoh sebegini pada zaman baginda. Nabi pada satu peristiwa mengizinkan orang-orang Habsyah (Ethiopia) menari-nari dengan lembing mereka di perkarangan masjid dan baginda mengizinkan A'isyah r.a menyaksikan pertunjukkan itu di belakang baginda. Baginda juga membenarkan 2 orang hamba perempuan menyanyi dan memalukan gendang dalam rumah A'isyah r.a dalam keadaan baginda sendiri berada di dalam rumah tersebut. Peristiwa itu berlaku pada hari raya dan baginda memberi alasan dengan bersabda, " Agar orang Yahudi mengetahui bahawa dalam agama kita terdapat kelonggaran dan sesungguhnya aku diutuskan untuk membawa agama yang mulia lagi bertoleransi" (Ahmad bin Hambal, al-Musnad, juz 41, hadis no. 24855). Perlu dinyatakan disini, orang Habsyah asalnya beragama Kristian sebelum mereka menjadi Islam dan tarian itu merupakan tarian kaum mereka.

Pada pendapat saya, apa yang boleh dilaksanakan dalam isu poco-poco ini adalah dengan memberi didikan serta menggalakkan orang ramai menjaga adab, aurat serta tidak bercampur lelaki dan perempuan ketika melakukan senaman itu. Kita tahu, masyarakat kita suka dengan perkara hiburan sebegini, jadi kita gunalah hiburan sebegini sebagai alat untuk menyebarkan dakwah Islamiah seperti menyediakan garis panduan seperti diatas. Dengan cara ini, kita dapat menyatu padukan serta mengelakkan perpecahan diantara umat Islam serta menyediakan laman toleransi antara umat Islam serta bukan Islam.

Saya menghormati Tan Sri Harussani Zakaria. Beliau merupakan idola saya serta pandangannya amat bernas. Namun, di dalam soal mengharamkan sesuatu perkara yang kabur, tidak kira poco-poco atau apa-apa, saya merasakan beliau agak ketat. Saya kurang bersetuju untuk perkara-perkara sebegini. Pengharaman memperlihatkan Islam agama yang ekstrim dan andaian bahawa Islam bangkit dari mata pedang mungkin dianggap benar oleh bukan Islam yang memusuhi agama yang hebat ini. Majlis fatwa menjelaskan poco-poco tidak haram selagi mana ia mengikut garis panduan yang tidak menyalahi akidah. Saya mengharapkan para pembaca melihat perkara ini berdasarkan pendapat jumhur ulama di Malaysia, iaitu pendapat yang mengumpul pendapat daripada semua arif ulama Islam.

Jangan jadikan isu kecil ini sebagai perselisihan faham yang memecah belahkan umat Islam. Islam tidak melarang kita mengambil perkara daripada kaum lain asalkan ia bermanfaat kepada Islam itu sendiri. Sebagai contoh, semasa menuntut di Dublin dahulu, saya sering sersolat jumaat di Dublin Mosque (gambar di bawah), sebuah bangunan masjid yang 100% berbentuk seperti gereja di luar. Memang asalnya masjid itu sebuah gereja, namun masyarakat Islam di sana telah membeli gereja itu dan meletakkan lambang bulan dan bintang di hujung bumbung gereja itu. Di bahagian dalam, diletakkan kiblat, mimbar serta tempat untuk wuduk dan dijadikan masjid. Pada lahiriahnya, memang ia menyerupai gereja, namun setelah 'diIslamkan', bangunan itu menjadi masjid yang mengumpulkan kebanyakkan umat Islam di Dublin untuk sama-sama berjemaah dan memakmurkan masjid.
 Dublin Mosque, South Circular Road, Dublin, Eire

Akhir tulisan ini, saya letakkan lirik poco-poco untuk khalayak menilai samada lirik itu mempunyai unsur Kristian atau tidak. Lagu berbahasa Menado itu merupakan ciptaan Arie Sapullete dan dinyanyikan oleh Jopie Latul untuk mengiringi apa yang dikenali sebagai 'senam pagi' ataupun senaman oleh masyarakat Menado dan bukan untuk upacara keagamaan.

Balenggang pata-pata,
(Jalannya berlenggang)
Ngana pe goyang... pica-pica,
(Goyangan badan mu... lincah)

Ngana pe bodi... poco-poco,

(Tubuhmu yang berisi dan lincah)

cuma ngana yang kita cinta,

(Hanya kamu yang ku cinta)

cuma ngana yang kita sayang,

(Hanya kamu yang ku sayang)

cuma ngana suka bikin pusing.

(Hanya kamu suka buat aku pening)

Walahu'alam.