Mar 28, 2014

'Apabila Melayu Menikam Belakang Melayu'

Kebelakangan ini, di dalam siri ceramah Anwar Ibrahim, pasca keputusan mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman penjara kepadanya kerana kesalahan meliwat, Anwar tidak berhenti-henti menyerang beberapa individu Melayu yang dikatakan sebagai kroni kerajaan. Ironinya, tuduhan yang dilakukan, tidak ada kena mengena dengan hukuman penjara yang telah dijatuhkan ke atas beliau. Malah, sebelum keputusan tersebut, nama seperti Tun Daim Zainuddin, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Datuk Mohkzani Mahathir menjadi objek sasar yang amat disukai beliau di dalam ceramahnya. Namun, apa yang begitu mengecewakan, serangan terhadap individu yang merupakan usahawan Melayu yang berjaya ini kerap kali dilakukan dihadapan bangsa lain, terutamanya Cina yang umum mengetahui merupakan kaum yang menguasai kekayaan ekonomi di Malaysia ini. Betul kata seorang sahabat, bahawa Melayu cuma pandai untuk menjatuhkan Melayu, merosakkan bangsa sendiri dengan sikap dengki semulajadi.

Jika diteliti, di dalam senarai individu terkaya di Malaysia, semuanya milik kaum Cina, bermula dari yang paling kaya, dan di dalam senarai 10 individu terkaya di Malaysia, cuma dua orang dari kaum Melayu. Kenapa di dalam ceramah Anwar Ibrahim, beliau tidak menyebut tentang kekayaan Robert Kuok (individu terkaya di Malaysia) sebagai hasil menjadi kroni kerajaan? Di dalam buku ‘The Reluctant Politician’, beberapa bahagian di dalam buku ini menamakan Robert Kuok sebagai sahabat karib kepada pemimpin kerajaan Perikatan pada masa itu iaitu Tun Dr Ismail. Robert Kuok disebut beberapa kali sebagai sahabat sejak dari zaman muda Dr Ismail sehinggalah ke akhir hayat. Kenapa beliau tidak disebut sebagai kroni kerajaan? Adakah kerana beliau berbangsa Cina. Di mata Anwar, hanya Cina saja yang  boleh jadi kaya-raya, dan tidak dicop sebagai kroni. Begitu juga dengan Ananda Krishnan, mendiang Lim Goh Tong, Tony Fernandes, Vincent Tan. Mereka juga menjadi kaya akibat peluang yang diberikan oleh kerajaan. Ananda Krishnan contohnya, diberi lesen untuk menjalankan bisnes tv satelit iaitu Astro, dan sehingga ke hari ini, beliau memonopoli bisnes tersebut akibat dasar kerajaan. Kenapa beliau tidak disebut sebagai kroni kerajaan? Begitu juga dengan Tony Fernandes. Kerajaan siap membina sebuah lagi lapangan terbang iaitu KLIA2 sebagai hub kepada Air Asia untuk menjalankan perniagaan. Kenapa beliau tidak dinamakan sebagai kroni?

Sebenarnya, di sebalik tabir kejayaan individu-individu yang saya namakan di atas, bukanlah hasil dasar mengamalkan kroni oleh kerajaan. Kerajaan cuma memberi peluang kepada mereka ini, selebihnya adalah hasil kerja keras dan kebijaksanaan mereka di dalam menjalankan perniagaan. Sebagai contoh, Tan Sri Syed Mokhtar merupakan usahawan sejak dari zaman mudanya. Kemudian kejayaan dimiliki diperolehi secara perlahan-lahan sehingga menjadi billionaire hari ini. Saya masih ingat soalan Anwar ketika seronok memburuk-burukkan Syed Mokhtar. Beliau berkata ‘bagaimana seorang individu boleh mendapat pelbagai projek kerajaan. Buat landasan keretapi, dia. Buat jambatan, dia. Perlabuhan, dia. Takkan seorang individu tahu semua bidang?’. Bagi saya, ini satu soalan yang bodoh daripada seorang pemimpin yang menggambarkan dirinya sebagai pemimpin besar. Jawapan kepada dakwaan ini mudah saja. Bukan Syed Mokhtar yang buat semua tu. Syarikat-syarikat yang beliau miliki yang melaksanakan. Beliau cuma menjadi pemilik kepada syarikat-syarikat seperti UEM, Perlabuhan Pasir Gudang, MMC dan lain-lain. Soalan ini boleh ditanya semula kepada Anwar. Kenapa dia nak jadi Perdana Menteri sangat-sangat. Perdana Menteri perlu uruskan ekonomi, buat bangunan, bina jalan, tahu undang-undang, uruskan kewangan, bina rumah. Takkan Anwar sebagai seorang individu tahu semua bidang-bidang ini? Jika beliau berpegang kepada kenyataan ini, tak perlulah beliau sibuk-sibuk untuk menjadi Perdana Menteri. Mustahil untuk beliau nak menjadi PM yang baik kerana bagi beliau, mustahil untuk individu mahir dalam pelbagai bidang. Tan Sri Syed Mokhtar cuma usahawan. Beliau menguruskan perniagaan, tidak kisahlah apa juga cabang perniagaan tersebut. Kerja-kerja lain diuruskan oleh pengurus syarikat beliau yang pastinya mempunyai latar belakang yang sesuai dengan kerja yang mereka laksanakan. Jadi, tidak timbul soalan bodoh sebegini, terutamanya dari individu yang dianggap pemimpin besar oleh pengikut-pengikutnya.

Amat malang sekali, ramai daripada pengikut-pengikutnya, menelan bulat-bulat apa yang dimomokkan kepada mereka. Tidak boleh jika untuk seketika, mereka ini berfikir dengan waras. Amat malang jika kita sesama kaum, memburukkan bangsa sendiri di hadapan bangsa lain. Ini adalah satu pengkhianatan. Sejarah menunjukkan, bangsa kita hancur akibat sikap dengki dan busuk hati bangsa kita sendiri. Kita sepatutnya berbangga dan bersatu padu, supaya nasib bangsa kita terbela. Lihat, bagaimana kaum Cina bersatu-padu. Persatuan-persatuan mereka kuat dalam memperjuangkan isu yang berkepentingan kepada bangsa mereka, tetapi kita, asyik saling menggigit sesama kita. Tidak mustahil, suatu hari nanti, bangsa kita akan hilang di bumi bertuah ini. Berpolitik ada batasannya. Jangan kerana inginkan keuntungan politik, pengkhianatan terhadap bangsa sendiri dilakukan.

Mungkin ada yang membaca artikel ini akan mengangap artikel ini bersifat rasis. Ini bukan artikel rasis. Ini cuma artikel untuk memberi nasihat kepada Melayu, agar bersatu-padu. Buangkan sifat hasad dan dengki di dalam hati kita. Berwaspadalah terhadap pemimpin seperti ini. Jika di depan Melayu, nada suaranya berbeza pula. Ini bukan sikap seorang pemimpin yang baik. Pemimpin yang baik, adalah pemimpin yang tidak menghasut rakyat untuk saling membenci. Berusahalah untuk menjadi lebih baik daripada hari ini.

Mar 4, 2014

'Sampling untuk Projek PhD'

Tersangat lama rasanya, blog ini menjadi tempat tinggal labah-labah untuk bersarang, membuat sawang. Bukan tak mahu menulis, tetapi himpitan masa dan kesibukan, membataskan masa untuk menulis. Kalau ada pun, menulis untuk scientific publication saja.

Hujung tahun lepas (2013) dan awal tahun ni, aku teramat sibuk dengan sampling  untuk projek PhD. Setiap 2 minggu sekali, aku akan ke daerah-daerah di Pahang, semata-mata untuk menjalan kajian sungai di sana. Memang penat, tetapi itulah, aku sendiri yang propose untuk mengambil sampel di 50 batang sungai di Lembangan Sungai Pahang, kira nasiblah kalau projek ni memenatkan fizikal dan mental aku. Sebenarnya, di awal ketika baru nak memulakan projek ni, aku rasa agak mustahil untuk aku sorang, untuk mengambil sampel di 50 batang sungai. Kalau satu kumpulan, 5 6 orang, mungkin tidak ada masalah. Tetapi jika sorang saja yang handle, memang agak cari pasal la. Tapi, aku cabar diri aku sendiri untuk melakukan projek ni. Selama setahun aku merancang, mencari bahan serta menyiapkan kerja-kerja pre-sampling, agar projek ini dapat berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, dengan bantuan supervisor aku, Prof Che Salmah dan rakan-rakan seperjuangan, aku berjaya untuk membuah research di kesemua sungai-sungai tersebut, bermula dari sungai-sungai di Merapoh dan Kuala Lipis, sehingga yang terakhir iaitu sungai-sungai di Daerah Bentong, Pahang.

Sekarang, aku sedang mengambil sampel untuk kali kedua di sungai-sungai tersebut. Tinggal 10 sungai lagi sebelum habis kesemua sungai. Setakat hari ini, aku telah mengambil sampel di 90 batang sungai (50 sungai x 2 kali sampling = 100 kali lawatan ke sungai-sungai terbabit). Selepas sungai yang terakhir, boleh la aku tumpukan perhatian untuk fasa membuat analisis data dan menulis tesis. Semoga semuanya berjalan lancar. InsyaAllah.

Assistants semasa sampling di Merapoh


 Semangat membantu


 Sungai Seboi, Temerloh (dipenuhi lumpur akibat 
banjir)


 Sungai Bera, mengalir keluar dari Tasik Bera


 Pembinaan jambatan yang mencemarkan sungai


 Sungai di Bera.


 Bersama Dr Hasber di Sungai Buaya, Pekan. 
Antara sungai yang tercemar di Pahang.


 Mencatat data penyelidikan


 Merekodkan data kimia sungai


 Ular Sawa terperangkap dalam pukat ikan, antara 
cabaran yang terpaksa dihadapi


Mengambil data yang cukup amat penting 
di dalam sesuatu penyelidikan

Jan 20, 2013

'Isu Kalimah Allah'

Isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam terutamanya penganut agama Kristian masih lagi mewarnai suhu politik negara. Perdebatan serta perbincangan tentang isu ini telah menjadi orang Islam di negara ini terbahagi kepada dua kelompok, yakni yang menyokong dan yang menentang penggunaan kalimah Allah ini. Namun, masih ramai yang tidak jelas tentang perkara pokok dalam membincangkan isu ini.

Isu ini telah ditimbulkan berkali-kali oleh pihak Kristian di negara ini. Ia pernah ditimbulkan lebih kurang dua tahun yang lepas, sebelum ditimbulkan semula oleh Setiausaha Agung parti yang paling rasis di Malaysia iaitu DAP dalam ucapannya sempena sambutan Krismas tahun lepas.

Isu utama, bukanlah membenarkan masyarakat bukan Islam untuk menggunakan kalimah Allah. Saya secara peribadi bersetuju dengan pandangan bahawa orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah Allah termasuk menyebutnya. Namun, isu utamanya ialah penggunaan kalimah Allah di di dalam kitab agama mereka terutamanya Kristian. Terjemahan dari apa jua bahasa, termasuk bahasa asal yakni Ibrani (Hebrew) ataupun bahasa Inggeris tidak boleh dikaitkan dengan kalimah suci, Allah. Ini adalah kerana, kandungan kitab tersebut mengelirukan. Sementelah, dalam bahasa asal, Tuhan yang dimaksudkan ada tuhan yang mempunyai anak yakni Jesus Christ sedangkan, Allah adalah tuhan yang Maha Esa, Tidak beranak dan tidak diperanakkan (Surah al-Ikhlas). Sekiranya perkara ini dibenarkan, ia akan menambahkan lagi kekeliruan kepada umat Islam sekiranya terdedah kepada Bible versi Melayu ini. Akan sampai satu tahap di mana generasi kita tidak dapat untuk membezakan Allah yang maha Esa di dalam al-Quran dengan 'Allah' yang mempunyai anak dalam Bible.

Dalam membicara isu ini, kita boleh untuk berbincang dengan lebih mendalam bermula dari sejarah penyebaran Bible versi Melayu yang bermula sebelum kemerdekaan Malaysia ini lagi. Namun, itu semua tidak perlu sekiranya kita mampun untuk menyematkan di dalam hati bahawa Allah adalah milik eksklusif umat Islam dari segi keEsaanNya. Isu ini tidak sukar untuk difahami sebenarnya.

Saya faham, apabila isu ini dipolitikkan, ia telah menjadi satu isu yang mudah untuk disensasikan. Penyokong-penyokong kepada parti tertentu tentulah akan mengikut apa yang ditarbiahkan dan diputuskan oleh pemimpin mereka. Sebagai umat Islam, kita perlu sedar, di dalam isu akidah, kita perlu mengikut ilmu agama yang sebenar, bukan pendapat politik yang setiap masa, cuma untuk mendapat undi sahaja. Ada yang bertanya, kenapa orang bukan Islam boleh menyanyikan lagu-lagu negeri yang mempunyai kalimah Allah di dalam liriknya? Bagi saya, ini adalah pertanyaan yang datangkan dari orang yang bodoh sombong, yang tidak mahu ambil tahu pokok pangkal isu yang sebenar. Tidak ada masalah untuk Hindu, Buddha, Tao, Kristian, Scientologi, Mormon dan lain-lain untuk menyebut kalimah Allah! Yang menjadi kesalahan ialah menggunakan kalimah Allah sebagai ganti nama tuhan di dalam kitab-kitab mereka.

Sebagai contoh, apa bila kita meneliti al-Kitab (Bible versi Melayu), Di dalam Perjanjian Lama, perkataan God digantikan dengan perkataan Tuhan. Namun, di dalam Perjanjian Baru yang banyak menceritakan tentang kehebatan Jesus, perkataan God digantikan dengan perkataan Allah. Persoalannya, kenapa? Ini adalah kerana Kristian mengatakan bahawa Jesus (Isa) adalah anak Allah di dalam al-Kitab. Ini jelas kenyataan syirik yang mengkufurkan. Dalam perbincangan saya dengan raka-rakan Kristian yang begitu alim di dalam agama mereka, dalam setiap liang perbincangan, mereka akan cuba menyelitkan kefahaman bahawa Jesus adalah Nabi yang lebih terpilih berbanding Muhammad SAW. Allah lebih dekat dengan Isa kerana Isa adalah 'anak'nya. Nauzubillah. Percubaan sebeginilah yang cuba kita hindarinya. Kita tidak pasti samada, anak cucu generasi kita nanti, akan faham atau tidak perbezaan yang ketara antara Islam dan Kristian. Perkara yang paling utama dalam perkara ini ialah kalimah tauhid, 'Tidak ada Tuhan selain Allah'.

Bila kita cuba menjelaskan perkara ini, ada juga yang berkata bahawa kerajaan Malaysialah yang membenarkan terjemahan tersebut. Jangan kita menjadi manusia yang buta sejarah. Terjemahan Bible ke dalam bahasa Melayu telah dilakukan sebelum terbentuknya Malaysia ini lagi. Kalaupun kerajaan membenarkan, adakah akan selesai masalah kalau kita cuma tahu menudingkan jadi. Asas dalam perkara ini ialah, kita bersama-sama menjaga akidah serta mempertahankan Islam sebagai agama tauhid. Kalau kerajaan benarkan, sepatutnya PAS berusaha untuk mempertahankan. Ini yang berlaku adalah sebaliknya. Janganlah kita terlalu berpolitik hatta dalam isu yang melibatkan agama kita. Biarlah kita tergadai tanah air, tetapi janganlah kita menggadaikan agama demi keuntungan yang sedikit. Agama dan akidah Islamiah inilah yang akan menjadi jaminan kita di akhirat kelak. Wallahualam.

Aug 19, 2012

Aidilfitri 2012/1433H

Assalamualaikum WBT...

Kepada semua pembaca blog saya serta kepada seluruh rakyat Malaysia, saya ingin menyusun sepuluh jari, memohon ampun dan maaf, zahir dan batin sekiranya ada kekhilafan dari diri saya samada sengaja ataupun tidak disengajakan. Saya serta keluarga ingin mengucapakan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua. Semoga lebaran ini membawa sejuta rahmat serta keberkatan kepada kita semua.

Salam Syawal!

-Wan Hafezul- 

Jul 24, 2012

Ramadhan al-Mubarak

"Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa atas kamu sebagaimana diwajibkan atas umat-umat yang terdahulu sebelum kamu, semoga kamu bertakwa" (Surah al-Baqarah ayat 183)

Alhamdulillah, sekali lagi pada tahun ini, aku, isteri, anak serta kedua mak dengan bapak aku diberi peluang untuk bertemu Ramadhan. Perasaan rindu kepada Ramadhan tidak pernah padam. Tapi semakin dekat hari nak sampai ke bulan yang penuh kemuliaan ini, hati sentiasa berdebar kerana takut bila-bila masa sahaja dijemput ajal. Walaupun mengingati mati itu merupakan salah satu cara atau method untuk mengilatkan hati, namun apabila keinginan untuk berada di bulan Ramadhan membuak-buak menyebabkan seketika aku takut kepada kematian.

Sabda Rasulullah SAW, "Sesunggubnya hati manusia itu berkarat seperti berkaratnya besi. Sababat-sababat bertanya: Apakah pengilapnya wahai Rasulullah?. Rasulullah menerangkan: membaca Al Quran dan mengingati maut (mati).' (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Hari pertama Ramadhan tahun ini disambut di rumah mak abah mentua ku, di Kamunting. Kami balik untuk berpuasa di Kamunting kerana isteri aku mahu bersama maknya yang baru saja dua hari selesai menjalani rawatan kemoterapi. Kami jugak telah meninggalkan Asshaff untuk dijaga oleh adik isteriku, kerana kami berdua akan ke Singapore pada puasa kedua. Aku rasa, persiapan untuk menyambut Ramadhan tahun ini antara yang paling sederhana kerana sibuk menguruskan hal-hal rawatan penyakit mak mentua aku. Kami berulang alik ke hospital sejak hari Rabu (3 hari sebelum puasa) sehingga hari Jumaat, sehari sebelum puasa. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan mak mentuaku selamat menjalani rawatan susulan untuk penyakitnya. 

Bersederhana dalam apa jua perkara amatlah ditekan di dalam ajaran agama Islam.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya: “Agama itu mudah, tidaklah agama itu diperkeraskan oleh seseorang melainkan agama itu akan mengalahkannya, yakni orang yang memperkeras-keraskan itu sendiri yang nantinya akan merasa tidak kuat meneruskannya. Maka dari itu, bersikap luruslah engkau semua, lakukanlah yang sederhana sahaja. Jikalau tidak kuasa melakukan yang sesempurna-sempurnanya, bergembiralah untuk memperoleh pahala, sekalipun sedikit. Juga mohonlah pertolongan dalam melakukan sesuatu amalan itu, baik di waktu pergi pagi-pagi,petang-petang atau pun sebahagian waktu malam.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Semasa aku di Alor Setar minggu lepas, aku telah ke pasar besar Alor Setar, sehari sebelum puasa untuk membeli keperluan untuk hari Jumaat tersebut. Tapi, tujuan aku ke pasar agak terganggu kerana pasar besar itu amat sesak dengan lautan manusia membeli belah bahan-bahan mentah untuk keperluan puasa. Aku amat pelik dengan budaya sebegini. Adakah ini budaya yang sihat dan menjadi tuntutan dalam Islam dalam kita menyambut bulan Ramadhan. Kebanyakkan yang aku tengok, penuh tangan mereka dengan beg-beg plastik. Kalau untuk bersangka baik, mungkin mereka semua ingin meraikan Ramadhan dengan masak sesuatu yang special pada hair Jumaat tersebut, mungkin jugak. Tapi takkan semua orang mempunyai keluarga yang besar sehingga perlu untuk membeli begitu banyak. Takkan hari terakhir sebelum berpuasa, merupakan hari terakhir kita dapat membeli barang-barang keperluan. Sampaikan nak berjalan pun, aku terpaksa menyelit-nyelit di celah-celah orang ramai. Seingat aku, hari Jumaat tu lah merupakan hari yang mak aku masak secara simple. Mak aku cuma suruh beli telur, ikan masin dan telur masin sahaja untuk keperluan bersahur. Mungkin ada yang berpendapat, ini adalah perkara biasa serta rezeki masing-masing termasuk rezeki para peniaga sebelum berpuasa. Namun, jika ini dijadikan budaya, maka tidak akan tercapailah salah satu matlamat untuk kita berpuasa mengikut ajaran Islam yakni bersederhana, berjimat dan jangan membazir.

Satu lagi, ketika aku pergi ke bazar Ramadhan hari pertama Ramadhan. Memang kebiasaan dibulan puasa, aku dan isteri lebih senang untuk membeli juadah di bazar Ramadhan. Tapi, hari tu, aku cuma berjalan-jalan untuk melihat suasana bazar Ramadhan di Kamunting. Ramai kat sana, aku lihat membeli sangat banyak juadah untuk berbuka. Ada seorang hamba Allah, aku tengok seolah-olah kesemua jari-jarinya tergantung plastik-plastik makanan, tapi masih sempat menyuruh isterinya menelefon ibu mereka, bertanya, apa yang ibunya mahukan dari bazar tersebut. Suasana ini amat mengecewakan. Sepatutnya, perbelanjaan harian dapat dijimatkan di bulan Ramadhan sebab makan cuma sekali sehari. Tapi, yang terjadi adalah sebaliknya. Perbelanjaan jadi berlebih-lebihan pulak kalau begitulah caranya berbelanja di bazar Ramadhan. Ini tak ambik kira perbelanjaan untuk persiapan raya lagi. Kalaulah semuanya di makan sekalipun juadah tu (aku pasti lebih banyak yang akan ke tong sampah), masih tak sampai matlamat yakni bersederhana ketika berbuka. 

Jadi, sempena bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini, lebih baik untuk kita semua melakukan perkara yang selari dengan syariat agama. Perbanyakkan amal ibadah, membaca al-Quran serta berzikir mengingati Allah SWT. Rasa sangat tenang di hati terutama di waktu malam, dengan suasana cerah dan suara-suara zikir serta tasbih memuji kebesaran Allah dari masjid-masjid. Begitu jugak ketika bersahur. Kalau kat TV pun, rancangan berbentuk keagamaan mengisi slot-slot program 24 jam. Bila bangun bersahur pun, rasa begitu bersemangat. Suara-suara membaca al-Quran jelas kedengaran dari masjid. Alhamdulillah, sudah tentu ramai yang merindui suasana sebegini. Waktu-waktu solat fardu di masjid-masjid pun, ramai orang datang berjemaah bersama, sehingga penuh saf-saf di masjid. Diharapkan, amalan sebegini akan kekal walaupun bila Ramadhan ini telah berakhir nanti. Semoga kita semua beroleh keampunan dan rahmat dari Allah dengan semua amalan yang kita lakukan dengan ikhlas.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud: "Sesiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dalam keadaan beriman dan kerana menuntutkan keredhaan Allah s.w.t., nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu." (Rujuk Al-Targhib II : 206)